Sunday, December 28, 2008

::masam manis ceritera 2008/1429::

BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM..

Tahun baru makin menghampiri, iaitu tahun hijrah dan jua tahun miladi. Esok (29-12-08 / 1 Muharram 1430H), fajar hijrah bakal menyinsing menebarkan sinar cahaya buat sekalian makhluk Tuhan. Semoga cahaya yang memancar ini menyuluh jalan kehidupan kita ke arah redha Yang Maha Pencinta. Beberapa hari lagi, hadirlah 1 Januari membuka tirai tahun baru 2009. Terlalu banyak harapan dan doa yang berselindung dihati, hendak dirafa'kan kepada Yang Maha Mendengar, semoga dipermudahkan segala urusan dan diberkati segala amalan dan perbuatan. Semoga jua hambaMU ini makin teguh imannya dan cekal sanubari dalam menempuh ranjau hidup yang semakin mencabar. Harapan jua agar DIKAU jadikan hambaMU ini hamba yang bersyukur di atas segala nikmat anugerah pemberianMU.

Mengimbau bait-bait memori yang terukir dibingkai kenangan sepanjang tahun ini, begitu terasa masam manisnya kehidupan. Ada perkara yang memeritkan untuk dilalui, tapi penuh pengajaran dan kesedaran. Ada jua perkara yang begitu menyentuh naluri hati, membenihkan bunga-bunga cinta yang mekar pada sang pencipta. Ada jua perkara yang menguji kecekalan dan kegigihan sang pejuang, mengajar erti usaha dan pengorbanan. Segalanya amat manis untuk dikenang. Mendidik diri memahami erti dan makna "SYUKUR". Alhamdulillahi 'alaa kulli haalin.

::Mengimbau kenangan::

Kenangan Pahit 2008:
Kehilangan abang tersayang pada 11/2/08 bersamaan 4 Safar 1429H.

Kenangan terindah 2008:
Diberi peluang menjadi tetamu ALLAH pada 26/5/08 - 4/6/08.

Kenangan manis:
-> Dapat mengharungi badai perjuangan MAASL sesi 08/09 dengan penuh kesabaran dan ketabahan.
-> Diberi kepercayaan untuk menjadi hakim debat piala diraja 2008.
-> Pertemuan bersama ahli-ahli COMRADE sempena ALUMNI COMRADE 90-an -2008.
-> Dapat memenuhi impian seorang ayah.
~~Kusyukuri segala nikmat anugerah kurniaanMU~~

Saturday, December 13, 2008

~~Bimbinglah daku~~

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

Alhamdulillah..Aku mengucap syukur kehadrat Yang Maha Penyayang kerana memberiku kekuatan menamatkan kerja kursus untuk master. Akhirnya habis juga 10 subjek yang perlu diambil sebelum mulakan penulisan tesis. Aku juga bersyukur kerana keputusan untuk semester ini lebih baik daripada semester lepas. Serasa tak cukup dengan rasa kesyukuran untuk membalas segala nikmat kurniaanNYA. Kini, aku sedang memikirkan tajuk yang sesuai untuk mulakan tesis. Moga Dikau permudahkan urusan ini Ya ALLAH. Aku juga mula memikirkan tentang kerjaya. Ya, sekarang aku harus mula bekerja. Aku perlu bekerja untuk membantu keluarga. Meringankan beban abah dan mama yang telah sekian lama membanting tulang membesarkan kami adik-beradik. Kumemohon setulus hati, Kau bimbinglah aku ke jalan redhaMU, Kau pimpinlah daku menuju gerbang rahmat dan maghfirahMU. Moga aku menjadi hambaMU yang bersyukur atas segala nikmat kurniaMU. Kurniakan aku kejayaan dunia dan akhirat.

::Menyelami yang tersirat::

Dengan namaMU Ya ALLAH Tuhan Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang.

Jika kita perhati dan amati setiap detik kehidupan yang kita lalui sehari-hari, sebenarnya setiap perlakuan, keinginan, perasaan, semuanya mempunyai sebab dan makna yang tersirat. Pernahkah kita terfikir tatkala melihat mentari yang menyinar terang tiba-tiba berselindung disebalik awan kelabu, lantas deraian hujan turun laju membasahi bumi. Adakah terbit persoalan dihati mengapa hujan perlu turun ketika kita inginkan terang mentari menceriakan alam?

Terkadang kita memandang apa yang berlaku di hadapan mata dengan bersahaja, tanpa memikirkan kenapa ia mesti berlaku begitu. Kita ambil contoh yang paling dekat dengan diri kita untuk difikirkan dan diambil pedoman. Saya mempunyai seorang abang yang berusia 26 tahun. Abang yang ceria, cergas dan rapat dengan saya. Namun takdir ALLAH, dia pergi dahulu ketika usianya masih muda, tiada siapa pernah menyangka. Jika saya memandang takdir ini dengan mata kepala, sudah tentu saya akan merasakan bahawa Tuhan itu tidak adil. Tuhan tidak memberi peluang kepada abang untuk menikmati kehidupan yang masih jauh, dan peluang untuk saya dan keluarga menyemai kasih-sayang kekeluargaan bersama abang. Namun, apabila saya memandang ketentuan ini dengan mata hati, tiada gundah menyinggah. Malah tenang setia membujuk nurani menghadirkan redha dalam diri. Alhamdulillahi 'ala kulli haaliin -segala pujian bagi ALLAH atas setiap sesuatu-. Inilah kalimat yang paling telus diungkapkan tatkala menerima ketentuanNYA, nikmat atau musibah. Diri ini insan kerdil ciptaanNYA, hanya mampu berserah padaNYA. DIAlah yang Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk sekalian hambaNYA.

