Thursday, November 04, 2010

::SYUKUR yang tak terungkap::




Tanggal 27 Oktober 2010 menjadi saksi kebesaran dan keagungan ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Hari kedua yang merupakan hari terakhir Program Kem Literasi Al-Quran peringkat zon Keramat, aku dikhabarkan berita gembira oleh seorang fasilitator seusai solat Zohor. Katanya: Ada seorang murid kumpulan akak pada mulanya tidak tahu langsung baca quran. Dia mula dengan Iqra' 1 muka surat 3. Tapi sekarang ni dah boleh baca Quran dengan lancar dan bertajwid, macam budak yang dah lama baca Quran. Akak sendiri macam tak percaya". Terharunya rasa hati apabila mendengar khabar ini. Terasa ingin sekali aku bertemu dengan murid tersebut dan mendengar sendiri bacaannya.

Adik Nasrullah, seorang murid yang tercicir. Beliau baru didaftarkan ke sekolah setelah umurnya mencecah 10 tahun. Bukan sahaja tidak mendapat pendidikan formal, apatah lagi ilmu agama seperti mengaji Al-Quran. Kasihan sungguh adik Nasrullah. Aku dengan rasa riang segera memberitahu Ustaz yang mejadi pengerusi program serta ketua fasilitator mengenai berita gembira ini. Ustaz terus memanggil murid tersebut dan mendengar bacaan beliau. Oleh itu, pihak urusetia bersetuju untuk menjemput adik Nasrullah untuk mengalunkan ayat suci Al-Quran semasa majlis penutup program nanti. Ketika beliau membacakan ayat-ayat suci tersebut, aku dan rakan-rakan rasa sebak dan kami hampir menitiskan air mata. Merdu dan cantik sekali bacaan adik Nasrullah. Walaupun program ini hanya berlangsung selama dua hari, namun ada kejayaan tercatat. Adik Nasrullah merupakan insan terpilih. Semoga ALLAH memberkati usaha guru-guru yang tak jemu mengajar dan mendidik anak-anak kecil sehingga mereka berjaya mengenali kalamullah dan dapat membacanya dengan baik. Tak terungkap rasa SYUKUR dengan kata-kata. Hanya ALLAH sahaja yang mengetahui betapa gembira rasa hati ini. ALHAMDULILLAH, pujian selayaknya hanya untuk-Mu Ya ALLAH.