Monday, March 31, 2008

AnugerahMu..Kusyukuri

Sempena hari kelahiranku yang ke-25 (31 Mac 1983-31 Mac 2008)


Terima kasih padaMU
Atas anugerah kurniaan
sejak tangisan bergema
KAU hadiahi Iman dan Islam

Terima kasih buatMU
memberiku sinar
cahaya kasih insan penyayang
curahan kasihnya abadi

Terima kasih tak terhingga
memimpinku meniti kehidupan
menitip tenang di sudut hati
beronak duri tegar kutempuhi

Segala kurniaan anugerahMU...amat kusyukuri..
Puji&Syukur kupanjatkan buatMU atas kurniaan kehidupan ini..
KAU masih memberiku peluang menikmati dunia ini..

terima kasih buat sahabat yang senantiasa mengingati diri ini..Ucapan doa kalian amat membahagiakanku...moga ALLAH eratkan tautan ukhwah ini hingga ke akhirnya..insya ALLAH..terima kasih buat Dayah (my sis), Nana (my cousin), najmi (my cute cousin),Tengku, Una, Fatma, K.Yati, Thurayya, Jah, Tikah, K.Ika syg, sal, k.engku, ct khadijah dan shaifura atas ucapan kalian. Juga pada sahabat-sahabat yang sentiasa mendoakan kesejahteraan diri ini, moga ALLAH kurniakan rahmat dan maghfirah-Nya tiap waktu dan ketika.

Sunday, February 24, 2008

tiap waktu..pasti ada yang pergi..

Bismillaahirrahmaanirrahim..

Jumaat (22/2/08)

Jam menunjukkan 7.20 pagi..aku telah bersiap berpakaian lengkap..cadangnya sebelum ke kelas aku nak ziarah pusara abang..sudah terasa begitu rindu padanya setelah seminggu tak berkesempatan ke sana lantaran tugasan yang menghambat. Aku mengajak mama menemani aku ke sana. Tiba di kubur, aku lihat agak ramai orang sedang khusyuk menadah tangan, berdoa di hadapan sebuah kubur. Kelihatan juga seorang lelaki tua sedang tekun menggali kubur baru. Aku mencari-cari pusara abang. Buntu. Yang mana satu? Kenapa tiba-tiba rasa dah banyak pusara baru. Pening sebentar. Berfikir bagaimana caranya hendak tahu yang manakah pusara abang. Tiba-tiba aku teringat yang pusara abang ada diletakkan nombor. Ya, nombor abang 1255. Lantas aku terus merenung, mencari nombor yang ditetapkan. Aku melihat pusara yang agak baru, nombornya 1257. Lalu aku terus memandang ke depan. Rupanya orang ramai yang berkumpul tadi duduk di sebelah pusara abang. Maknanya sudah ada 3 kubur yang baru. Dan hari ini nampaknya bertambah lagi sahabat abang. Mama bertanya pada Wak penggali kubur: Wak, bila kubur-kubur ni ada? Jawab Wak: Baru minggu ni. Mula hari Selasa, berderet sampai hari ni (Jumaat). Subhanallah..Benar janjiMu pasti..Bahawa setiap jiwa akan merasai mati..

(kisah pemergian abang akan diceritakan kemudian) Insya ALLAH.

Sunday, February 17, 2008

S.A.B.A.R

Sabar..satu kata seribu makna
Andai diperhalusi penuh penghayatan
Bajai sabar dalam diri
Akar tenang kan tumbuh mekar
Ranjau dilalui peritnya tidak terasa

Saturday, January 19, 2008

peringatan buat akhawat..

PERINGATAN UNTUK WANITA
(Diambil dari sabda2 Rasulullah s.a.w.)

1. Wanita solehah adalah lebih baik dari seribu lelaki yang tidak soleh.

2. Wanita apabila melaksanakan solat 5 waktu, puasa sebulan Ramadan, memelihara kehormatan diri serta taatkan suaminya, berpeluanglah ia memasuki mana-mana pintu syurga yang dikehendakinya.

3. Saidatina Aisyah r.a. berkata : “Saya pernah bertanyakan Rasulullah s.a.w. tentang siapakah manusia yang terlebih berhak terhadap wanita?”
Jawab Rasulullah s.a.w. : “Suaminya”. Bertanya pula Aisyah : “Siapa pula terlebih berhak terhadap lelaki?”. Jawab Rasulullah s.a.w. : “Ibunya”.

4. Apabila kamu dipanggil oleh kedua ibu bapamu, maka jawablah panggilan ibumu terlebih dahulu.

5. Sesiapa yang dikurniakan Allah wanita yang solehah, sesungguhnya ia telah dikurniakan separuh dari agamanya, maka yang separuh lagi hendaklah ia berbakti (bertakwa) kepada Allah.

6. Sebaik-baik wanita ialah yg tinggal di rumah, tidak keluar kecuali atas urusan mustahak. Wanita apbl keluar akn dip’sonakan (digoda) oleh iblis.

7. Haram bagi wanita melihat lelaki sebagaimana lelaki haram melihat wanita (bukan muhrim) kecuali dalam menuntut ilmu dan berjual beli. Suatu hari ketika Rasulullah s.a.w. bersama isteri-isteri baginda (Ummu Salamah dan Maimunah), datang seorang sahabat yang buta (Ibnu Maktum). Rasulullah menyuruh kedua-dua isterinya masuk ke dalam rumah. Bertanya Ummu Salamah: “Bukankah orang itu tidak dapat melihat kami ya Rasulullah?”.
Rasulullah s.a.w. menjawab: “Bukankah kamu dapat melihatnya?.”

