Tuesday, June 30, 2009

hikmah wuduk dari sudut sains



Sesungguhnya setiap syariat yang difardukan ALLAH kepada manusia mempunyai rahsia yang tersendiri. ALLAH mewajibkan umat Islam berwuduk sebelum melakukan solat, malah umat Islam disunatkan berwuduk dalam banyak keadaan lain seperti ketika ingin membaca Al-Quran, tidur, mandi wajib dan sebagainya.




Mengapakah wuduk begitu dititikberatkan di dalam Islam?? Apakah rahsia yang tersirat di sebalik perlakuan berwuduk?




Mari kita menyingkap hikmah berwuduk dari teropong sains dan kesihatan.



Dr. Magomed Magomedov dari Department of Man's Hygiene and Ecology di Akademi Perubatan Daghestan State telah menulis satu artikel yang bertajuk "Muslims Rituals and their effect on the person's health" (Ibadah Muslim dan kesannya ke atas kesihatan seseorang). Di dalam artikel tersebut, beliau menyatakan bahawa berwuduk dapat merangsang pusingan biologi manusia dengan cara merangsang kawasan-kawasan tertentu yang dikenali sebagai Kawasan Aktif Biologi atau Biological Active Spots. Menurut beliau, bangsa Cina banyak mengkaji tentang ilmu sains refleksologi dan mereka meyakini jika Kawasan Aktif Biologi dirangsang ia akan merangsang sistem saraf di dalam badan sekaligus memberi kesan yang positif terhadap kesihatan seseorang.




Mengikut ilmu perubatan Cina, badan manusia mempunyai lebih kurang 700 Kawasan Aktif Biologi dan 66 daripadanya memberi kesan positif yang segera sekiranya dirangsang. Apa yang menakjubkan ialah 61 daripada 66 kawasan tersebut berada di kawasan wuduk utama orang Islam. Lima lagi berada di kawasan di antara buku lali dan lutut iaitu kawasan yang disunatkan berwuduk. Berhubung dengan kawasan yang khusus (antara buku lali dan lutut) ini, Muslim meriwayatkan sabda Nabi yang bermaksud: "Sesiapa yang mampu di antara kamu maka hendaklah dia memanjangkan ghurrah dan tahjeelnya."




Ghurrah bermaksud membasuh muka melebihi kawasan muka yang biasa dan tahjeel pula bermaksud membasuh tangan melebihi siku dan membasuh kaki melebihi kawasan buku lali iaitu di antara buku lali dan lutut. Tafsiran ini disebut di dalam Bustanul Akhbar Mukhtasar Nailul Authar terjemahan A.Qadir Hassan, Mu'ammal Hamidy, Drs. Imron Am dan Umar Fanany B.A. (Pustaka Ilmu, Surabaya).




Selain daripada ibadah, wuduk juga mengandungi penawar yang mampu mencegah pelbagai penyakit. Dr. Magomed Magomedov menyatakan bahawa apabila seseorang menyentuh mukanya semasa berwuduk, ia akan merangsang saraf bagi memberi kekuatan baru (recharge) kepada organ-organ seperti usus, perut, pundi kencing dan sistem peranakan serta saraf. Apabila kawasan kaki kanan dibasuh dan digosok, ia merangsang sistem saraf bagi mengelokkan sistem tulang, usus, pankreas, hempedu, tiroid (thyroid) dan kawasan pinggang (lumbar area). Apabila kawasan kaki kiri dibasuh dan digosok, saraf berperanan untuk mengelokkan kelenjar pituitary dan kawasan otak yang mengawal sistem endokrin.




Di samping itu, Mukhtar Salem menyatakan di dalam bukunya yang bertajuk: "Prayers: A Sport for The Soul and Body" bahawa berwuduk boleh mencegah seseorang daripada mendapat kanser. Hal ini adalah kerana mengikut kajian semasa, salah satu punca kanser ialah bahan kimia yang melekat pada kulit badan seseorang kesan daripada pencemaran yang berlaku pada hari ini. Oleh sebab itu, pembasuhan badan melalui wuduk dapat membersihkan badan daripada kesan pencemaran tersebut.




