Saturday, December 18, 2010

::fasa perjuangan::



Alhamdulillah..segala pujian hanya selayaknya untuk ALLAH Rabbul Jalil. DIA sememangnya Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Tidak pernah sekalipun DIA meninggalkan aku sendirian untuk menguruskan kehidupan sehari-hari. DIA sentiasa di sisi tiap waktu dan ketika. DIA beri petunjuk ketika aku dalam kebuntuan. DIA memimpin jalanku ketika aku terasa lemah. DIA memancarkan sinar cahaya tika aku dalam kegelapan. DIA datangkan kegembiraan apabila aku berduka. DIA hadirkan tenang pabila aku resah. Kini, "k" 1 telah selesai dengan kejayaan yang gemilang. Alhamdulillah, syukur di atas anugerah pemberian-Nya. Sekarang, "k" 2 sedang melalui fasa-fasa terakhir untuk diselesaikan. Alhamdulillah, DIA permudahkan segalanya. Moga natijahnya akan membuatkan aku tersenyum girang. Tapi "k" 3 masih kabur. Moga DIA permudahkan urusan dan kurniakan yang terbaik buatku...DIA Maha Tahu apa yang terbaik untukku..insyaALLAH..

Tuesday, December 07, 2010

::Hijrah::



Hijrah kekasihku
mengajar erti pengorbanan
menyemai benih keikhlasan
menyemarak obor perjuangan
membakar semangat persaudaraan

Hijrahku
membaja iman menyemai takwa
menggapai redha Yang Maha Penyayang
mendamba keampunan ALLAH Ya Ghaffar
menjejak haruman syurga idaman

Ya ALLAH Ya Azim
aku lemah tanpa bantuan-Mu
bantulah aku menghadapi ranjau kehidupan ini

Ya Sami' Ya Alim
KAU Maha Mendengar rintihan hatiku
Kau Maha Tahu apa yang tersirat di sanubariku
kurniakanlah yang terbaik untukku

jangan Kau biarkan aku sendirian
mengatur urusan hidupku
walaupun sekadar sekelip mata
ENGKAUlah Maha Penentu segala
agar aku tidak tersalah langkah
semoga daku sentiasa di dalam jagaan-Mu
Ya Muhaimin



Salam hijrah buat semua..semoga hidup diberkati..




Thursday, November 04, 2010

::SYUKUR yang tak terungkap::




Tanggal 27 Oktober 2010 menjadi saksi kebesaran dan keagungan ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Hari kedua yang merupakan hari terakhir Program Kem Literasi Al-Quran peringkat zon Keramat, aku dikhabarkan berita gembira oleh seorang fasilitator seusai solat Zohor. Katanya: Ada seorang murid kumpulan akak pada mulanya tidak tahu langsung baca quran. Dia mula dengan Iqra' 1 muka surat 3. Tapi sekarang ni dah boleh baca Quran dengan lancar dan bertajwid, macam budak yang dah lama baca Quran. Akak sendiri macam tak percaya". Terharunya rasa hati apabila mendengar khabar ini. Terasa ingin sekali aku bertemu dengan murid tersebut dan mendengar sendiri bacaannya.

Adik Nasrullah, seorang murid yang tercicir. Beliau baru didaftarkan ke sekolah setelah umurnya mencecah 10 tahun. Bukan sahaja tidak mendapat pendidikan formal, apatah lagi ilmu agama seperti mengaji Al-Quran. Kasihan sungguh adik Nasrullah. Aku dengan rasa riang segera memberitahu Ustaz yang mejadi pengerusi program serta ketua fasilitator mengenai berita gembira ini. Ustaz terus memanggil murid tersebut dan mendengar bacaan beliau. Oleh itu, pihak urusetia bersetuju untuk menjemput adik Nasrullah untuk mengalunkan ayat suci Al-Quran semasa majlis penutup program nanti. Ketika beliau membacakan ayat-ayat suci tersebut, aku dan rakan-rakan rasa sebak dan kami hampir menitiskan air mata. Merdu dan cantik sekali bacaan adik Nasrullah. Walaupun program ini hanya berlangsung selama dua hari, namun ada kejayaan tercatat. Adik Nasrullah merupakan insan terpilih. Semoga ALLAH memberkati usaha guru-guru yang tak jemu mengajar dan mendidik anak-anak kecil sehingga mereka berjaya mengenali kalamullah dan dapat membacanya dengan baik. Tak terungkap rasa SYUKUR dengan kata-kata. Hanya ALLAH sahaja yang mengetahui betapa gembira rasa hati ini. ALHAMDULILLAH, pujian selayaknya hanya untuk-Mu Ya ALLAH.

Saturday, October 23, 2010

::S.A.B.A.R itu indah::



Entah mengapa sejak kebelakangan ini sabarku kian hilang. Malah rasa marah, sedih, kecewa bersatu mengisi sanubari hati. Tenangku diragut tanpa kuduga..Astaghfirullahal azim...Betapa banyaknya dosaku pada-Mu Ya Rabbi. Kerdil dan hinanya diri ini, sehingga tidak mampu untuk melawan cabaran dan dugaan kecil yang KAU berikan. Bagaimana mungkin aku ingin menjadi pejuang yang menegakkan panji agama-Mu andainya aku kalah apabila berhadapan dengan onak duri yang tidak seberapa ini..Betapa lemahnya aku. Ya ALLAH, memang aku lemah tanpa bantuan-Mu, sungguh ku tak berdaya tanpa pimpinan-Mu. Aku dambakan kasih dan cinta-Mu, mengisi ruang kosong agar sinarnya menerangi kegelapan hati ini. Bantulah aku Ya Ilahi, hadirkan tenang yang mengubat luka hati ini. Aku mohon setulus hati Ya Sami' Ya Alim.

Saturday, October 16, 2010

::PENGORBANAN disebalik jeriji besi::

Seringkali kita mendengar tentang pengorbanan para pendidik yang perlu menempuh pelbagai rintangan dan cabaran hanya untuk sampai ke destinasi kerjaya. Terkadang nyawa mereka seakan "telur di hujung tanduk". Namun mereka tetap tabah dan sabar menghadapinya demi menabur bakti dan menyemai budi menyampaikan ilmu buat anak bangsa bakal pewaris negara pada masa hadapan.

Namun, jarang sekali kita mendengar cerita mengenai pengorbanan guru di sebalik jeriji besi. Malah, mungkin ramai yang tidak pernah mengetahui bahawa di dalam penjara itu terdapat sekolah yang menempatkan remaja berumur di antara 16-18 tahun yang terlibat dengan jenayah juvana. Sekolah Integriti Kajang, di situlah bermula episod pengorbanan para pendidik yang dipertanggungjawabkan mengajar, mendidik, menyampaikan maklumat dan memberi motivasi buat remaja yang tersasar jauh dari jalan kebenaran. Walaupun ianya sekolah, namun suasana dan pendekatannya berbeza dengan sekolah-sekolah biasa. Kelas dikawal ketat oleh anggota polis, pakaian pelajar seperti banduan biasa, biliknya kecil berpintukan besi dan segala gerak-geri amat terhad. Apabila tiba waktu rehat, pelajar akan makan makanan yang diberikan oleh anggota polis, iaitu roti kering dan sedikit makanan tambahan lain.

Betapa sedihnya hati ini, melihat ramai generasi muda yang jauh terpesong dari jalan yang "haq". Terima kasih di atas jasa baktimu guru, kerana sanggup menerima amanah dan tanggungjawab yang berat ini menyampaikan wadah ilmu buat mereka yang dahagakannya tidak kira walau apapun keadaannnya. Semoga usaha murnimu itu diberkati oleh ALLAH yang Maha Penyayang.

Wednesday, May 26, 2010

::senjata mukmin::


Doa merupakan senjata bagi orang mukmin. Doalah menjadi penghubung kita dengan ALLAH Yang Maha Mendengar tanpa memerlukan medium atau perantaraan. Mintalah kepada-Nya, mohonlah apa sahaja, dalam apa jua keadaan dan di mana kita berada, DIA pasti mendengar. ALLAH berfirman yang bermaksud: "Dan apabila hamba-Ku bertanya kepada-Ku mengenai-Ku, sesungguhnya Aku terlalu hampir. Aku perkenankan doa orang yang meminta apabila dia berdoa kepadaku." (Al-Baqarah:186)

ALLAH tempat pergantungan setiap makhluk. ALLAH menjadi pelindung dan tempat untuk mengadu serta menagih simpati. Kita memohon kepada-Nya bukan sahaja di kala susah, malah di waktu lapang dan senang. Adakalanya permohonan dan permintaan kita ditunaikan dalam waktu yang kita inginkan. Pada ketika yang lain pula DIA memberi sesuatu yang tidak kita pinta. Malah, adakalanya ALLAH menangguhkan permintaan kita sehingga tiba suatu masa yang ditentukan. Semuanya ada hikmah yang tersembunyi. Pastinya kita akur bahawa ALLAH Maha Tahu apa yang terbaik untuk kita. Maka di dalam kandungan doa yang kita pohon, mintalah apa yang terbaik untuk kita yang ALLAH tentukan terbaik untuk kita.

Oleh itu, jika ALLAH segera memperkenankan doamu, bersyukurlah kepada-Nya melalui sujud-Mu, agar engkau tidak lupa akan pemberian-Nya. Jika permohonan-Mu masih belum ditunaikan, maka bersabarlah dan jangan jemu untuk terus meminta kerana ALLAH masih ingin mendengar rintihan dan rayuanmu di dalam doa yang kau panjatkan. Jika ALLAH memberi sesuatu yang lain daripada yang dipinta, maka berterima kasihlah kepada-Nya yang memberikan sesuatu yang terbaik buatmu malah lebih baik daripada apa yang kau pinta.

Jika kita percaya bahawa setiap yang terjadi di dalam kehidupan ini adalah di bawah penguasaan dan peraturannya, kita akan dapat menghadapi segala cabaran dan mehnah yang mendatang dengan penuh ketenangan.

Bersyukurlah di atas setiap pemberian-Nya kerana DIA ALLAH Ya Rahim, Ya Wahhab, Ya Razzaq, Ya Muhaimin, Ya Latif, Ya Sami', Ya Khabir, Ya 'Alim..

Tuesday, May 25, 2010

::menelusuri hikmah kehidupan::


hidup ini indah
sekali
apabila dinaungi kasih dan rahmat
ALLAH Ya Rahim

lorong jalanan yang penuh liku
tegar ditempuhi
apabila diiringi bantuan
ALLAH Ya Azim

debu dosa yang merantai jiwa
meresahkan, membebankan
akan sirna
apabila disirami taubat
diterima ALLAH Ya Tawwab

kesempitan dan kesengsaraan hidup
akan lenyap
kelapangan dan kebahagiaan hadir
apabila meminta
pada ALLAH Ya Wahhab

ketakutan, kegelisahan akan hilang
apabila yakin dilindungi
ALLAH Ya Muhaimin

Friday, April 23, 2010

::fasa perjuangan::



Alhamdulillah sudah selesai satu fasa. Kini fasa perjuangan seterusnya perlu diteruskan. Semoga urusanku dipermudahkan-Nya. Semoga target untuk mencapai 3 'K' berjaya;-) ALLAHUMMA YASSIR WA LA TU'ASSIR...

Friday, February 26, 2010

::ุงู„ุดูˆู‚ ูˆุงู„ุญุจ::


ู‚َู„ْุจِูŠ ูŠَุณْุฃَู„ُ ุนَู†ْูƒَ ูŠَุง ุญَุจِูŠุจِูŠ
ุฃَุดْุชَุงู‚ُّ ุฅِู„َูŠْูƒَ ูƒُู„َّ ูˆَู‚ْุชٍ ูˆَุฒَู…َุงู†ٍ
ุฃَู†ْุชَ ู‚ُุฏْูˆَุฉٌ ูˆَุฃُุณْูˆَุฉٌ ู„ِู„ู†َّุงุณِ ูِูŠ ุฒَู…َุงู†ِูŠ
ุฃُุญِุจُّูƒَ ุจِูƒُู„ِّ ู‚َุทَุฑَุงุชِ ุฏَู…ِูŠ
ุงِุดْูَุนْ ู„ِูŠ ุฃَุญْุณَู†ُ ุงู„ุดَّูَุงุนَุงุชِ ูŠَูˆْู…َ ุงู„ุฏِّูŠู†ِ
ุฃَุฑْุฌُูˆ ุงู„ู„ِّู‚َุงุกَ ู…َุนَูƒَ ูŠَุง ุฑَุณُูˆู„َ ุงู„ู„ู‡ِ
ุฐَุงุชَ ูŠَูˆْู…ٍ
HATIKU BERTANYAKAN PERIHALMU DUHAI KEKASIH
KUMERINDUIMU TIAP WAKTU DAN KETIKA
DIKAULAH CONTOH BUAT UMAT PADA ZAMANKU
KUCINTAIMU DENGAN SEPENUH JIWA RAGAKU
KURNIAKAN DAKU SYAFAAT PADA HARI PEMBALASAN
KUDAMBAKAN PERTEMUAN DENGANMU YA RASULALLAH
SUATU MASA NANTI..
ุตَู„ُّูˆุง ุนَู„َู‰ ุงู„ู†َّุจِูŠ

Monday, February 15, 2010

:: DOA buat SAHABAT ::






Ya ALLAH,

Panjangkanlah umur sahabatku,

Kurniakanlah kesihatan yang baik padanya,

Terangilah hatinya dengan 'nur' pancaran iman,

Tetapkanlah hatinya,

Perluaskanlah rezekinya,

Dekatkanlah hatinya kepada kebaikan,

Jauhkanlah hatinya daripada kejahatan,

Tunaikanlah segala hajatnya baik hajat dalam agama, dunia dan akhirat.



Ya MUHAIMIN,

Jika dia jatuh hati,

Izinkanlah dia menyentuh hati seseorang

yang hatinya terpaut pada-Mu
agar dia tidak terjatuh ke dalam jurang cinta nafsu


Jagalah hatinya agar tidak berpaling

daripada melabuhkan hatinya pada hati-Mu

Jika dia rindu

rindukanlah dia pada seseorang yang merindui syahid di jalan-Mu



Ya ILAHI,

Jangan biarkan sahabatku tertatih dan terjatuh

dalam perjalanan panjang menyeru manusia ke jalan-Mu

Jika KAU izinkan aku merindui sahabatku

Janganlah aku melampaui batas

sehingga aku melupakan 'CINTA HAKIKI', 'RINDU ABADI' dan 'KASIH SEJATI' -MU
ya ALLAH
kurniakanlah sahabatku
kesenangan, ketenangan, kebahagiaan, keberkatan & kecemerlangan
di dunia dan akhirat.


::alhamdulillah::


Alhamdulillah, DIA beri jua kesempatan untuk aku mengotakan janjiku kepada adik-adik (hadif, nurul & zaim). Aku telah berjanji untuk membawa mereka ke Zoo Negara. Maka hari Sabtu yang lalu aku telah berjaya membawa mereka ke sana. Kami semua gembira berjalan-jalan melihat binatang-binatang makhluk ciptaan ALLAH yang ada di sana. Sempatlah kami memberi makan si rusa dan gajah yang setia menanti. Hehhee.. Setelah penat berjalan, kami naik pula keretapi mini yang disediakan di sana. Tetapi yang paling menggembirakan aku apabila kami berpeluang melihat pertunjukan burung helang dan anjing laut yang sangat bijak dan manja. Aku rasakan perjalananku harini seperti diatur oleh-Nya. Terima kasih Rabbi.

Friday, February 12, 2010

::noktah kembara::



Semalam...11 februari 2010..genaplah dua tahun abang meninggalkan kami. Betapa cepat masa berlari. Tanpa disedari, semalam juga (11 februari 2010) kami dikejutkan dengan berita kemalangan yang membabitkan ayah Di (bapa saudara) dek diserang penyakit strok. Innalillahi wa inna ilaihi raajiuun. Ayah Di hilang kawalan semasa memandu dan melanggar tembok bangunan. Namun, kuasa ILAHI..Ayah Di masih diberi peluang bernafas dibumi-Nya. Terdapat pendarahan kecil pada otak kanannya disebabkan salur darah yang pecah. Hebat benar kuasa-Nya. Selagi belum tiba ajal seseorang itu, dia akan diberi nafas walau dalam apa jua keadaan sekalipun. Jika saat kematian menjelang tiba, rohnya pasti ditarik meninggalkan jasad tanpa perlu kepada apa-apa sebab. Kita semua merupakan pengembara yang berkelana di bumi-Nya. Singgah di pentas dunia mencari bekalan hidup di akhirat. Entah di mana noktah kembara kita. Entah bila kita akan tiba ke penghujung kembara dan berehat panjang di alam baqa'. Semoga bekal yang kita bawa cukup untuk kita menggapai redha-Nya.

Friday, February 05, 2010

::segalanya rahmat dariMU::


hamdan lillah..syukur pada setiap nikmat kurniaan-NYA..DIA memberi tanpa henti..DIA menghulur walau tidak dipinta..benar kata ustaz hari itu, dalam keadaan apa jua rahmat-NYA sentiasa bersama. Walaupun kita dizalimi, ataupun ditimpa kesusahan, disebalik semuanya itu ada rahmat yang tersembunyi. Namun, siapa yang dapat merasakan rahmat dan kasih-NYA mengalir di segenap urat nadi. Hanya mereka yang merenung dan menyingkap hikmah disebalik apa yang berlaku sahaja yang dapat merasakannya. Pada-MU Tuhan kuserahkan segala. Bimbinglah aku ke jalan redha-MU. Permudahkan segala urusanku. Moga kutempuhi ranjau dengan penuh ketenangan.