Jika saya melihat pada sekujur tubuh usang tok ayah, pasti hati tersentuh. Benarlah Tuhan itu Maha Kuasa, Maha Menentukan dan Maha Tahu. Tok Ayah yang berusia lebih 80 tahun pada kiraan saya, terbaring lesu di kamar. Gaya tidurnya bagaikan anak kecil yang baru dilahirkan. Ingatannya sudah pudar. Gagahnya makin lesu. Perangainya keanak-anakan. Benarlah pusingan masa menjadikan manusia kembali kepada fitrahnya. Ada insan yang dipanjangkan usianya. Ada pula yang singkat masa kehidupannya. Semuanya ada hikmah. Ada makna yang tersirat disebalik yang tersurat. Persoalan mengapa ia terjadi perlu diungkap. Bukan untuk membantah atau menafikan kuasa Yang Maha Esa, namun untuk dihayati dan direnungi agar iman terdidik dengan iktibar dan pengajaran.

Mengapa pula terjadinya kejadian tanah runtuh di Bukit Antarabangsa beberapa hari sebelum hadirnya Eidul Adha? Pasti ada hikmah yang tersembunyi. Masing-masing memperkata sebab-sebab berlakunya tanah runtuh. Ada yang menyimpulkan kejadian tersebut disebabkan oleh faktor tanah, ada pula yang menyalahkan pihak pemaju, ada juga yang menyatakan ini adalah hukuman Tuhan, dan tak kurang yang mengatakan insiden ini merupakan amaran atau peringatan daripada Tuhan. Walau apa pun alasannya, sesungguhnya DIA Yang Maha Mengetahui. Namun, kita sebagai insan perlu melihat bahawa kejadian seumpama ini merupakan ujian daripada ALLAH. Banyak maksud yang tersirat disebalik tragedi tanah runtuh ini. Bagi yang kufur nikmatNYa selama ini, DIA ingin menyedarkan. Buat yang sentiasa ingat padaNYA, DIA ingin menguji keutuhan iman. Bagi mereka yang sering mencemari bumi dengan dosa dan noda, DIA berikan pengajaran. Sebagaimana firman ALLAH dalam surah Al-Mulk ayat kedua yang bermaksud: "Dialah yang menciptakan kematian dan kehidupan sebagai ujian buat kamu, siapakah di antara kamu yang lebih baik amalannya".

Pandanglah sesuatu dengan mata hati. Insan diangkat darjat menjadi makhluk yang paling mulia di sisi ALLAH, diciptakan dengan sebaik-baik kejadian melalui anugerah akal fikiran. Maka gunakanlah pemberian Tuhan dengan sebaiknya. Berfikirlah, renungilah..Moga sentiasa tetap di atas jalan kebenaran. ALLAH mengajak kita berfikir pada setiap kejadian ciptaanNYA sebagaimana dalam surah Al-Ghasyiyah ayat 17-20 yang berbunyi:
(17) -Mengapa mereka yang kafir masih mengingkari akhirat- tidakkah mereka memerhatikan keadaan unta, bagaimana ia diciptakan?
(18) Dan keadaan langit, bagaimana ia ditinggikan binaannya?
(19) Dan keadaan gunung-ganang, bagaimana ia ditegakkan?
(20) Dan keadaan bumi, bagaimana ia dihamparkan?

Jika setiap insan itu memikirkan tentang ayat-ayat ini, melihat kejadian ALLAH ini dengan mata hati, serta mentafsir dan merenungi sedalam-dalamnya, pasti mereka akan menemui satu hakikat, bahawa ALLAH yang menciptakan segalanya, ALLAH Yang Maha Kuasa, dan ALLAH jua Yang Maha Kaya yang menjadikan setiap kejadian itu berguna dan bermanfaat. Sama-sama kita renungi, moga ada barakah daripadaNYA.

Thursday, December 11, 2008

Mabruk alaikum..

BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM..

Segala puji bagi ALLAH atas segala nikmat kurniaNYA.

Pertamanya saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah buat para pendebat UIAM khususnya kategori Bahasa Arab kerana mengungguli kejohanan debat diraja yang berlangsung di taman ilmu dan budi pada 28/11/08-3/12/08 yang lalu..Syabas buat semua dan teruskan kecemerlangan=)..

Tahniah juga buat sahabat tercinta, Nur Hafizah Ahmad Tajuddin yang telah menjadi suri dalam rumah tangga, kudoakan moga dikau bahagia selalu dan diberkati ILAHI sepanjang kehidupan ini..Layarilah bahtera rumah tangga dengan bijaksana moga Jannah menjadi mahligaimu di kemudian hari=)..

Dikesempatan ini, kuingin sampaikan ucapan tahniah buat k.wani (Wan Shawani Che Omar) atas pernikahannya dengan pilihan hati. Moga dirimu sentiasa ceria di samping suami tercinta. ::Teringat kenangan lalu ketika kita bersama di aspuri MMP=)::

Sekalung tahniah juga buat K.Aisyah Musa, Research Management Centre officer yang akan menamatkan zaman bujangnya..emm, akhirnya kahwin juga k.aisyah ye...hehehhe..Moga berbahagia selalu..

dan buat kawan-kawan, sahabat-sahabat, jua teman-teman yang jauh di mata tapi dekat di hati..moga kalian diberkati selalu..