Monday, December 19, 2011

:: Ya ALLAH, jadikan aku.... ::

Ya ALLAH...
Jadikan aku hamba yang sentiasa mensyukuri nikmat pemberian-MU
Jadikan aku hamba yang sentiasa mengingati-MU
Jadikan aku hamba yang sentiasa berbaik sangka pada-MU
Jadikan aku hamba yang sentiasa menyebut nama-MU
Jadikan aku hamba yang sentiasa sujud menyerahkan diri pada-MU
Jadikan aku hamba yang sentiasa mendamba kasih sayang-MU
Jadikan aku hamba yang sentiasa menagih cinta-MU
Jadikan aku hamba yang sentiasa merindui rahmat dan maghfirah-MU

Moga setiap detik kehidupanku Engkau sentiasa bersama
Moga saat duka menyapa Engkau hadir membawa ceria
Moga pabila kutersalah arah Engkau tunjukkan jalan yang benar
Moga pabila kumerintih sayu Engkau setia mendengarnya
Moga pabila aku meminta Engkau akan memberi
Moga pabila aku dalam kegelapan Engkau pancarkan sinar cahaya
Moga pabila aku tersungkur Engkau hulurkan bimbingan
Moga pabila aku lemah Engkau titipkan semangat kekuatan
Moga akhir nafasku kalimah-MU yang meniti dibibirku
Moga perjalananku ke alam abadi Engkau permudahkan
Moga amal perhitunganku neraca kebaikan menjadi timbangan
Moga tempat istirehatku Engkau hadiahkan bersama para kekasih-MU

Amin....Ya Rabbal 'Alamin...

::7 sunnah Rasulullah yang perlu diamalkan::



Mari hayati dan amalkan sunnah Rasulullah, moga beroleh keberkatan dan keredhaan dalam kehidupan insya ALLAH..

1) SOLAT TAHAJJUD

Solat Tahajjud ialah solat yang dilakukan apabila terjaga daripada tidur malam. Sebaik-baiknya 1/3 malam yang terakhir iaitu dalam lingkungan jam 3 atau 4 pagi. Jumlah rakaat sekurang-kurangnya 2 rakaat. Di antara fadhilatnya ialah mendapat pengawasan ALLAH dan menampakkan kesan ketaatan pada wajahnya, dikasihi oleh para ahli ibadah dan orang mukmin, percakapannya menjadi hikmah dan bijaksana.

2) MEMBACA AL-QURAN SEBELUM TERBIT MATAHARI

Membaca Al-Quran merupakan salah satu daripada sunnah Rasulullah terutamanya membaca Al-Quran pada waktu sebelum terbit matahari. Besar pahala bagi orang yang membaca Al-Quran dan mengkaji serta memahami isinya. Jadikan Al-Quran sebagai panduan hidup dan jangan jadikan Al-Quran sebagai bahan bacaan sahaja. Jadikan Al-Quran sebagai bacaan, panduan dan membudayakan Al-Quran dalam setiap perkara dalam kehidupan kita.

3) SOLAT BERJEMAAH DI MASJID

Solat yang lebih baik ialah solat berjemaah di masjid kerana pahala sangat besar. Bahkan pahala orang yang bersolat itu dikira pada setiap langkahnya ke masjid. Selain itu,orang yang solat berjemaah akan mendapat pahala sebanyak 27 pahala berbanding solat bersendirian yang hanya mendapat 1 pahala sahaja.

4) SOLAT SUNAT DHUHA

Solat sunat Dhuha merupakan solat yang sangat digalakkan oleh Rasulullah kepada umatnya kerana solat sunat Dhuha mempunyai banyak kelebihan. Di antara kelebihan solat sunat Dhuha ialah pintu rezeki dibuka dan dimurahkan rezeki. Waktu solat sunat Dhuha ialah dari naik matahari sampailah sepenggalah dan berakhir di waktu matahari tergelincir.

5) BERSEDEKAH

Sedekah ialah seseorang itu mengorbankan sedikit hartanya untuk diberikan kepada orang yang memerlukan dengan hati dan perasaan yang ikhlas kerana ALLAH. Bagi orang yang rajin bersedekah, ALLAH akan menggandakan setiap sedekahnya dengan rezeki yang melimpah ruah.

6) MENJAGA WUDUK

Wuduk adalah salah satu cara untuk menyucikan diri dari hadas kecil. Orang yang menjaga wuduknya akan disayangi ALLAH.

7) ISTIGHFAR SETIAP MASA

Istighfar ialah memohon keampunan kepada ALLAH atas segala dosa dan kesalahan yang telah dilakukan dan berjanji kepada ALLAH tidak akan mengulangi kesalahan tersebut.