Benarlah ALLAH itu Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.. DIA Maha Tahu apa yang terbaik untuk hamba-NYA....



rujukan: Quran Saintifik (Dr. Danial Zainal Abidin)

Thursday, June 25, 2009

kerinduan tetamu al-haramain



gelora rindu berombak


terbayang indah al-haramaian


tersergam megah dipotret kenangan


tersimpan kukuh menggamit qalbu




madinatul munawwarah


kota cahaya tersemadi kekasih


masjid nabawi menjadi saksi


hebatnya perjuangan silam




Di bukit Uhud itu


Terpahat satu cerita


Gugurnya pejuang pembela agama


Demi Islam pertaruhkan nyawa




Megah berdiri binaan Baitullah


Di Makkatul Mukrramah bumi mulia


Hati terpaku kelu bicara


Menatapi keagungan Yang Maha Kuasa




Aduhai Al-Haramain


memijak bumimu suatu ketenangan


menjadi tetamumu suatu kerinduan


kudamba cinta-Nya di bumimu


Ya Al-Haramain....

::khasiat air zamzam vs air biasa::




Di dalam air zamzam terdapat kandungan yang sarat dengan pelbagai unsur yang bermanfaat bagi keperluan tubuh manusia. Menurut kajian analisis yang telah dibuat, terdapat empat unsur kimia yang sangat penting dalam air zamzam, iaitu Kalium (K), Natrium (Na), Kalsium (Ca), dan Magnesium (Mg).
Di dalam air biasa pula tedapat unsur besi (Fe), namun unsur tersebut langsung tidak terdapat pada air zamzam. Begitu juga unsur Kalsium (Ca) yang ada pada air biasa sangat tinggi kadarnya, tetapi kandungannya sangat rendah di dalam air zamzam. Menurut kajian, kedua-dua unsur ini (Fe & Ca) merupakan unsur yang tidak baik bagi tubuh apabila terlalu berlebihan.
Sebaliknya, unsur-unsur kimia yang begitu bermanfaat dan menguntungkan tubuh ialah Kalium (K). Namun, kandungan Kalium di dalam air biasa sangat rendah, sebaliknya di dalam air zamzam kandungan unsur Kalium adalah sangat tinggi. Begitu juga unsur Magnesium yang baik untuk tubuh merupakan unsur yang sangat tinggi di dalam air zamzam, tetapi di dalam air biasa kadarnya relatif sedikit.
Selain itu, 4 pakar dari Suruhanjaya Kuasa Atom Bangladesh (Bangladesh Atomic Energy Commision) iaitu M.A. Khan, A.K.M Sheriff, K.M. Idris dan M. Alamgir. Mereka mengkaji kandungan air zamzam dan membuat perbandingan dengan air paip dan air yang dikeluarkan menggunakan alat pengepam berkuasa solar (solar pump water). Pakar-pakar ini mendapati air zamzam wujud secara tabii atau semulajadi dalam bentuk alkali. Oleh sebab itu, keadaan ini dapat mengawal kesan sampingan yang disebabkan oleh lebihan asid dalam perut sekaligus mampu mencegah penyakit gastrik. Air zamzam merupakan air yang terbaik di dunia, malah lebih baik daripada air mineral.
Pada hari ini, sukar untuk manusia mendapatkan air yang benar-benar bersih lagi suci. Ini adalah kerana kerakusan tangan-tangan manusia yang telah menukar dan merubah keaslian air dengan pelbagai bahan kimia seperti klorin yang boleh memudaratkan kesihatan tubuh badan manusia sendiri.
Lihatlah betapa hebatnya kuasa Allah Yang Maha Esa. Tiada siapa yang mampu menandingi ciptaan-Nya.
rujukan: 1- Quran Saintifik (Dr. Danial Zainal Abidin)
2- Petanda Keagungan (Nazri Zakaria)

