Tuesday, September 26, 2006

mujahadah ramadhan

4 hari sudah kedatangan ramadhan, menghulur aku rahmat Sang Pencinta..menghiasi laman hidupku dengan bungaan barakah, jua menghampar lautan maghfirah bukti kasih dan cintaNYA padaku tidak bertepi..

aku menyambut kehadiran ramadhan dengan kuntuman senyum bahagia, sambil nurani mengalun irama tasbih dan takbir, tanda terujanya aku menerima kedatangan bulan mulia yang sering dinantikan..bagai sepasang kekasih yang sudah lama terpisah, bertemu kembali menghapus lara rindu yang mencengkam sanubari..

namun, apakah sudah aku melayani tetamu khasku dengan juadah yang sebaiknya? ya, perlu aku renungi kembali hal ini..kerana syurga dunia tidak pernah henti mengejar waktuku hingga lupa pada yang perlu kulakukan..seringkali ku enak melayani kehendak jiwa yang meminta dibelai dan dimanja dengan keenakan bisikan halus gemersik meniup tangkai jiwa longlai memujukku..

kekadang aku terbuai dengan kata2 manis bisikan itu, lantas kumenurut tanpa seulas bicara..aku telah dikhabarkan oleh sabda junjungan bahawa ramadhan datang mengajakku kepada syurga kenikmatan, DIA telah mempermudah bagiku jalan ke arah itu kerana DIA tahu aku insan yang lemah...musuh ketatku laknatullah telah DIA penjarakan, pintu2 ketakutan kengerian azab seksa jua telah DIA tutupkan, malah dibukaNYA pintu2 kebahagiaan nikmat abadi syurga kemanisan. Justeru, aku yakin dengan kemampuanku untuk perjuangan selama sebulan ini..aku yakin aku akan menang dengan mudah.. Namun, mengapa aku masih sukar untuk melaksanakannya dengan sebaik mungkin...adakalanya aku menemui kegagalan..pancainderaku sendiri melihat kekalahanku..mengapa begitu??

rupanya..aku lupa pada musuhku yang masih bebas dan bermaharajalela di bumantera ini..ya, dialah nafsu..seketul daging hitam yang sentiasa menggodaku menuruti kemahuannya dengan sehalus cara..bisikan itulah..ya, bisikan itulah yang selalu mengalahkanku dalam mujahadah ini..baru kumengerti, aku tidak boleh terlalu yakin dengan kemenangan tanpa kuperangi musuh durjana ini..ya, aku masih perlu berjuang..untuk kemenangan itu...

Saturday, September 23, 2006

ingatan buat diriku

tertarik dengan tazkirah yang bermakna ini:

"BUAT CALON ZAUJKU"

"Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani. Assolatuwassalam, selawat dan Assalamu'alaikum buat junjungan mulia, Muhammad saw Kekasih Istimewa.

Assalamu'alaikum Sejahtera buat calon suamiku, moga Allah sentiasa merahmati dan memberkati dirimu yang tidak pernah kutemui, namun doaku tidak pernah putus mengiringi setiap langkahmu demi meraih keredhaanNya…“Seindah perhiasan dunia adalah wanita yang sholehah,” Kumulakan warkah ini dengan bait indah yang ditinggalkan Rasulullah saw kepada seisi alam. Wanita solehah! Idaman semua muslimin di alam maya ini..Alhamdulillah, itulah anjuran Islam yang kita cintai, pilihlah wanita yang mampu menyejukkan pandanganmu dan juga baitul muslim yang bakal dibina tika sampai saat itu, insyaAllah.

Calon zaujku, ”Dinikahi seorang wanita itu kerana empat perkara hartanya, keturunannya, kecantikannya dan agamanya. Maka pilihlah hal keagamaannya, maka beruntunglah kedua-dua tanganmu..”

Telah dinukilkan panduan sepanjang zaman, itulah lirikan utama buatmu memilih calon isteri. Tiap baris itu telah menjadi hafalanku sejak aku mengenali dunia baligh ini. Jika harta yang kau idamkan, ketahuilah diriku tidak punya apa-apa harta di dunia ini melainkan ilmu agama yang telah dititipkan buatku oleh arwah umi dan arwah abah. Tiada harta untuk kupersembahkan dalam taklik ijab kita nanti. Tiada harta sebagai jaminan bahawa kau akan menikmati sedikit kesenangan apabila ijab bersaksi telah dilafazkan. Hanya ketenangan yang mampu aku sediakan buatmu kerana aku pernah terbaca kata-kata ... "Dan di antara tanda-tanda kekuasaan Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikannya di antaramu rasa kasih dan sayang.¨ (Ar-Rum: 21)

Jika keturunan yang mulia itu yang kau dambakan, ketahuilah jua aku hanyalah sebatang kara di dunia ini. Arwah umi dan abah telah menitipkan aku di bawah pengawasan Allah sebagai penjaga mutlak diriku. Namun apa yang pasti, aku adalah keturunan mulia, ayahanda Nabi Adam as dan bonda Hawa as, sama seperti mu. Ingin aku berkongsi lafaz sahih ini denganmu ... ”... maka bertawakkallah kepada Allah, sesungguhnya Allah mengasihi orang yang bertawakal kepadaNya. Jika Allah menolong kamu maka, tiada seseorangpun yang boleh menghalang kamu, dan jika ia mengecewakan kamu, maka siapakah yang dapat menolong kamu sesudah Allah (menetapkan demikian) ? dan ingatlah kepada Allah jualah hendaknya orang yang beriman itu berserah diri...” (Ali Imran : 159-160)

Kecantikan, itulah pandangan pertama setiap insan. Malah aku meyakini bahawa kau juga tidak terlepas seperti insan yang lain. Ketahuilah, jika kecantikan itu yang kau inginkan daripada diriku, kau telah tersalah langkah. Tiada kecantikan yang tidak terbanding untuk kupertontonkan padamu. Telah aku hijabkan kecantikan diriku ini dengan amalan ketaatan kepada tuntutan agama yang kucintai. Kau hanya membuang masa jika kau menginginkan kecantikan lahiriah semata-mata. Aku tidak menjanjikan aku mampu membahagiakan rumahtangga kita nanti, kerana aku memerlukan engkau untuk bersama-samaku menegakkan dakwah islamiyyah ini, dan aku merelakan diri ini menjadi penolongmu untuk membangunkan sebuah markas dakwah dan tarbiyyah ke arah jihad hambaNya kepada Penciptanya yang agung.

Melalui pencarian ilmu agama bersama, marilah kita jadikan pernikahan ini sebagai risalah demi meneruskan perjuangan Islam. Aku masih kekurangan ilmu agama, tetapi berbekalkan ilmu agama yang telah dibekalkan ini, aku ingin menjadi isteri yang sentiasa mendapat keredhaan Allah dan suamiku untuk memudahkan aku membentuk usrah muslim antara aku, kau dan anak-anak kita untuk dibaiahkan dengan ketaatan kepada Allah Yang Maha Esa. Aku bercita-cita bergelar pendamping solehah, seperti mana yang dijanjikan Rasul, " Semoga Allah memberi rahmat kurnia kepada lelaki yang bangun di tengah malam lalu dia sembahyang dan membangunkan isterinya, maka sekiranya enggan juga bangun untuk bersembahyang, dia merenjiskan air ke mukanya. Semuga Allah memberi rahmat kurnia kepada wanita yang bangun di tengah malam lalu bersembahyang dan membangunkan suaminya. Maka jika dia enggan, dia merenjiskan air kemukanya." (Riwayat Abu Daud dengan Isnad yang sahih)

Renungilah FirmanNya ini, lalu kau akan tahu hakikat diriku dan dirimu dipertemukan oleh Allah atas namanya pertemuan dan jodoh. “Hai sekalian manusia, bertakwalah kepada Tuhanmu yang telah menciptakan kamu dari diri yang satu, dan daripadanya Allah menciptakan isterinya; dan daripada keduanya Allah memperkembangbiakkan lelaki dan perempuan yang banyak. Dan bertakwalah kepada Allah yang dengan (mempergunakan) namaNya kamu saling meminta satu sama lain, dan (peliharalah) hubungan silaturrahim. Sesungguhnya Allah selalu menjaga dan mengawasi kamu.” (An Nisaa’ : 1)

Calon Suamiku yang dirahmati, " Kaum lelaki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita, oleh kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (lelaki) atas sebahagian yang lain (wanita), dan kerana mereka (lelaki) telah menafkahkan sebahagian dari harta mereka".(An-Nissa':34) Membenarkan seperti apa yang telah Dia katakan dalam QalamNya yang mulia, aku meyakini bahawa engkau adalah pemimpin untukku dan anak-anak pewaris kejihadan Islam yang bakal lahir. Jadikanlah pernikahan ini sebagai asas pembangunan iman dan bukannya untuk memuaskan bisikan syaitan yang menjadikan ikatan pernikahan sebagai tunjang nafsu semata-mata. Moga diriku dan dirimu sentiasa didampingi kerahmatan dan keredhaanNya.

Lakukanlah tanggungjawabmu itu dengan syura kesabaran, qanaah ketabahan moga kita akan menjadi salah satu daripada jemaah saf menuju ke syurga insyaAllah. Ingin aku berbicara mengenai pemberianmu kepadaku. Kau terlalu Ketahuilah,membimbangkan akan kehendak bersifat duniawi semata-mata. Benar?! aku tidak menginginkan hantaran bersusun, mas khawin yang hanya akan menyebabkan hatiku buta dalam menilai erti kita dipertemukan oleh Allah atas dasar agama. Cukuplah seandainya, maharku sebuah Qalam Mulia, Al-Quran, kerana aku meyakini Qalam itu mampu memimpin rumahtangga kita dalam meraih keredhaanNya bukan kekayaan dunia yang bersifat sementara.

Bantulah aku dalam menjayakan agama Allah ini melalui pernikahan, kerana ia adalah laluan untuk aku menyempurnakan separuh daripada agamaku, insyaAllah. Akhlakmu yang terdidik indah oleh ibu bapa dan orang sekelilingmu, itulah yang aku harapkan daripada kekayaan duniawi yang kau sediakan.

Kutitipkan sebahagian daripada pembacaanku dalam Jalan Dakwah Mustaffa Masyhur, tidak lagi wujud keborosan dan kebakhilan kerana semuanya berada di dalam udara Qana'ah (berpuas hati dengan apa yang ada), redha dan yakin bahawa dunia ini bukanlah negara Janatunna'im.

Lihatlah rumahtangga Rasulullah s.a.w kadang-kadang berlalu sebulan demi sebulan, pernah dapurnya tidak berasap kerana tidak ada bahan makanan yang dapat dimasak. Walaupun demikian susahnya, rumahtangga Rasulullah s.a.w tetap menjadi rumahtangga yang paling bahagia yang tidak ada tolok bandingnya hingga ke hari ini. Terlalu panjang rasanya aku mencoretkan warkah ini.

Cukup dahulu buat tika ini, andai diizinkan aku akan kembali menitipkankan lagi kiriman bertintakan hati ini. Akhir bicara, maaf andai tiada pertemuan yang kususuli kerana padaku biarlah merindu daripada jemu tatkala kita disatukan.
Wassalam

.::. Ya Allah, gembirakan kami dengan redhaMu .::. ~tulang rusuk kirimu~

"bila 2 diri mencintai ILAHI..bergabunglah jiwa, bersatulah hati..2 jiwa, 1 cinta, 2 jasad, 1 matlamat..bila rindunya kerana Yang Esa, bertemu pasti tak jemu, berpisah tidak gelisah...ukhwah itu indah, jika bertemu dan berpisah kerana ALLAH"

Dikau kembali...

dikau kembali
membalas lara rindu
menghirup secangkir nikmat
meneladani halusnya makrifat

dikau kembali
menyinar kelam kalbu
kabus hitam bersalut noda
menebal di hutan alpa

pada senyummu
tersisip selaut rahmat
lebar tanganmu terbuka
mendakap erat mujahid dinihari

kau hulur maghfirah ar-rahman
buat insan yang dahaga
seiring tebaran hujan barakah
pateri janji kalam Yang Esa

marhaban ya ramadhan!!

Friday, September 22, 2006

sajak aminah qutb buat suami tercinta

"SEKIRANYA KITA CINTA KEPADA MANUSIA, TAK SEMESTINYA MANUSIA CINTA KEPADA KITA, TETAPI SEKIRANYA KITA CINTA KEPADA ALLAH, NESCAYA CINTA ALLAH TIADA PENGHUJUNGNYA."

"SEKIRANYA KITA CINTA KEPADA MANUSIA, KITA AKAN CEMBURU KEPADA ORANG YANG MENCINTAI ORANG YANG KITA CINTAI, TETAPI SEKIRANYA KITA CINTA KEPADA ALLAH, KITA AKAN TURUT MENCINTAI ORANG YANG MELABUHKAN CINTANYA KEPADA ALLAH JUGA."

"YA ALLAH,ANDAINYA DIA ADALAH JODOH YANG DITETAPKAN OLEH-MU KEPADAKU, MAKA CAMPAKKANLAH DALAM HATIKU CINTA KEPADANYA ADALAH KERANA-MU, DAN CAMPAKKANLAH DALAM HATINYA, CINTA KEPADAKU ADALAH KERANA-MU.
NAMUN, ANDAINYA DIA BUKANLAH JODOH YANG DITETAPKAN OLEH-MU KEPADAKU, BERIKANLAH KU KEKUATAN AGAR PASRAH DALAM MENGHARUNGI UJIAN, YANG KAU BERIKAN KEPADAKU. "


YA ALLAH,JIKA AKU JATUH CINTA,CINTAKANLAH AKU PADA SESEORANG YANG MELABUHKAN CINTANYA PADA-MU,AGAR BERTAMBAH KEKUATANKU UNTUK MENCINTAI-MU.
YA MUHAIMIN,JIKA AKU JATUH CINTA,JAGALAH CINTAKU PADANYA AGAR TIDAK MELEBIHI CINTAKU PADA-MU.


YA RABBANA,JIKA AKU JATUH HATI,JAGALAH HATIKU PADANYA AGAR TIDAK BERPALING PADA-MU.
YA RABBUL IZZATI,JIKA AKU RINDU, RINDUKANLAH AKU PADA SESEORANG YANG MERINDUI SYAHID DI JALAN-MU.


YA ALLAH,JIKA AKU RINDU, JAGALAH RINDUKU PADANYA AGAR TIDAK LALAI AKU MERINDUI SYURGA-MU.
YA ALLAH, JIKA AKU MENIKMATI CINTA KEKASIH-MU,JANGANLAH KENIKMATAN ITU MELEBIHI KENIKMATAN INDAHNYA BERMUNAJAT DI SEPERTIGA MALAM TERAKHIR-MU


YA ALLAH,JIKA AKU JATUH HATI PADA KEKASIH-MU,JANGANLAH BIARKAN AKU TERTATIH DAN TERJATUH DALAM PERJALANAN PANJANG MENYERU MANUSIA KEPADA-MU.

YA ALLAH,JIKA KAU HALALKAN AKU MERINDUI KEKASIH-MU,JANGAN BIARKAN AKU MELAMPAUI BATAS SEHINGGA MELUPAKAN AKU PADA CINTA HAKIKI DAN RINDU ABADI HANYA KEPADA-MU.

Tuesday, September 05, 2006

La Tahzan

petikan ceramah Ustaz Badrul Amin yang bertajuk: LA TAHZAN

Rasulullah S.A.W pernah mengajarkan seorang sahabat yang sedang bersedih sepotong doa yang berbunyi: "aku berlindung pada ALLAH daripada perasaan keluh-kesah dan sedih, aku berlindung padaMU daripada sifat lemah dan malas, aku berlindung padaMU daripada sifat pengecut dan bakhil, dan aku berlindung padaMU daripada bebanan hutang dan penindasan orang"

sifat sedih merupakan fitrah hidup manusia, kurniaan ILAHI yang ditanam di dalam hati hambaNYA. ALLAH telah jadikan setiap yang wujud di dunia ini berpasang-pasangan, lelaki pasangannya perempuan, susah lawannya senang, siang lawannya malam, begitu juga sedih pasangannya gembira. Dalam doa tersebut, perkataan al-Hamm (keluh-kesah) dan al-Hazan (sedih) mempunyai maksud yang berbeza.

Al-hamm, perasaan derita atau gelisah kerana sesuatu yang belum berlaku. Sebagai contoh, seorang pelajar yang baru sahaja selesai menduduki peperiksaan resah gelisah perasaannya kerana menanti keputusan yang bakal diperolehi. Al-hazan pula perasaan sedih yang datang selepas sesuatu menimpa.

Sedih dan gelisah biasa hadir dalam hidup setiap insan, tidak kira betapa hebat sekalipun. Namun, bagaimana caranya kita hendak menghadapi kesedihan yang membelenggu diri?
Ketahuilah, sebelum kita melayani kesedihan, mari renung kembali apakah yang kita kejar dalam kehidupan dunia ini? Adakah harta, wang dan pangkat? ataupun keseronokan dan kebebasan?

Cuba renung diri kita, ke mana hala tuju hidup ini, apakah rahsia kita diciptakan, dan ke mana pula destinasi selepas tamat tempoh kehidupan dunia. Ketahuilah, hidup di dunia ini hanyalah persediaan untuk hari di alam abadi. Justeru, kita bakal mengerti, bahawa tiada satu pun yang kita kecapi selama ini merupakan milik kita secara mutlak..bahkan, segalanya pinjaman daripadaNYA..oleh itu, apakah perlu kita bersedih apabila kehilangan sesuatu yang sememangnya bukan milik kita. Kita ibarat pemegang amanah, dan suatu masa kita perlu kembalikan amanah itu pabila tiba waktunya. Jadi, pabila kita kehilangan sesuatu, samada kehilangan orang tersayang, harta, kemampuan diri dan sebagainya, ingatlah bahawa segalanya adalah pinjaman sementara, dan DIA berhak mengambilNYA bila-bila sahaja dikehendaki.

Ingatlah, bahawa Tuhan itu Maha Pemberi, Maha Pemurah, dan Maha Pengasih. Betapa banyak nikmat kurniaNYA kepada kita sehingga tidak terhitung jumlahnya. Nikmat sihat, makanan, kesenangan, kegembiraan, udara, air, dan segalanya hanyalah untuk kita. Jika kita rasakan kesedihan kerana kehilangan, fikirlah bahawa nisbah kehilangan itu hanya sedikit sahaja berbanding nikmat anugerah pemberianNYA. Seharusnya kita bersangka baik dengan ALLAH, kerana DIA Maha Tahu apa yang terbaik untuk hambaNYA, mungkin ALLAH gantikan kehilangan itu dengan yang lebih baik. Dan ingatlah, apabila ALLAH datangkan ujian buat hambaNYA, DIA tidak akan menguji melainkan dengan perkara yang mampu ditanggung oleh hambaNYA.

Oleh itu hai sahabat...marilah kita panjatkan kesyukuran di atas segala rahmat kurnia Yang Esa..ucapkanlah ALHAMDULILLAH pada segala yang baik, INNA LILLAH pada bencana yang menimpa..ALHAMDULILLAHI 'ALA KULLI HAALIIN...segala puji bagi ALLAH atas setiap apa yang berlaku..sesungguhnya DIA yang Maha Berkuasa..

LA TAKHOF Wa LA TAHZAN...INNALLAHA MA'AKA

"Hasbii Rabbii Jallallah...Maa fi Qalbii ghairullah"

"cukuplah ALLAH bagiku...tiada dihatiku selain ALLAH"

Monday, September 04, 2006

bantulah kami,,,Tuhan

Sakitnya hati mendengar cerita kekejaman yang berlaku ke atas saudara seakidah di Lubnan, Palestin, Selatan Thai, Iraq dan di mana2 sahaja. Sedih, pilu dan sayu melihat tangisan dan ratapan, kesengsaraan serta derita yang ditanggung.

Semuanya angkara syaitan laknatullah yang bertopengkan manusia yang menggelarkan diri mereka yahudi dan amerika. Peristiwa 11 September dijadikan alasan untuk menghancurkan umat Islam. Disebalik slogan "war against terrorism" mereka melaksanakan agenda dengan wajah tenang ibarat penyelamat dunia yang terpilih untuk memerangi keganasan di bumi ini. Konon hendak menangani keganasan, padahal mereka yang mulakan keganasan tanpa umat menyedari. Dunia hanya berdiam diri, melihat sahaja keganasan akibat kerakusan kuasa besar itu.

PBB, wujudnya bagai tiada, katanya tidak bermakna, ibarat seorang bapa yang lumpuh tak bermaya memarahi anaknya yang nakal, namun kata-katanya tidak dipedulikan oleh anak itu kerana dia tahu bahawa ayahnya hanya mampu berkata-kata, tiada selebihnya.Maka dia berani melakukan apa sahaja mengikut kemahuannya, tiada siapa mampu menghalangnya. Saban kali PBB berkata: "hentikan peperangan dengan adakan gencatan senjata"..namun, yahudi memandang sepi laungan itu dengan menyerang dan memusnahkan bumi Lubnan tanpa belas kasihan.

Nasib Iraq, tetap begitu, Palestin juga tiada kurangnya. Saban hari ada nyawa yang terkorban. Bunyi bedilan, letupan bom, bagaikan irama yang beralun mengikut rentak denyutan nadi penghuninya. Ketakutan, teman yang setia menemani penduduk malang tiap waktu dan ketika. Tangisan dan ratapan menghiasi perjalanan waktu yang panjang, hanyir merah darah mengalir di seluruh tubuh lemah tak bermaya, menyemai dendam yang kian marak membara dihati para pejuang. Semakin bertambah bilangan Syuhada', bertambah jua semangat juang di dalam diri mujahidun. Hanya DIA yang mampu, moga DIKAU kurniakan kemenangan buat pejuang agamaMU..ALLAHU AKBAR!!

Ya ALLAH,
Hanya padaMU kami meminta
Tiada Tuhan selain ENGKAU
tiada sembahan selain ENGKAU

Ya Rabb,
Tuhan Yang Maha Perkasa
Kami mohon pertolongan
Bantuan dan kekuatan

KAU bantulah kami
memerangi musuhMU yang angkuh

kami mohon Ya ALLAH
KAU lemahkan jiwa-jiwa mereka
KAU hancurkan kesatuan mereka
KAU halanglah bicara mereka
KAU menangkanlah kami dalam perjuangan

YA QAHHAR YA JABBAR YA MUNTAQIM
KAU maha mendengar
Maha mengetahui
Maha melihat
Maha mengerti
kami memohon setulus hati
berkatilah perjuangan kami
Selamatkanlah agama kami

Aaamiin Ya RAbb..

Sunday, September 03, 2006

merdekakah?

tanggal 31 Ogos hadir lagi, dan sambutan kemeriahannya seperti selalu, percikan warna-warni bunga api menghiasi dengan laungan semangat anak watan menyebut MERDEKA! berbondong-bondonglah manusia di tempat-tempat sambutan kemerdekaan di seluruh negara, lebih-lebih lagi di kota metropolitan.

Di KLCC, Dataran Merdeka dan di mana saja ada sambutan, kelihatan jelas anak-anak muda yang pelbagai gaya dan rupa. Apakah yang menggamit mereka ke sana? adakah kerana mereka ingin bersatu menyebut dan melaungkan kalimah MERDEKA sambil menanam tekad dan azam dihati, demi menjaga maruah dan keamanan bangsa dan negara, atau mereka ingin mengota janji menjadi penyambung warisan menegakkan kemakmuran dan memajukan negara di persada dunia?

Akhirnya, tepat jam 12 malam telah terbukti segala..anak-anak muda ini hanya ingin melihat idola mereka mendendangkan lagu yang membuai perasaan dan kalbu, agar mereka dapat menikmati dan merasai kemeriahan kemerdekaan, semuanya kerana keseronokan semata-mata. Di hujung sana, pasangan uda dan dara memadu kasih mengikat janji bersaksikan bulan bintang pada malam sejarah ulang tahun kemerdekaan. Mata bertentang mata, semyum terukir dan akhirnya....ada pula yang terhoyong-hayang kerana dibuai enak minuman durjana, tiada lagi makna halal dan haram buat mereka..inilah ERTI MERDEKA buat mereka, "KEBEBASAN TANPA SYARAT".

Adakah kita benar-benar merdeka? Kemerdekaan yang terzahir pada waktu ini hanya omongan semata-mata, malah disebalik kalimah MERDEKA itu jiwa dan minda masih terjajah dan terpenjara. Kita melihat pesatnya pembangunan mega mencakar langit bak cendawan yang tumbuh selepas hujan, tapi kabur pandangan kita daripada melihat moral dan akhlak anak-anak muda yang kian menipis saban hari. Setiap hari ada sahaja khabar ngeri di dada akhbar yang mengisahkan anak-anak muda, tapi tiada siapa peduli. Minda mereka tidak mampu meneroka lebih jauh daripada santapan hiburan.

Lebih sedih lagi, selepas mengibar jalur gemilang, kelihatan anak-anak muda yang tiada arah tujuan tidur di tepian jalan beralaskan jalur gemilang. Barangkali mereka merasakan amannya negara sehingga tiada kisah di mana hendak beradu. Apakah ada makna jalur gemilang bagi mereka, adakah kalimah MERDEKA yang mereka laungkan dengan penuh semangat itu, terbit dari hati yang telus dan tulus? jawablah hai anak bangsa..jawapan itu hanya ada padamu..fikirkan..renungkan..

Friday, September 01, 2006

konvoi_pengantin

20/08/06 (ahad)

Agenda: Kenduri walimah a.faizal dan kak su
tempat: Pekan, Pahang
transport: 6 buah kereta
ahli rombongan: 27 comradean


jam menunjukkan pukul 7.30 pagi, kelihatan beberapa buah kereta dan ahli comrade telah sedia menanti di tangga kasih-kekasih..sebentar sahaja lagi, kembara akan bermula..semuanya berwajah ceria dan memakai pakaian yang indah berseri.

hampir jam 8 pagi, perjalanan bermula dengan pohonan doa selamat mengiringi jejak ke destinasi. 5 jam masa berlalu, rombongan besar selamat tiba ke tempat tujuan, bilangan anggota yang ramai menuju ke pintu tuan rumah mencuri tumpuan umum, siapakah gerangan yang datang ini? suasana yang tadinya tenang sepi, tiba-tiba bertukar menjadi gamat dan ceria dengan gelak tawa dan usikan..raja sehari menjadi tumpuan lensa kamera, bagaikan artis popular yang baru menerima anugerah.

setelah beberapa ketika beramah mesra dan merakam kenangan, rombongan comrade bergegas ke dewan jamuan untuk santapan,begitu berselera sekali menjamah hidangan dek kelaparan dalam perjalanan yang panjang. seusai perut enak berisi, berangkatlah rombongan meninggalkan laman raja sehari dengan iringan doa bahagia.

"SELAMAT PENGANTIN BARU BUAT A.FAIZAL DAN KAK SU"

-MOGA KEBAHAGIAAN SENTIASA MEWARNAI KEHIDUPAN-