Saturday, July 21, 2007

redha..

-i-
(2002)

"Abah..ADA nak masuk Darul Quran. Kawan dah bagi borang". kubertanya saat abah menalipon terus dari tanah suci. "Darul Quran tu macam mana? ADA masuk UIA jela". Terus aku akur dengan kehendak abah&mama. Lagi pula masa tu SAR sedang ditutup oleh pihak kerajaan. Abah&mama takut nasib aku nanti entah ke mana lantaran tidak tahu di mana asal-usul Darul Quran itu. Alhamdulillah..pertengahan Jun itu aku mendapat berita diterima masuk UIA.


-ii-
(2007) April

Seusai selesai imtihan nihaa'ii untuk semester terakhir. Aku menyatakan hasratku untuk menyambung pengajian ke peringkat master. Borang master telah siap diisi tanpa pengetahuan abah&mama. Suatu malam, mengajak mereka berbicara, mencungkil isi hati ayah bonda yang terpendam di lubuk hati, jua memohon secebis restu mereka agar perjuangan ini diberkati-NYA. Kata abah: "Kerja dulula. Master boleh sambung lagi bila-bila". Aku akur. Walaupun gejolak hati meruntun minta dipenuhi. Berfikir dan berfikir.. Menghitung sedalamnya.. Ya, aku perlu tangguhkan dulu cita-cita itu. Aku perlu meringankan beban abah&mama. Sudah cukup jasa mereka menanggung pengajianku sehingga tamat ijazah pertama. Nun dibelakang, mereka masih punya beban yang berat untuk menanggung 5 orang adikku.


-iii-
(2007) 20 jun

"ADA, baliklah. Abe masuk wad. Kalau nak tunggu abah ambik tak tahu bila lagi." Tengahari itu abah menelefonku memberi perkhabaran. Bingung sebentar. Rasa apa yang aku dengar ini hanya gurauan semata. Dah 2 minggu aku di Muadzam Shah membantu Mak Ni (mak sedara) yang baru bersalin menjaga anak-anaknya. Dan aku sangka lama lagi aku berada di situ. Tapi rupanya tidak. Aku bersyukur yang aku akan pulang hari itu. Bukan tidak gembira tinggal di sana. Cuma aku rindu pada suasana yang biasa aku rasai. Malam itu juga aku bertolak pulang bersama Mak Teh yang kebetulan datang berkunjung ke Muadzam.

Keesokan hari dan hari-hari seterusnya aku bermastautin di hospital. Menemani abe yang sakit bersama abah & mama di Hospital Ampang Putri. Hari ke-3 di sana, abe menjalani pembedahan membuang ketumbuhan yang membesar di dalam perut. Selama abe menjalani rawatan, wajah abah benar-benar sugul. Hanya diam menjadi peneman dirinya. Sepanjang hidup aku tak pernah tengok abah risau begini. Rupa-rupanya abe kena kanser. Banyak juga duit yang habis untuk membayar wang perubatan abe. Dan kini abe perlu menjalani rawatan susulan pula..kimoterapi.

Ya ALLAH..baru aku mengerti kenapa abah suruh aku tangguh dulu pengajian dan cari kerja. Rupanya naluri abah&mama telah dapat meneka kejadian yang bakal berlaku.


-iv-
(2007) Jun

#Muadzam Shah#
Pagi itu semasa sibuk mengacau adik Amar Hamka yang sedang lena, panggilan dari Tourism Malaysia membuatkan hatiku berbunga riang. Aku begitu bersemangat untuk menerima tawaran kerja yang dikatakan. Ya, kerja di KLIA sebagai pegawai sambilan menyambut tetamu asing berbangsa Arab. Aku yakin dapat bekerja di situ. Bila abah menelefon seperti biasa aku menyatakan hasratku. "Kalau kerja kat KLIA camana nak pergi?". Abah menjawab dengan nada yang keruh. Ada keraguan pada suara itu. Aku hanya diam membisu. Dan mulai hari itu, aku tekad akan menerima jua kerja itu walaupun memang agak sukar untuk ke sana. "Ah..tak kisahla. Yang penting dapat kerja dulu. Camana nak pergi tu fikir kemudian." Hati kecilku berbicara. Hari ke-4 di hospital baru aku dapat menghantar borang Tourism. Hari ke-5, aku mendapat panggilan dari UIA untuk datang interview. Aku kebingungan. Kalau hendak diikutkan hati, aku memang ingin kerja dengan tourism kerana kerjaya itu sesuai dengan minat dan degreeku (bahasa arab). Tapi, aku hanya mampu memilih antara satu. Yang manakah yang terbaik? Lagi pula interview untuk kedua-dua kerja ini jatuh pada hari & waktu yang sama, iaitu Jumaat jam 3 petang. Akhirnya, abah telah memberikan jawapan padaku. Dia menyuruhku terima panggilan dari UIA. Katanya lebih senang dan selamat. Aku akur walau hati tetap meronta. Petang itu, jam 3.05 aku menjadi orang pertama yang diiterview. Masih ada 4-5 orang lagi sedang menunggu. Dan jam 4.20 petang, aku menerima panggilan untuk memulakan kerja pada Isnin minggu berikutnya. Syukur, mudahnya urusanMU Ya Tuhan. Mungkin berkat doa abah dan mama juga. Walau pendapatannya tidaklah sebanyak kerja di tourism, aku tetap bersyukur.


-vi-

Dan kini, permintaan abah juga supaya aku menghadiri temuduga J-qaf. Walaupun hakikatnya aku tidak berminat tetapi aku akur kerana aku tidak tahu di mana rezekiku. Mungkin Allah permudahkan segala hal yang direstui abah & mama. Jika itu ketentuan-NYA aku redha dengan segala. Asalkan hati abah & mama tenang dan bahagia, aku jua akan merasakan perasaan yang sama.



- Ya ALLAH, aku redha dan terima segala ketentuan-MU dengan hati yang tenang, damai dan lapang. KUmemohon agar DIKAU kurniakan yang terbaik untukku-

1 comment:

muhsinah said...

sebagai puteri pada ibu dan ayah...adakalanya memerlukan sedikit pengorbanan buat mereka. redhakanlah permintaan mereka...insyaAllah...itulah yg terbaik buat kita.