Tuesday, June 23, 2009

mari meneroka al-quran dari perspektif sains


::KEAJAIBAN AIR MASIN (LAUT) VS AIR TAWAR::
Sesungguhnya Allah telah jadikan lautan yang luas terbentang untuk faedah makhluk dunia, tidak kira manusia, haiwan atau tumbuhan. Firman Allah dalam Surah An-Nahl:14: "DAN DIALAH YANG MENYEDIAKAN LAUTAN SUPAYA KAMU MAKAN DARIPADANYA DAGING YANG EMPUK, DAN SUPAYA KAMU KELUARKAN DARIPADANYA PERHIASAN YANG AKAN KAMU PAKAI, DAN ENGKAU LIHAT KAPAL MENGHARUNGINYA, SUPAYA KAU CARI KURNIA-NYA DAN SUPAYA KAMU BERSYUKUR."
Maha suci Allah, Dialah yang berkuasa ke atas tiap-tiap sesuatu. Allah telah menjadikan air laut itu masin, dan Dia juga telah menjadikan air tawar yang memenuhi tasik-tasik dan danau-danau. Betapa hebat kuasa Allah, kehebatannya tidak dapat ditandingi oleh apa jua makhluk. Allah telah menjadikan air laut dan air tawar itu tidak bercampur di antara satu sama lain walaupun kedua-duanya bertemu di lautan.
Fenomena yang menakjubkan ini ditemui oleh Mr. Jacques Yves Costeau yang merupakan seorang Oceanografer (ahli lautan) dan ahli selam terkemuka dari Perancis. Beliau telah menyelam di banyak dasar lautan seluruh dunia, malah turut menghasilkan filem dokumentari tentang keindahan alam bawah laut untuk tontonan jutaan manusia di seluruh dunia. Namun, pada suatu hari ketika sedang melakukan penerokaan di dasar laut, beliau menemui beberapa kumpulan mata air tawar yang segar dan tidak bercampur dengan air laut yang masin disekelilingnya.
Keajaiban yang ditemui itu bagaikan ada dinding atau membran yang membatasi air laut masin dan air tawar. Keganjilan ini membuatkan beliau kagum, seterusnya mendorong beliau mencari penyebab terpisahnya air tawar dan masin di tengah-tengah laut berkenaan. Maka pada suatu hari, beliau bertemu dengan seorang profesor Islam lantas menceritakan fenomena yang ganjil itu. Profesor tersebut teringat satu ayat Al-Quran tentang penemuan dua lautan dalam surah Ar-Rahman ayat 19-20 yang bermaksud: "DIBIARKAN-NYA MENGALIRKAN DUA LAUTAN, LALU KEDUANYA BERTEMU. DI ANTARA KEDUANYA ADA BATAS YANG TIDAK DILAMPAUI." (Ar-Rahman:19-20)
Profesor tersebut menjelaskan fenomena tersebut sudah pun dijelaskan di dalam Al-Quran. Firman Allah yang bermaksud: "DAN DIALAH YANG MEMBIARKAN DUA LAUT MENGALIR (BERDAMPINGAN); YANG INI TAWAR LAGI SEGAR DAN YANG LAIN MASIN LAGI PAHIT; DAN DIA JADIKAN DI ANTARA KEDUA-DUANYA DINDING DAN BATAS YANG MENGHALANGI." (Al-Furqan:53)
Lihatlah..betapa hebatnya kuasa Allah Yang Maha Agung. Dialah yang menurunkan Al-Quran kepada manusia sebagai panduan dan pedoman hidup. Di dalamnya terdapat pelbagai ilmu dan atur cara hidup yang lengkap untuk manfaat hidup manusia. Fenomena air laut dan air tawar ini merupakan salah satu tanda keagungan ALLAH yang dapat ditemui di dalam Al-Quran dan dikaji melalui sains pada hari ini.
Wallahu'alam.


Ilmu datang dari akal
Ilmu bermanfaat menjadi bekal

Rujukan: Petanda Keagungan Allah

Penulis: Nazri Zakaria (Bachelor of Science, UPM)