Friday, November 18, 2011

::semalam yang telah pergi::


syukur kupanjatkan ke hadrat ILAHI di atas segala anugerah nikmatnya selama ini..setahun hampir berlalu..banyak kenangan pahit dan manis yang telah kulalui sepanjang tahun 2011 yang bakal berakhir sebulan lagi..semuanya menjadi kenangan yang akan terpahat di memori kehidupan..di sini kucoretkan beberapa peristiwa yang mewarnai perjalanan hidupku..

250911
perginya seorang nenek yang amat kusayang menemui pencipta-Nya setelah bertarung nyawa hampir 3 minggu di CCU..nenek mula sakit pada Ramadan yang lalu, dan pada akhir Syawal, dia telah kembali ke rahmatullah..semoga rohnya ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang diberi nikmat insya ALLAH..

081011
alhamdulillah, pujian selayaknya untuk ALLAH Rabbul Jalil..pada tarikh ini, buat kali keduanya aku berada di atas pentas CCAC, IIUM untuk menggenggam segulung ijazah...syukur kerana KAU permudahkan segalanya buatku..

051111-071111
aku meraikan hari raya aidil adha buat kali kedua bersama teman comrade di "daerah ukhwah" kampung Husin, Sungai Siput, Perak setelah hampir 6 tahun kenangan berkorban di sana..

161111
Dinner di Palace of The Golden Horses bersama teman-teman DTHO..aku mendapat satu kejutan yang tak pernah disangka, iaitu berjaya mendapat cabutan bertuah penerbangan ke Terengganu selama 3 hari 2 malam..Alhamdulillah, inilah kali pertama aku rasa bertuah..mungkin hadiah ini merupakan satu hadiah 'istimewa' bagi tahun 2012 ;-)...

211111-271111
minggu pertama cuti sekolah, aku diuji dengan sakit yang agak pelik..gusiku berdenyut dan mukaku bengkak sehingga tidak mampu untuk makan..namun, alhamdulillah segalanya beransur pulih dan aku sihat pada 1 Muharram ketika sambutan Maal Hijrah...moga hijrah kali ini memberi seribu erti dan membawaku makin dekat pada-Nya insya ALLAH..



Ya ALLAH..sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku hanyalah untuk-Mu Tuhan yang menguasai sekalian alam..

Sunday, July 17, 2011

::Marhaban bik Ya Ramadan::



Ya ALLAH, berkatilah aku di bulan Rejab dan Syaaban serta pertemukan aku dengan Ramadan. Kasihanilah hamba-Mu yang kerdil dan tidak berdaya ini. Berikan aku kesempatan untuk bermesra dengan Ramadan yang bakal tiba. Moga Ramadan kali ini dapat membersihkan segala kotoran dan debu dosa yang telah aku lakukan selama ini. Agar madrasah Ramadan kali ini dapat mentarbiyah hati dan jiwaku yang kelam dengan cahaya inayah dan hidayah-Mu sehingga aku sentiasa rindu dan dambakan cinta dan kasih-Mu setiap detik dan waktu. Ya Rabb, KAU jadikan sujudku satu kenikmatan berbicara dan bertemu dengan-Mu yang tidak dapat aku peroleh pada waktu lain. KAU damaikan sanubari hati dengan alunan kalam-Mu yang lunak merdu, melembutkan jiwa yang keras. Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku hanyalah untuk-Mu Tuhan Rabbul Jalil.

Wednesday, July 13, 2011

::siapa KITA::

kata orang
jika kita PENGURUS
jalankan kerja dengan terurus
kerana tugas kita
bukan sekadar menunjuk itu dan ini
tugas kita berkata benar apa yang benar
berkata tidak apa yang mungkar
dengan suluhan iman dan fikir

kata orang
jika kita PEKERJA
laksanakan kerja dengan rela
kerana pada keringat yang tumpah
ada rezeki dan rahmat
ada pahala dan berkat
dan apabila pulang nanti
dengan jiwa yang tenang dan bahagia

kata orang
jika kita PELAJAR
amalkan apa yang diajar
pada guru diengkar jangan
nasihat guru jadikan pedoman
kerana daripadanya
terpancar cahaya al-kalam
yang gelap menjadi nyata
yang terang bersinar cahaya

kata orang
jika kita GURU
amalkan apa yang tahu
dengan jujur memikul amanah
tutur kata penuh hikmah
kerana tugas kita
bukan sekadar mengajar tutur bicara
bukan sekadar mengajar tulis baca
tugas kita
memanusiakan manusia
dengan setitis ilmu
melenturkan jiwa, melembutkan kalbu.


nukilan: Mohd Samsuddin B. Mahmod