Tuesday, November 20, 2007

kenangan semalam

dengan nama ALLAH yang MAha Pengasih lagi Maha Penyayang..


Petang sebelum pulang dari kerja, achik (panggilan mesra k.sham) memberiku satu bungkusan. Di dalamnya ada sebuah buku dan sekeping cd. Terpampang wajah manis seorang remaja bertudung ungu. Di bawah gambarnya tertera "Siti Fatimah (18A)- watak remaja zaman kini". Aku merenung kulit buku itu seketika, kemudian membeleknya..dari kulit depan hingga ke belakang. Tanpa sedar kubaca buku tersebut sehingga noktah terakhir. Ooo..tersentuh hatiku pabila selesai membacanya. Fatimah merupakan pelajar cemerlang SPM sekaligus dinobatkan sebagai pelajar terbaik seluruh Malaysia dengan pencapaian 17A 1 & 1A2. Perkara yang paling menarik perhatianku dan membanggakan ialah beliau merupakan pelajar Maahad Muhammadi Lilbanat. Itulah tempat kumenimba ilmu..Di situlah berputiknya kecintaanku terhadap bahasa al-quran hingga subur & mekar hingga ke saat ini.

Seusai makan malam, hatiku begitu teringin untuk melihat vcd yang memaparkan dokumentari kehidupan fatimah sehingga mencapai kejayaan cemerlang. Tiba-tiba sahaja malam ini, aku merasa begitu kerinduan. Ya, sungguh...terasa begitu rindu pabila melihat suasana nyaman di sekolah. Menatap wajah para pendidik yang gigih tanpa jemu mencurah ilmu, serta perbuatan yang perlu dilakukan sebelum, ketika dan selepas pelajaran bermula. Banyak juga perubahan yang berlaku setelah hampir 6 tahun aku meninggalkan sekolah. Sekolah yang dulunya pudar tanpa warna, kini tampak berseri dihiasi warna kehijauan. Musolla juga sedikit ceria dicat dengan warna jingga dan oren. Waktu dulu, doa dibaca sebelum masuk ke kelas dan sebelum pulang. Kini, iqrar akan dibaca sebelum doa. Kemudian, selepas masuk kelas semua pelajar perlu mengalunkan asmaul husna dan doa penerang hati akan dibaca setiap kali bertukar waktu mata pelajaran.

Mengimbau masa lalu sebenarnya menerbitkan rasa kesal di hati. Sedih kerana tidak menggunakan peluang yang ada dengan sebaiknya. Banyak ilmu yang terbiar tanpa dicedok dan dicerna selayaknya. Aku sering membiarkan waktu berlalu tanpa mengutip emas mutiara yang hadir bersamanya. Banyak sungguh kehilangan dan kerugian yang aku hadapi. Dan perkara ini berterusan sehingga usiaku hampir tamat di Taman Ilmu dan Budi. Saat-saat terakhir berjuang di Taman Ilmu dan Budi, baru kumengerti betapa berharganya waktu yang aku luangkan untuk menimba ilmu. Dan kutersedar, jiwa ini masih kosong dengan ilmu.

Dan kini, aku mendapat peluang kedua menyambung kembara ilmu di Taman Ilmu dan Budi. Ianya bagaikan satu hadiah yang paling bermakna buatku. Janjiku..takkan kupersiakan waktu yang hadir. Akan kugunakan peluang yang datang sebaiknya. Aku bersyukur pada Tuhan Yang Maha Memberi. Tak lupa pada insan yang sangat memahami diriku..terima kasih tak terhingga buat abah dan mama. Hanya ALLAH saja yang mampu membalas segala jasa&pengorbanan yang dikau curahkan. Kuharap doamu berpanjangan mengiringi perjuangan anakmu ini. Amiin..Ya Rabb..

No comments: