Saturday, October 16, 2010

::PENGORBANAN disebalik jeriji besi::

Seringkali kita mendengar tentang pengorbanan para pendidik yang perlu menempuh pelbagai rintangan dan cabaran hanya untuk sampai ke destinasi kerjaya. Terkadang nyawa mereka seakan "telur di hujung tanduk". Namun mereka tetap tabah dan sabar menghadapinya demi menabur bakti dan menyemai budi menyampaikan ilmu buat anak bangsa bakal pewaris negara pada masa hadapan.

Namun, jarang sekali kita mendengar cerita mengenai pengorbanan guru di sebalik jeriji besi. Malah, mungkin ramai yang tidak pernah mengetahui bahawa di dalam penjara itu terdapat sekolah yang menempatkan remaja berumur di antara 16-18 tahun yang terlibat dengan jenayah juvana. Sekolah Integriti Kajang, di situlah bermula episod pengorbanan para pendidik yang dipertanggungjawabkan mengajar, mendidik, menyampaikan maklumat dan memberi motivasi buat remaja yang tersasar jauh dari jalan kebenaran. Walaupun ianya sekolah, namun suasana dan pendekatannya berbeza dengan sekolah-sekolah biasa. Kelas dikawal ketat oleh anggota polis, pakaian pelajar seperti banduan biasa, biliknya kecil berpintukan besi dan segala gerak-geri amat terhad. Apabila tiba waktu rehat, pelajar akan makan makanan yang diberikan oleh anggota polis, iaitu roti kering dan sedikit makanan tambahan lain.

Betapa sedihnya hati ini, melihat ramai generasi muda yang jauh terpesong dari jalan yang "haq". Terima kasih di atas jasa baktimu guru, kerana sanggup menerima amanah dan tanggungjawab yang berat ini menyampaikan wadah ilmu buat mereka yang dahagakannya tidak kira walau apapun keadaannnya. Semoga usaha murnimu itu diberkati oleh ALLAH yang Maha Penyayang.

No comments: