Monday, December 19, 2011

:: Ya ALLAH, jadikan aku.... ::

Ya ALLAH...
Jadikan aku hamba yang sentiasa mensyukuri nikmat pemberian-MU
Jadikan aku hamba yang sentiasa mengingati-MU
Jadikan aku hamba yang sentiasa berbaik sangka pada-MU
Jadikan aku hamba yang sentiasa menyebut nama-MU
Jadikan aku hamba yang sentiasa sujud menyerahkan diri pada-MU
Jadikan aku hamba yang sentiasa mendamba kasih sayang-MU
Jadikan aku hamba yang sentiasa menagih cinta-MU
Jadikan aku hamba yang sentiasa merindui rahmat dan maghfirah-MU

Moga setiap detik kehidupanku Engkau sentiasa bersama
Moga saat duka menyapa Engkau hadir membawa ceria
Moga pabila kutersalah arah Engkau tunjukkan jalan yang benar
Moga pabila kumerintih sayu Engkau setia mendengarnya
Moga pabila aku meminta Engkau akan memberi
Moga pabila aku dalam kegelapan Engkau pancarkan sinar cahaya
Moga pabila aku tersungkur Engkau hulurkan bimbingan
Moga pabila aku lemah Engkau titipkan semangat kekuatan
Moga akhir nafasku kalimah-MU yang meniti dibibirku
Moga perjalananku ke alam abadi Engkau permudahkan
Moga amal perhitunganku neraca kebaikan menjadi timbangan
Moga tempat istirehatku Engkau hadiahkan bersama para kekasih-MU

Amin....Ya Rabbal 'Alamin...

::7 sunnah Rasulullah yang perlu diamalkan::



Mari hayati dan amalkan sunnah Rasulullah, moga beroleh keberkatan dan keredhaan dalam kehidupan insya ALLAH..

1) SOLAT TAHAJJUD

Solat Tahajjud ialah solat yang dilakukan apabila terjaga daripada tidur malam. Sebaik-baiknya 1/3 malam yang terakhir iaitu dalam lingkungan jam 3 atau 4 pagi. Jumlah rakaat sekurang-kurangnya 2 rakaat. Di antara fadhilatnya ialah mendapat pengawasan ALLAH dan menampakkan kesan ketaatan pada wajahnya, dikasihi oleh para ahli ibadah dan orang mukmin, percakapannya menjadi hikmah dan bijaksana.

2) MEMBACA AL-QURAN SEBELUM TERBIT MATAHARI

Membaca Al-Quran merupakan salah satu daripada sunnah Rasulullah terutamanya membaca Al-Quran pada waktu sebelum terbit matahari. Besar pahala bagi orang yang membaca Al-Quran dan mengkaji serta memahami isinya. Jadikan Al-Quran sebagai panduan hidup dan jangan jadikan Al-Quran sebagai bahan bacaan sahaja. Jadikan Al-Quran sebagai bacaan, panduan dan membudayakan Al-Quran dalam setiap perkara dalam kehidupan kita.

3) SOLAT BERJEMAAH DI MASJID

Solat yang lebih baik ialah solat berjemaah di masjid kerana pahala sangat besar. Bahkan pahala orang yang bersolat itu dikira pada setiap langkahnya ke masjid. Selain itu,orang yang solat berjemaah akan mendapat pahala sebanyak 27 pahala berbanding solat bersendirian yang hanya mendapat 1 pahala sahaja.

4) SOLAT SUNAT DHUHA

Solat sunat Dhuha merupakan solat yang sangat digalakkan oleh Rasulullah kepada umatnya kerana solat sunat Dhuha mempunyai banyak kelebihan. Di antara kelebihan solat sunat Dhuha ialah pintu rezeki dibuka dan dimurahkan rezeki. Waktu solat sunat Dhuha ialah dari naik matahari sampailah sepenggalah dan berakhir di waktu matahari tergelincir.

5) BERSEDEKAH

Sedekah ialah seseorang itu mengorbankan sedikit hartanya untuk diberikan kepada orang yang memerlukan dengan hati dan perasaan yang ikhlas kerana ALLAH. Bagi orang yang rajin bersedekah, ALLAH akan menggandakan setiap sedekahnya dengan rezeki yang melimpah ruah.

6) MENJAGA WUDUK

Wuduk adalah salah satu cara untuk menyucikan diri dari hadas kecil. Orang yang menjaga wuduknya akan disayangi ALLAH.

7) ISTIGHFAR SETIAP MASA

Istighfar ialah memohon keampunan kepada ALLAH atas segala dosa dan kesalahan yang telah dilakukan dan berjanji kepada ALLAH tidak akan mengulangi kesalahan tersebut.