Wednesday, May 26, 2010

::senjata mukmin::


Doa merupakan senjata bagi orang mukmin. Doalah menjadi penghubung kita dengan ALLAH Yang Maha Mendengar tanpa memerlukan medium atau perantaraan. Mintalah kepada-Nya, mohonlah apa sahaja, dalam apa jua keadaan dan di mana kita berada, DIA pasti mendengar. ALLAH berfirman yang bermaksud: "Dan apabila hamba-Ku bertanya kepada-Ku mengenai-Ku, sesungguhnya Aku terlalu hampir. Aku perkenankan doa orang yang meminta apabila dia berdoa kepadaku." (Al-Baqarah:186)

ALLAH tempat pergantungan setiap makhluk. ALLAH menjadi pelindung dan tempat untuk mengadu serta menagih simpati. Kita memohon kepada-Nya bukan sahaja di kala susah, malah di waktu lapang dan senang. Adakalanya permohonan dan permintaan kita ditunaikan dalam waktu yang kita inginkan. Pada ketika yang lain pula DIA memberi sesuatu yang tidak kita pinta. Malah, adakalanya ALLAH menangguhkan permintaan kita sehingga tiba suatu masa yang ditentukan. Semuanya ada hikmah yang tersembunyi. Pastinya kita akur bahawa ALLAH Maha Tahu apa yang terbaik untuk kita. Maka di dalam kandungan doa yang kita pohon, mintalah apa yang terbaik untuk kita yang ALLAH tentukan terbaik untuk kita.

Oleh itu, jika ALLAH segera memperkenankan doamu, bersyukurlah kepada-Nya melalui sujud-Mu, agar engkau tidak lupa akan pemberian-Nya. Jika permohonan-Mu masih belum ditunaikan, maka bersabarlah dan jangan jemu untuk terus meminta kerana ALLAH masih ingin mendengar rintihan dan rayuanmu di dalam doa yang kau panjatkan. Jika ALLAH memberi sesuatu yang lain daripada yang dipinta, maka berterima kasihlah kepada-Nya yang memberikan sesuatu yang terbaik buatmu malah lebih baik daripada apa yang kau pinta.

Jika kita percaya bahawa setiap yang terjadi di dalam kehidupan ini adalah di bawah penguasaan dan peraturannya, kita akan dapat menghadapi segala cabaran dan mehnah yang mendatang dengan penuh ketenangan.

Bersyukurlah di atas setiap pemberian-Nya kerana DIA ALLAH Ya Rahim, Ya Wahhab, Ya Razzaq, Ya Muhaimin, Ya Latif, Ya Sami', Ya Khabir, Ya 'Alim..

No comments: