Sunday, December 28, 2008

::masam manis ceritera 2008/1429::

BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM..

Tahun baru makin menghampiri, iaitu tahun hijrah dan jua tahun miladi. Esok (29-12-08 / 1 Muharram 1430H), fajar hijrah bakal menyinsing menebarkan sinar cahaya buat sekalian makhluk Tuhan. Semoga cahaya yang memancar ini menyuluh jalan kehidupan kita ke arah redha Yang Maha Pencinta. Beberapa hari lagi, hadirlah 1 Januari membuka tirai tahun baru 2009. Terlalu banyak harapan dan doa yang berselindung dihati, hendak dirafa'kan kepada Yang Maha Mendengar, semoga dipermudahkan segala urusan dan diberkati segala amalan dan perbuatan. Semoga jua hambaMU ini makin teguh imannya dan cekal sanubari dalam menempuh ranjau hidup yang semakin mencabar. Harapan jua agar DIKAU jadikan hambaMU ini hamba yang bersyukur di atas segala nikmat anugerah pemberianMU.

Mengimbau bait-bait memori yang terukir dibingkai kenangan sepanjang tahun ini, begitu terasa masam manisnya kehidupan. Ada perkara yang memeritkan untuk dilalui, tapi penuh pengajaran dan kesedaran. Ada jua perkara yang begitu menyentuh naluri hati, membenihkan bunga-bunga cinta yang mekar pada sang pencipta. Ada jua perkara yang menguji kecekalan dan kegigihan sang pejuang, mengajar erti usaha dan pengorbanan. Segalanya amat manis untuk dikenang. Mendidik diri memahami erti dan makna "SYUKUR". Alhamdulillahi 'alaa kulli haalin.

::Mengimbau kenangan::

Kenangan Pahit 2008:
Kehilangan abang tersayang pada 11/2/08 bersamaan 4 Safar 1429H.

Kenangan terindah 2008:
Diberi peluang menjadi tetamu ALLAH pada 26/5/08 - 4/6/08.

Kenangan manis:
-> Dapat mengharungi badai perjuangan MAASL sesi 08/09 dengan penuh kesabaran dan ketabahan.
-> Diberi kepercayaan untuk menjadi hakim debat piala diraja 2008.
-> Pertemuan bersama ahli-ahli COMRADE sempena ALUMNI COMRADE 90-an -2008.
-> Dapat memenuhi impian seorang ayah.
~~Kusyukuri segala nikmat anugerah kurniaanMU~~

Saturday, December 13, 2008

~~Bimbinglah daku~~

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

Alhamdulillah..Aku mengucap syukur kehadrat Yang Maha Penyayang kerana memberiku kekuatan menamatkan kerja kursus untuk master. Akhirnya habis juga 10 subjek yang perlu diambil sebelum mulakan penulisan tesis. Aku juga bersyukur kerana keputusan untuk semester ini lebih baik daripada semester lepas. Serasa tak cukup dengan rasa kesyukuran untuk membalas segala nikmat kurniaanNYA. Kini, aku sedang memikirkan tajuk yang sesuai untuk mulakan tesis. Moga Dikau permudahkan urusan ini Ya ALLAH. Aku juga mula memikirkan tentang kerjaya. Ya, sekarang aku harus mula bekerja. Aku perlu bekerja untuk membantu keluarga. Meringankan beban abah dan mama yang telah sekian lama membanting tulang membesarkan kami adik-beradik. Kumemohon setulus hati, Kau bimbinglah aku ke jalan redhaMU, Kau pimpinlah daku menuju gerbang rahmat dan maghfirahMU. Moga aku menjadi hambaMU yang bersyukur atas segala nikmat kurniaMU. Kurniakan aku kejayaan dunia dan akhirat.

::Menyelami yang tersirat::

Dengan namaMU Ya ALLAH Tuhan Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang.

Jika kita perhati dan amati setiap detik kehidupan yang kita lalui sehari-hari, sebenarnya setiap perlakuan, keinginan, perasaan, semuanya mempunyai sebab dan makna yang tersirat. Pernahkah kita terfikir tatkala melihat mentari yang menyinar terang tiba-tiba berselindung disebalik awan kelabu, lantas deraian hujan turun laju membasahi bumi. Adakah terbit persoalan dihati mengapa hujan perlu turun ketika kita inginkan terang mentari menceriakan alam?

Terkadang kita memandang apa yang berlaku di hadapan mata dengan bersahaja, tanpa memikirkan kenapa ia mesti berlaku begitu. Kita ambil contoh yang paling dekat dengan diri kita untuk difikirkan dan diambil pedoman. Saya mempunyai seorang abang yang berusia 26 tahun. Abang yang ceria, cergas dan rapat dengan saya. Namun takdir ALLAH, dia pergi dahulu ketika usianya masih muda, tiada siapa pernah menyangka. Jika saya memandang takdir ini dengan mata kepala, sudah tentu saya akan merasakan bahawa Tuhan itu tidak adil. Tuhan tidak memberi peluang kepada abang untuk menikmati kehidupan yang masih jauh, dan peluang untuk saya dan keluarga menyemai kasih-sayang kekeluargaan bersama abang. Namun, apabila saya memandang ketentuan ini dengan mata hati, tiada gundah menyinggah. Malah tenang setia membujuk nurani menghadirkan redha dalam diri. Alhamdulillahi 'ala kulli haaliin -segala pujian bagi ALLAH atas setiap sesuatu-. Inilah kalimat yang paling telus diungkapkan tatkala menerima ketentuanNYA, nikmat atau musibah. Diri ini insan kerdil ciptaanNYA, hanya mampu berserah padaNYA. DIAlah yang Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk sekalian hambaNYA.

Jika saya melihat pada sekujur tubuh usang tok ayah, pasti hati tersentuh. Benarlah Tuhan itu Maha Kuasa, Maha Menentukan dan Maha Tahu. Tok Ayah yang berusia lebih 80 tahun pada kiraan saya, terbaring lesu di kamar. Gaya tidurnya bagaikan anak kecil yang baru dilahirkan. Ingatannya sudah pudar. Gagahnya makin lesu. Perangainya keanak-anakan. Benarlah pusingan masa menjadikan manusia kembali kepada fitrahnya. Ada insan yang dipanjangkan usianya. Ada pula yang singkat masa kehidupannya. Semuanya ada hikmah. Ada makna yang tersirat disebalik yang tersurat. Persoalan mengapa ia terjadi perlu diungkap. Bukan untuk membantah atau menafikan kuasa Yang Maha Esa, namun untuk dihayati dan direnungi agar iman terdidik dengan iktibar dan pengajaran.

Mengapa pula terjadinya kejadian tanah runtuh di Bukit Antarabangsa beberapa hari sebelum hadirnya Eidul Adha? Pasti ada hikmah yang tersembunyi. Masing-masing memperkata sebab-sebab berlakunya tanah runtuh. Ada yang menyimpulkan kejadian tersebut disebabkan oleh faktor tanah, ada pula yang menyalahkan pihak pemaju, ada juga yang menyatakan ini adalah hukuman Tuhan, dan tak kurang yang mengatakan insiden ini merupakan amaran atau peringatan daripada Tuhan. Walau apa pun alasannya, sesungguhnya DIA Yang Maha Mengetahui. Namun, kita sebagai insan perlu melihat bahawa kejadian seumpama ini merupakan ujian daripada ALLAH. Banyak maksud yang tersirat disebalik tragedi tanah runtuh ini. Bagi yang kufur nikmatNYa selama ini, DIA ingin menyedarkan. Buat yang sentiasa ingat padaNYA, DIA ingin menguji keutuhan iman. Bagi mereka yang sering mencemari bumi dengan dosa dan noda, DIA berikan pengajaran. Sebagaimana firman ALLAH dalam surah Al-Mulk ayat kedua yang bermaksud: "Dialah yang menciptakan kematian dan kehidupan sebagai ujian buat kamu, siapakah di antara kamu yang lebih baik amalannya".

Pandanglah sesuatu dengan mata hati. Insan diangkat darjat menjadi makhluk yang paling mulia di sisi ALLAH, diciptakan dengan sebaik-baik kejadian melalui anugerah akal fikiran. Maka gunakanlah pemberian Tuhan dengan sebaiknya. Berfikirlah, renungilah..Moga sentiasa tetap di atas jalan kebenaran. ALLAH mengajak kita berfikir pada setiap kejadian ciptaanNYA sebagaimana dalam surah Al-Ghasyiyah ayat 17-20 yang berbunyi:
(17) -Mengapa mereka yang kafir masih mengingkari akhirat- tidakkah mereka memerhatikan keadaan unta, bagaimana ia diciptakan?
(18) Dan keadaan langit, bagaimana ia ditinggikan binaannya?
(19) Dan keadaan gunung-ganang, bagaimana ia ditegakkan?
(20) Dan keadaan bumi, bagaimana ia dihamparkan?

Jika setiap insan itu memikirkan tentang ayat-ayat ini, melihat kejadian ALLAH ini dengan mata hati, serta mentafsir dan merenungi sedalam-dalamnya, pasti mereka akan menemui satu hakikat, bahawa ALLAH yang menciptakan segalanya, ALLAH Yang Maha Kuasa, dan ALLAH jua Yang Maha Kaya yang menjadikan setiap kejadian itu berguna dan bermanfaat. Sama-sama kita renungi, moga ada barakah daripadaNYA.

Thursday, December 11, 2008

Mabruk alaikum..

BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM..

Segala puji bagi ALLAH atas segala nikmat kurniaNYA.

Pertamanya saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah buat para pendebat UIAM khususnya kategori Bahasa Arab kerana mengungguli kejohanan debat diraja yang berlangsung di taman ilmu dan budi pada 28/11/08-3/12/08 yang lalu..Syabas buat semua dan teruskan kecemerlangan=)..

Tahniah juga buat sahabat tercinta, Nur Hafizah Ahmad Tajuddin yang telah menjadi suri dalam rumah tangga, kudoakan moga dikau bahagia selalu dan diberkati ILAHI sepanjang kehidupan ini..Layarilah bahtera rumah tangga dengan bijaksana moga Jannah menjadi mahligaimu di kemudian hari=)..

Dikesempatan ini, kuingin sampaikan ucapan tahniah buat k.wani (Wan Shawani Che Omar) atas pernikahannya dengan pilihan hati. Moga dirimu sentiasa ceria di samping suami tercinta. ::Teringat kenangan lalu ketika kita bersama di aspuri MMP=)::

Sekalung tahniah juga buat K.Aisyah Musa, Research Management Centre officer yang akan menamatkan zaman bujangnya..emm, akhirnya kahwin juga k.aisyah ye...hehehhe..Moga berbahagia selalu..

dan buat kawan-kawan, sahabat-sahabat, jua teman-teman yang jauh di mata tapi dekat di hati..moga kalian diberkati selalu..

Wednesday, November 12, 2008

Di mana hati?

Di mana hati?
Lama kubertanya
Masih tiada jawapan

Ke manakah hati?
Pergi tanpa bicara
Hilang tanpa jejak

Kumencari
dan masih mencari
secebis daging bernama "hati"

kembalilah duhai hati
pulang dengan senyuman
isilah kekosongan ini

Wednesday, November 05, 2008

hikmah dalam hikmah

Innallaha 'aliimun khobiir...Sesungguhnya hanya ALLAH sahaja yang Maha Mengetahui segala yang tersurat mahupun yang tersirat..



Hari ini madah terakhir untuk final. Jam 9 pagi masuk ke dewan peperiksaan, soalan sudah tersedia menanti untuk dijawab. Namun, aku memandang soalan itu tanpa perasaan. Sebabnya? Aku tak perlu menjawab soalan itu. Mengapa? Kerana memang tiada peperiksaan untuk madah ini. Markah final dinilai dari seminar dan kertas kerja yang disiapkan. Hanya menunggu arahan daripada ustaz untuk keluar dewan. Sebenarnya hati ini agak keliru juga. Benarkah tak perlu jawab soalan? Bolehkah keluar macam tu je? Masakan tidak tak pernah lagi ambil subjek yang tak payah exam. Akhirnya, tak sampai setengah jam, aku dan sahabat-sahabat sekelas dibenarkan keluar dewan. Alhamdulillah...lega..Nasib baik juga ada seminar..tak payahlah susah-susah nak exam.

Jam 2ptg..jumpa ustaz tentang assignment testing&evaluation...assignment yang dirasakan agak berat dan mencabar. Pada mulanya bagai tak nampak cahaya, apa sebenarnya yang mahu dicari, tapi kini cahaya itu sudah terlolos..dari assignment biasa untuk subjek, sekarang assignment ini sudah seakan minor research, report yang ditulis perlu dihantar salinannya kepada head department. Kiranya aku dan kawan-kawan sedikit-sebanyak memberi sumbangan kepada perkembangan dan pembaharuan arabic department. Untuk melaksanakan assignment ini, kami perlu menemubual para pensyarah dan membahagikan soal selidik untuk mereka jawab. Dalam temubual yang dijalankan, aku berasa amat bertuah terpilih untuk melakukan tugasan ini walau mencabar, kerana padanya ada mutiara yang tak mampu aku peroleh melalui sesi pembelajaran di dalam kelas. Begitu juga ketika meminta para pensyarah menjawab soal selidik, rasa suka, semangat, perit, pedih semuanya kami rasa. Sungguh, banyak betul faedah yang aku dapat daripada tugasan ini. Melalui teguran, kritikan, dorongan dan kata-kata semangat para pendidik, aku dapat melihat, menerobos lebih jauh ke alam kehidupan nyata.

Syukur padaMU RABBI..

Wednesday, October 22, 2008

Alhamdulillahi 'ala kulli haalii..

Bismillahi tawakkaltu wahuwa Rabbul 'arsyil 'azim..

Allah Maha Pengasih...Allah Maha Penyayang...
Pujian hanya layak untukMu...

Alhamdulillah..hadirnya hari ini bermakna telah selesai 3 paper untuk final exam. Lega sedikit rasa hati, bolehla aku tumpukan pada kerja-kerja sekolah yang belum siap lagi. Sememangnya setelah tamat sambutan hari raya, kerja untuk 5 subjek sedang menanti untuk disiapkan. Di tambah dengan seminar dan presentation yang perlu juga diberi perhatian. Kadang-kadang rasa macam robot pun ada, kerja tak pernah habis. Selepas siap satu kerja, terus kena siapkan kerja lain. Namun, dalam diam aku bersyukur...DIA masih memberiku kekuatan untuk menghadapi semua itu. Habis final nanti..tiada lagi kelas yang perlu aku hadiri..Tapi cabaran lain pula sedang menunggu. Moga diberi kekuatan, ketenangan, kemudahan untuk menghadapi kehidupan mendatang.

Sunday, October 19, 2008

salam lebaran..

Segala puji bagi ALLAH Tuhan sekalian alam..Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang.

Rasanya masih belum terlambat untuk mengucapkan Salam Lebaran buat semua, yang jauh mahupun yang dekat..Maaf dipinta andai ada salah dan silap selama perkenalan terjalin..Kudoakan semoga semuanya sihat, ceria, dan sentiasa dalam lindungan rahmat dan kasih Ilahi..Moga ukhwah yang bersemi lestari selamanya dalam keberkatan Yang Maha Penyayang..

Sunday, August 31, 2008

marhaban bik ya ramadhan!!

Bismillahirrahmanirrahim.

ahlan wa sahlan ya ramadhan..anta ahsanul Asyhur linnasi ajma'in..ji'ta bir rahmah, wa tabsutu lana maghfirah, wa tahdiina ila sabil najaatin minan naar..

Salam ramadhan buat semua sahabat walau di mana berada. Moga kedatangan ramadhan kali ini dapat mencuci dan membersih dosa noda kita yang lalu. Agar jiwa terdidik dengan keteguhan iman dan dapat merasai kemanisan beribadah..Sama-samalah mengejar keberkatan dan keampunan yang terhampar di bulan yang mulia ini..Moga diberi peluang bertemu lailatul qadr.. Amin...

Sunday, August 24, 2008

::memori bersama teman::

rindu kenangan semalam bersama teman-teman menyusuri kembara kehidupan..

Antara kita tiada rahsia

Susah dan senang tetap bersama

Terpatri namamu

Kau takkan kulupa


Sudah bertahun lama

Kita tidak lagi bersua

Hanya tinggal kenangan

Yang tak mungkin kita lupa


Kirimkan khabar selalu

Seiringan hembusan bayu

Sekadar pengubat rasa rindu dikalbu


Pantas masa berlalu

Meninggalkan kita semua

Tanpa disedari bertambahlah usia kita


Potret lama masih kusimpan

Kubingkaikan kenangan

Hingga terkadangku

Tersenyum sendirian


Oh perjalanan kita masih jauh

Jalanan berliku akan kita tempuh

Imbaslah kenangan semalam jadi azimat

Penguat semangat menempuh masa hadapan

Harapanku kau kan bahagia selalu


Padaku engkau penghibur duka

Pengubat hati resah kecewa

Dikala malamku kau bawa cahaya


Antara kita tiada rahsia

Susah dan senang tetap bersama

Terpatri namamu

Kau takkan kulupa


Perjalanan kita masih jauh

Jalanan berliku akan kita tempuh

Imbaslah kenangan semalam jadi azimat

Penguat semangat menempuh masa hadapan

Harapan ku kau kan bahagia selalu


Sematkanlah bingkisan rindu dikalbu


-far east-

Wednesday, August 20, 2008

Tak Ku sangka


Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang.



Khamis (14/8/08).

Kelas tamat jam 1 tengahari. Kalutnya hari ini. Banyak urusan yang belum selesai. Kemas kain baju. Kemas dapur. Kerja sekolah yang nak di bawa. Bank in duit Fadil. Beli barang kiriman mama.

Sampai di rumah, perut sudah berlagu sayang, minta di isi. Berehat sebentar sambil memenuhi hak perut. Abah sudah pulang. Agak cepat hari ini. Aku malas bertanya jam berapa kami akan berangkat ke Kuala Lipis.

Aku cuba siapkan urusan seberapa segera yang mungkin. Jam tiga, abah bersuara: "Jom makan, selepas tu terus bersiap. Pukul 4 kita kena berangkat sebab abah ada dinner malam ni. Kena sampai sebelum jam lapan". Aduh, belum siap berkemas. Barang pun belum dibeli. Aku mengeluh.

Jam empat suku petang, kami berangkat. Hampir jam 7 malam, kami sampai di Kuala Lipis. Selepas check in hotel, aku, abah dan tiga adikku makan-makan sebentar di kedai berhampiran. Jam lapan malam, abah mengetuk pintu bilik hotelku dan bertanya:"nak makan tak?". Aku menjawab: "em, tak nak lah. Makan kat mana?". Abah menjawab: "makan kat lobi ni je. Kalau tak nak takpela". Abah terus berlalu pergi. Sebenarnya rasa lapar juga. Tapi perasaan malas membuatkan rasa lapar tu berkurangan. Sebentar kemudian, adik bongsuku datang mengajakku makan bersama. "Ada, jomlah makan. Abah suruh jumpa Pak Samad". Aku kehairanan. "Pak Samad?" Dek terdengar saja nama itu, semangat untuk makan kian membara. Aku segera bersiap untuk ke lobi.

Sampai di lobi, aku melihat seorang lelaki bertubuh kecil berambut putih, janggut panjang mengurai sedang berborak dengan abah. Aku menghampiri mereka. Lantas abah perkenalkan aku pada Pak Samad a.k.a A. Samad Said. Subhanallah! Tak sangka aku dapat berjumpa dengan sasterawan negara yang aku minati. Kami sempat berborak dan bergambar bersama. Rupa-rupanya Pak Samad juga terlibat dengan program anjuran Institut Perguruan Tunku Ampuan Afzan bersama abah.

Seronok rasanya..=) hehehe

Tahniah..sahabat

Firstly, congratulation to new spouses who just married on August 16 2008 (Naim&wife) & August 17 2008 (A.zul&M.Ana). May your relationship will remain forever with ALLAH's loves and blessings.

Secondly, congratulation to K.Ma who delivered her 1st baby boy on Friday morning, August 8, 2008. May ALLAH shines your day and eases your life.

Thirdly, congratulation to Jah and Lyn for their engagement, sorry for late wishes..=)

Fourthly, not forget to congratulate Thurayya and say sorry for not attending her wedding ceremony. I hope you will happy always with your new life.

Last but not least, congratulation to all my beloved friends wherever you are who i didn't mention here, I pray that may you succes in your daily lives and hereafter.

-I love you all-

Tuesday, August 05, 2008

Tuhan..kumohon kekuatan

YA RABBI..kumohon kekuatan hati..kupinta keteguhan jiwa..sepanjang melalui sem terakhir untuk madah. Bantulah aku dan permudahkan segala urusanku..kurniakan ketenangan menghadapi apa jua rintangan. Moga kuperoleh kemenangan..Amin Ya Rabb..

Thursday, July 10, 2008

::Di hari kelahiranmu, abangku::


-ENTRI LAMA-

khas buat abang sempena hari kelahirannya yang ke -26 (AL-FATIHAH)
FIRDAUS dalam kenangan (2 mei 1982 - 11 Februari 2008)

salam buatmu duhai abangku
di hari kelahiranmu
tiada hadiah dapat kuberi
cuma sekalung al-fatihah
dan seuntai doa
tanda ingatanku padamu

deritamu di dunia sudah berakhir
titisan wudhuk ayahbonda
rintihan doa dalam sujudnya
jua sapuan zamzam
setia menemanimu
kala menghadap kekasih abadi

betapa
kulihat jasadmu
tatkala sakaratul maut menjemput
tenang, aman
seolah dirimu lena dibuai mimpi

kutahu tamat sudah deritamu
kupasti DIA menjagamu
kerna DIA kekasih sejati

kami redha dengan pemergianmu
kau cuma pinjaman
untuk kami merasa secubit bahagia
DIA pemilik abadimu
kami jua milik-Nya

tatkala rindu bertamu
ku akan menziarahimu
merenung pusara kaku
menyapamu dengan kalam suci

aku memohon pada Yang Maha Mendengar
agar kau dirahmati dan diredhai
dinaungi cahaya kasih
semoga kita kan berjumpa
suatu masa nanti

Nostalgia Pos Lebir

Kisah ini ingin kuabadikan dalam diari hidupku dan akan kekal menjadi memori manis. Aku fikir teman-teman seperjuangan jua merasakan perkara yang sama. Kunjunganku ke Pos Lebir kali ini (27-30/6/08) merupakan kunjungan ketiga buatku. Kali pertama aku ke sana pada tahun 2005, dan kunjungan kedua menyusul pada tahun lepas iaitu (2007).
Setiap kunjunganku ke ‘daerah ukhwah’ ini mencoretkan cerita dan pengalaman yang berbeza. Pada tahun 2005, aku melihat penerimaan orang kampung terhadap kedatangan para da’ie Comrade agak hambar. Betapa sukarnya kami untuk memikat hati para penduduk kampung, hinggakan kanak-kanak juga tidak berjaya kami pikat. Apatah lagi orang dewasa dan para remaja di situ. Sungguh orang kampung ini yang berlatarbelakangkan kaum bateq amat pemalu orangnya. Agak buntu juga kami ketika itu, sarat kepala memikirkan bagaimana caranya untuk menawan hati penduduk kampung. Berbekalkan semangat kental dan niat yang murni, kami terus cuba memikat hati para penduduk tanpa rasa jemu. Pelbagai cara kami gunakan; ada yang mengikut nak (amek) menangkap belalang, ada juga yang pergi dari rumah ke rumah membawa khabaran kenduri akan diadakan untuk penduduk kampong, dan ada yang cuba memikat adik-adik dengan gula-gula yang beraneka warna. Akhirnya, sekumpulan kanak-kanak telah berjaya kami tawan. Lantas biro modul memulakan tugasnya melayan kanak-kanak dengan kertas putih dan pensel warna . Tidak lama kemudian, kedengaran deruman enjin motor bersilih ganti menghantar anak-anak kecil mengikuti program kami.Alhamdulillah, puji dan syukur kami panjatkan buat-Mu Tuhan Yang Maha Penyayang. Akhirnya, warga Pos Lebir dapat menerima kehadiran kami.
April 2007, Comrade sekali lagi menjadikan Pos Lebir sebagai destinasi program masuk kampung untuk sem tersebut. Namun, tidak banyak yang dapat kuceritakan perihal program kali ini kerana aku tiba di sana pada malam terakhir program. Cuma apa yang dapat kukatakan, warga Pos Lebir semakin menerima kehadiran kami dan menganggap kami sebahagian daripada mereka. Di sini dapat dilihat, jalinan ukhwah antara kami dan penduduk kampung semakin erat.
Untuk program yang baru sahaja seminggu berlalu, kehangatan ukhwah itu masih utuh terasa walaupun aku di sana cuma 3 hari. Sungguh, program kali ini begitu menyentuh sanubari hati. Jalinan ukhwah yang makin tersimpul erat atas nama Islam itu kurasakan begitu bernilai daripada sebutir permata. Walaupun aku tahu, pada permulaan program penduduk kampung tidak dapat menerima kehadiran kami, tapi kerana nilai ‘ukhwah’ segalanya dipermudahkan Yang Maha Penyayang. Kemesraan jelas terpancar dari raut wajah mereka, terutama adik-adik, lantas diluahkan melalui keakraban. Tidak kira yang kecil mahupun yang besar, semuanya mesra dan peramah bertanyakan itu dan ini pada abang-abang dan kakak-kakak Comrade. Hilang sudah rasa malu dan segan. Kukira itu merupakan satu perkembangan yang baik. Saat yang paling mengharukan aku, ketika kami sedang bersiap untuk pulang ke taman ilmu dan budi pagi Isnin itu, kulihat adik-adik sedang berdiri di pagar sekolah dengan linangan air mata. Aku yang ketika itu baru sahaja ingin menjamah sarapan menjadi hilang selera. Lantas aku dan beberapa orang teman meluru ke arah mereka. Kami berpelukan erat, memberi kata semangat, dan sama-sama membaca doa wihdah. Selamat tinggal Pos Lebir, kami datang membawa harapan, kami pulang bersama kenangan.

Tuesday, June 24, 2008

kerlipan cinta


Hidayah..

Kerlipan cipta cintaku

Harum rembulan mawar

Dingin dihakis cita keseorangan



Aku..

Masih menghitung diri

Kesiangan yang panjang

Ingin mengisi hati..



Pada-Mu kasih

Satukan aku

Dengan rahmat-Mu

Dengan kalimah



Malam siangku

Berliku-liku

Duri dugaan

Siratan cinta



Biar di jemala mentari

Dan di bahu gunung berapi

Pasrahku abadi untuk-Mu

Untuk-Mu



Kukembara setia di sisi-Nya

Kuinginkan bahagia abadi

Kuimpikan sentosa naungan-Nya

Selamanya..

-rabbani-

Tuesday, April 22, 2008

Lautan pujian hanya untukMU

Alhamdulillah..syukur kupanjatkan buat DIA yang satu. DIA yang sentiasa menemaniku kala sendu dan tawa..DIA yang membangkitkan semangatku kala langkah kian goyah..DIA yang menitipkan seuntai tenang kala badai melanda diri..Segala-galanya hanya kerana DIA..Aku makin yakin bahawa kasih dan cintaNYA tetap utuh dan padu..Tulus kasihNYA membelai aku dengan sutera iman..lembut sayangNYA memimpin aku ke jalan lurus..betapa abadi cintaNYA setia bersamaku tiap waktu dan ketika..YA RABBI..aku begitu bersyukur akan segala nikmat yang KAU anugerahkan buatku sepanjang kehidupan ini..aku pasrahkan jiwaku untukMU..hidupku..matiku..ibadahku...hanya untukMU TUHAN..

Segala pujian untuk Tuhan Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang atas kurniaanMU..KAU hadiahkan aku keputusan yang baik..ALHAMDULILLAH..

Sunday, April 06, 2008

Ya ALLAH..tetapkanlah hati kami..

YA ALLAH..kau duga kami lagi..tetapkanlah hati kami menempuhi ujianMU Ya ALLAH. Petang ini, aku mendapat berita tok ayah tak sedarkan diri..dan petang ini juga, abah&mama hampir hanyut ke sungai dek air hujan yang naik akibat hujan lebat di UM. Nasib baik kereta sahaja yang rosak. Alhamdulillah..KAU masih beri peluang untuk bersama abah&mama lagi YA ALLAH..kami mohon padaMU..janganlah KAU uji kami dengan ujian yang tak mampu kami tanggung YA ALLAH. Ampunilah segala dosa kami...Amin..Ya Rabbal 'Alamin..

Monday, March 31, 2008

AnugerahMu..Kusyukuri

Sempena hari kelahiranku yang ke-25 (31 Mac 1983-31 Mac 2008)


Terima kasih padaMU
Atas anugerah kurniaan
sejak tangisan bergema
KAU hadiahi Iman dan Islam

Terima kasih buatMU
memberiku sinar
cahaya kasih insan penyayang
curahan kasihnya abadi

Terima kasih tak terhingga
memimpinku meniti kehidupan
menitip tenang di sudut hati
beronak duri tegar kutempuhi

Segala kurniaan anugerahMU...amat kusyukuri..
Puji&Syukur kupanjatkan buatMU atas kurniaan kehidupan ini..
KAU masih memberiku peluang menikmati dunia ini..

terima kasih buat sahabat yang senantiasa mengingati diri ini..Ucapan doa kalian amat membahagiakanku...moga ALLAH eratkan tautan ukhwah ini hingga ke akhirnya..insya ALLAH..terima kasih buat Dayah (my sis), Nana (my cousin), najmi (my cute cousin),Tengku, Una, Fatma, K.Yati, Thurayya, Jah, Tikah, K.Ika syg, sal, k.engku, ct khadijah dan shaifura atas ucapan kalian. Juga pada sahabat-sahabat yang sentiasa mendoakan kesejahteraan diri ini, moga ALLAH kurniakan rahmat dan maghfirah-Nya tiap waktu dan ketika.

Sunday, February 24, 2008

tiap waktu..pasti ada yang pergi..

Bismillaahirrahmaanirrahim..

Jumaat (22/2/08)

Jam menunjukkan 7.20 pagi..aku telah bersiap berpakaian lengkap..cadangnya sebelum ke kelas aku nak ziarah pusara abang..sudah terasa begitu rindu padanya setelah seminggu tak berkesempatan ke sana lantaran tugasan yang menghambat. Aku mengajak mama menemani aku ke sana. Tiba di kubur, aku lihat agak ramai orang sedang khusyuk menadah tangan, berdoa di hadapan sebuah kubur. Kelihatan juga seorang lelaki tua sedang tekun menggali kubur baru. Aku mencari-cari pusara abang. Buntu. Yang mana satu? Kenapa tiba-tiba rasa dah banyak pusara baru. Pening sebentar. Berfikir bagaimana caranya hendak tahu yang manakah pusara abang. Tiba-tiba aku teringat yang pusara abang ada diletakkan nombor. Ya, nombor abang 1255. Lantas aku terus merenung, mencari nombor yang ditetapkan. Aku melihat pusara yang agak baru, nombornya 1257. Lalu aku terus memandang ke depan. Rupanya orang ramai yang berkumpul tadi duduk di sebelah pusara abang. Maknanya sudah ada 3 kubur yang baru. Dan hari ini nampaknya bertambah lagi sahabat abang. Mama bertanya pada Wak penggali kubur: Wak, bila kubur-kubur ni ada? Jawab Wak: Baru minggu ni. Mula hari Selasa, berderet sampai hari ni (Jumaat). Subhanallah..Benar janjiMu pasti..Bahawa setiap jiwa akan merasai mati..

(kisah pemergian abang akan diceritakan kemudian) Insya ALLAH.

Sunday, February 17, 2008

S.A.B.A.R

Sabar..satu kata seribu makna
Andai diperhalusi penuh penghayatan
Bajai sabar dalam diri
Akar tenang kan tumbuh mekar
Ranjau dilalui peritnya tidak terasa

Saturday, January 19, 2008

peringatan buat akhawat..

PERINGATAN UNTUK WANITA
(Diambil dari sabda2 Rasulullah s.a.w.)

1. Wanita solehah adalah lebih baik dari seribu lelaki yang tidak soleh.

2. Wanita apabila melaksanakan solat 5 waktu, puasa sebulan Ramadan, memelihara kehormatan diri serta taatkan suaminya, berpeluanglah ia memasuki mana-mana pintu syurga yang dikehendakinya.

3. Saidatina Aisyah r.a. berkata : “Saya pernah bertanyakan Rasulullah s.a.w. tentang siapakah manusia yang terlebih berhak terhadap wanita?”
Jawab Rasulullah s.a.w. : “Suaminya”. Bertanya pula Aisyah : “Siapa pula terlebih berhak terhadap lelaki?”. Jawab Rasulullah s.a.w. : “Ibunya”.

4. Apabila kamu dipanggil oleh kedua ibu bapamu, maka jawablah panggilan ibumu terlebih dahulu.

5. Sesiapa yang dikurniakan Allah wanita yang solehah, sesungguhnya ia telah dikurniakan separuh dari agamanya, maka yang separuh lagi hendaklah ia berbakti (bertakwa) kepada Allah.

6. Sebaik-baik wanita ialah yg tinggal di rumah, tidak keluar kecuali atas urusan mustahak. Wanita apbl keluar akn dip’sonakan (digoda) oleh iblis.

7. Haram bagi wanita melihat lelaki sebagaimana lelaki haram melihat wanita (bukan muhrim) kecuali dalam menuntut ilmu dan berjual beli. Suatu hari ketika Rasulullah s.a.w. bersama isteri-isteri baginda (Ummu Salamah dan Maimunah), datang seorang sahabat yang buta (Ibnu Maktum). Rasulullah menyuruh kedua-dua isterinya masuk ke dalam rumah. Bertanya Ummu Salamah: “Bukankah orang itu tidak dapat melihat kami ya Rasulullah?”.
Rasulullah s.a.w. menjawab: “Bukankah kamu dapat melihatnya?.”

8. Wanita yg keluar rumah dgn memakai bau-bauan b’jln di hadapan org sehingga terhidu baunya, ia adalah berzina yakni seperti perempuan zina.

9. Tidak memuliakan wanita melainkan orang yang mulia dan tidak menghina mereka melainkan yang hina.

10. Dunia adalah perhiasan, sebaik-baik perhiasan ialah wanita solehah.

11. Wanita itu boleh dikahwini dengan sebab hartanya, kecantikannya, keturunannya dan agamanya. Hendaklah kamu mendapatkan yang kuat agamanya, tentu ia akan memberi ketenangan kepada kamu.

12. Salah satu tanda keberkatan wanita ialah cepat perkahwinannya dan cepat pula kehamilannya dan ringan maharnya (mas kahwin).

13. Wanita yang taatkan suaminya, semua burung-burung di udara, ikan di air, malaikat di langit, matahari dan bulan semuanya beristighfar baginya selama mana ia masih taatkan suaminya dan diredhai (serta dipelihara akan sembahyang dan puasanya).

14. Wanita yang taat berkhidmat pada suaminya akan tertutup 7 pintu neraka dan akan terbuka pintu-pintu syurga. Masuklah dari mana-mana pintu yang disukainya dengan tidak dihisab.

15. Mana-mana wanita yang bermasam muka menyebabkan rasa tersinggung hati suaminya, maka ia dimurkai Allah sehingga ia kembali bermanis muka dan tersenyum mesra terhadap suaminya.

16. Ibnu Umar berkata : Telah datang seorang kepada Rasulullah S.A.W. lalu bertanya : “Apakah hak suami atas isteri?” Jawab baginda : “Tunaikan hajatnya sekalipun engkau di belakang unta, jangan berpuasa sunat melainkan dengan izin suami, jika engkau berpuasa juga maka pahalanya untuk suami dan dosa untuk isteri, jangan keluar malainkan dengan izinnya: jika keluar juga akan dilaknat oleh Malaikat Rahmat dan Malaikat Azab sehingga kembali kembali engkau ke rumah.”

TIGA GOLONGAN DALAM NERAKA
(Dari sabda Rasulullah s.a.w.)

Dari Ali bin Abi Talib: “Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: “Tiga golongan dari umatku akan mengisi neraka jahannam selama umur dunia tujuh kali, mereka ialah :

a- Orang yang gemuk tetapi kurus.
b- Orang yang berpakaian tetapi telanjang.
c- Orang yang alim tetapi jahil.

Orang yang gemuk kurus ialah mereka yang gemuk tubuhnya tetapi kurus ibadatnya.
Orang berpakaian telanjang ialah wanita yang cukup pakaiannya tetapi tidak taat agama (seperti berpakaian nipis hingga terbayang tubuhnya atau terlalu ketat).
Orang alim jahil ialah ulama yang menghalalkan yang haram kerana kepentingan duniawi.

LARANGAN MELIHAT WANITA
(Dari sabda Rasulullah s.a.w.)

Haram bagi wanita melihat lelaki sebagaimana lelaki haram melihat wanita (bukan muhrim) kecuali dalam menuntut ilmu dan berjual beli. Suatu hari ketika Rasulullah s.a.w. bersama isteri-isteri baginda (Ummu Salamah dan Maimunah), datang seorang sahabat yang buta (Ibnu Maktum). Rasulullah menyuruh kedua-dua isterinya masuk ke dalam rumah. Bertanya Ummu Salamah: “Bukankah orang itu tidak dapat melihat kami ya Rasulullah?”. Rasulullah s.a.w. menjawab: “Bukankah kamu dapat melihatnya?.”

sumber:email

Monday, January 14, 2008

Hijrah ini..

hijrah ini
aku bersendiri
mengorak perjalanan
menyambung kembara

hijrah ini
kumembina kekuatan baru
mencari sinar cahaya
menyuluh jalanku

hijrah ini
kumengharapkan yang terbaik
rahmat, barakah, maghfirah
daripadaNYA, Sang Kekasih