Sunday, September 03, 2006

merdekakah?

tanggal 31 Ogos hadir lagi, dan sambutan kemeriahannya seperti selalu, percikan warna-warni bunga api menghiasi dengan laungan semangat anak watan menyebut MERDEKA! berbondong-bondonglah manusia di tempat-tempat sambutan kemerdekaan di seluruh negara, lebih-lebih lagi di kota metropolitan.

Di KLCC, Dataran Merdeka dan di mana saja ada sambutan, kelihatan jelas anak-anak muda yang pelbagai gaya dan rupa. Apakah yang menggamit mereka ke sana? adakah kerana mereka ingin bersatu menyebut dan melaungkan kalimah MERDEKA sambil menanam tekad dan azam dihati, demi menjaga maruah dan keamanan bangsa dan negara, atau mereka ingin mengota janji menjadi penyambung warisan menegakkan kemakmuran dan memajukan negara di persada dunia?

Akhirnya, tepat jam 12 malam telah terbukti segala..anak-anak muda ini hanya ingin melihat idola mereka mendendangkan lagu yang membuai perasaan dan kalbu, agar mereka dapat menikmati dan merasai kemeriahan kemerdekaan, semuanya kerana keseronokan semata-mata. Di hujung sana, pasangan uda dan dara memadu kasih mengikat janji bersaksikan bulan bintang pada malam sejarah ulang tahun kemerdekaan. Mata bertentang mata, semyum terukir dan akhirnya....ada pula yang terhoyong-hayang kerana dibuai enak minuman durjana, tiada lagi makna halal dan haram buat mereka..inilah ERTI MERDEKA buat mereka, "KEBEBASAN TANPA SYARAT".

Adakah kita benar-benar merdeka? Kemerdekaan yang terzahir pada waktu ini hanya omongan semata-mata, malah disebalik kalimah MERDEKA itu jiwa dan minda masih terjajah dan terpenjara. Kita melihat pesatnya pembangunan mega mencakar langit bak cendawan yang tumbuh selepas hujan, tapi kabur pandangan kita daripada melihat moral dan akhlak anak-anak muda yang kian menipis saban hari. Setiap hari ada sahaja khabar ngeri di dada akhbar yang mengisahkan anak-anak muda, tapi tiada siapa peduli. Minda mereka tidak mampu meneroka lebih jauh daripada santapan hiburan.

Lebih sedih lagi, selepas mengibar jalur gemilang, kelihatan anak-anak muda yang tiada arah tujuan tidur di tepian jalan beralaskan jalur gemilang. Barangkali mereka merasakan amannya negara sehingga tiada kisah di mana hendak beradu. Apakah ada makna jalur gemilang bagi mereka, adakah kalimah MERDEKA yang mereka laungkan dengan penuh semangat itu, terbit dari hati yang telus dan tulus? jawablah hai anak bangsa..jawapan itu hanya ada padamu..fikirkan..renungkan..

No comments: