Sunday, July 17, 2011

::Marhaban bik Ya Ramadan::



Ya ALLAH, berkatilah aku di bulan Rejab dan Syaaban serta pertemukan aku dengan Ramadan. Kasihanilah hamba-Mu yang kerdil dan tidak berdaya ini. Berikan aku kesempatan untuk bermesra dengan Ramadan yang bakal tiba. Moga Ramadan kali ini dapat membersihkan segala kotoran dan debu dosa yang telah aku lakukan selama ini. Agar madrasah Ramadan kali ini dapat mentarbiyah hati dan jiwaku yang kelam dengan cahaya inayah dan hidayah-Mu sehingga aku sentiasa rindu dan dambakan cinta dan kasih-Mu setiap detik dan waktu. Ya Rabb, KAU jadikan sujudku satu kenikmatan berbicara dan bertemu dengan-Mu yang tidak dapat aku peroleh pada waktu lain. KAU damaikan sanubari hati dengan alunan kalam-Mu yang lunak merdu, melembutkan jiwa yang keras. Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku hanyalah untuk-Mu Tuhan Rabbul Jalil.

Wednesday, July 13, 2011

::siapa KITA::

kata orang
jika kita PENGURUS
jalankan kerja dengan terurus
kerana tugas kita
bukan sekadar menunjuk itu dan ini
tugas kita berkata benar apa yang benar
berkata tidak apa yang mungkar
dengan suluhan iman dan fikir

kata orang
jika kita PEKERJA
laksanakan kerja dengan rela
kerana pada keringat yang tumpah
ada rezeki dan rahmat
ada pahala dan berkat
dan apabila pulang nanti
dengan jiwa yang tenang dan bahagia

kata orang
jika kita PELAJAR
amalkan apa yang diajar
pada guru diengkar jangan
nasihat guru jadikan pedoman
kerana daripadanya
terpancar cahaya al-kalam
yang gelap menjadi nyata
yang terang bersinar cahaya

kata orang
jika kita GURU
amalkan apa yang tahu
dengan jujur memikul amanah
tutur kata penuh hikmah
kerana tugas kita
bukan sekadar mengajar tutur bicara
bukan sekadar mengajar tulis baca
tugas kita
memanusiakan manusia
dengan setitis ilmu
melenturkan jiwa, melembutkan kalbu.


nukilan: Mohd Samsuddin B. Mahmod