8. Wanita yg keluar rumah dgn memakai bau-bauan b’jln di hadapan org sehingga terhidu baunya, ia adalah berzina yakni seperti perempuan zina.

9. Tidak memuliakan wanita melainkan orang yang mulia dan tidak menghina mereka melainkan yang hina.

10. Dunia adalah perhiasan, sebaik-baik perhiasan ialah wanita solehah.

11. Wanita itu boleh dikahwini dengan sebab hartanya, kecantikannya, keturunannya dan agamanya. Hendaklah kamu mendapatkan yang kuat agamanya, tentu ia akan memberi ketenangan kepada kamu.

12. Salah satu tanda keberkatan wanita ialah cepat perkahwinannya dan cepat pula kehamilannya dan ringan maharnya (mas kahwin).

13. Wanita yang taatkan suaminya, semua burung-burung di udara, ikan di air, malaikat di langit, matahari dan bulan semuanya beristighfar baginya selama mana ia masih taatkan suaminya dan diredhai (serta dipelihara akan sembahyang dan puasanya).

14. Wanita yang taat berkhidmat pada suaminya akan tertutup 7 pintu neraka dan akan terbuka pintu-pintu syurga. Masuklah dari mana-mana pintu yang disukainya dengan tidak dihisab.

15. Mana-mana wanita yang bermasam muka menyebabkan rasa tersinggung hati suaminya, maka ia dimurkai Allah sehingga ia kembali bermanis muka dan tersenyum mesra terhadap suaminya.

16. Ibnu Umar berkata : Telah datang seorang kepada Rasulullah S.A.W. lalu bertanya : “Apakah hak suami atas isteri?” Jawab baginda : “Tunaikan hajatnya sekalipun engkau di belakang unta, jangan berpuasa sunat melainkan dengan izin suami, jika engkau berpuasa juga maka pahalanya untuk suami dan dosa untuk isteri, jangan keluar malainkan dengan izinnya: jika keluar juga akan dilaknat oleh Malaikat Rahmat dan Malaikat Azab sehingga kembali kembali engkau ke rumah.”

TIGA GOLONGAN DALAM NERAKA
(Dari sabda Rasulullah s.a.w.)

Dari Ali bin Abi Talib: “Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: “Tiga golongan dari umatku akan mengisi neraka jahannam selama umur dunia tujuh kali, mereka ialah :

a- Orang yang gemuk tetapi kurus.
b- Orang yang berpakaian tetapi telanjang.
c- Orang yang alim tetapi jahil.

Orang yang gemuk kurus ialah mereka yang gemuk tubuhnya tetapi kurus ibadatnya.
Orang berpakaian telanjang ialah wanita yang cukup pakaiannya tetapi tidak taat agama (seperti berpakaian nipis hingga terbayang tubuhnya atau terlalu ketat).
Orang alim jahil ialah ulama yang menghalalkan yang haram kerana kepentingan duniawi.

LARANGAN MELIHAT WANITA
(Dari sabda Rasulullah s.a.w.)

Haram bagi wanita melihat lelaki sebagaimana lelaki haram melihat wanita (bukan muhrim) kecuali dalam menuntut ilmu dan berjual beli. Suatu hari ketika Rasulullah s.a.w. bersama isteri-isteri baginda (Ummu Salamah dan Maimunah), datang seorang sahabat yang buta (Ibnu Maktum). Rasulullah menyuruh kedua-dua isterinya masuk ke dalam rumah. Bertanya Ummu Salamah: “Bukankah orang itu tidak dapat melihat kami ya Rasulullah?”. Rasulullah s.a.w. menjawab: “Bukankah kamu dapat melihatnya?.”

sumber:email

Monday, January 14, 2008

Hijrah ini..

hijrah ini
aku bersendiri
mengorak perjalanan
menyambung kembara

hijrah ini
kumembina kekuatan baru
mencari sinar cahaya
menyuluh jalanku

hijrah ini
kumengharapkan yang terbaik
rahmat, barakah, maghfirah
daripadaNYA, Sang Kekasih


Monday, December 31, 2007

Lembaran baru

Dengan menyebut namaMU Tuhan Yang Maha Pengasih & Maha Penyayang.

"Alhamdulillahi 3ala kulli ma aula minal khairati wan ni3ami"
- segala pujian buatMU Rabbi di atas segala kebaikan dan nikmat yang Dikau kurniakan-

Malam ini merupakan malam terakhir 2007. Pastinya ramai yang menyambut kehadiran tahun baru dengan azam baru tersemat kejap di sanubari. Tidak kurang juga yang menyambutnya dengan sorakan dan pekikan gembira "happy new year" atau "selamat tahun baru". Malam yang sepatutnya dihiasi dengan merenung diri, menghitung segala yang telah berlaku sepanjang tahun ini. Apakah hikmah yang tersingkap disebalik tirai hari yang berlalu?

Pada malam ini, aku jua menyemai azam baru dalam diri. Kuharapkan lembaran baru hari esok membawa cahaya yang akan menyinari jalan perjuangan ini. Kupohon setulus doa agar perjalanan ini dinaungi kasih dan rahmat Yang Maha Mendengar, Maha Melihat lagi Maha Mengetahui. Pimpinlah daku ke jalanMU. Bimbinglah daku menuju redhaMU. Moga jalanku lurus, jauh dari persimpangan tipuan dunia. Kurniakan daku secebis tenang, agar bahagia menemani kala sendu. Tabah dan redha dengan ketentuanMU berpaksi di hati. Kejayaan manis menanti di destinasi.


::ALLAHUMMA YASSIR WA LA TU3ASSIR...ALLAHUMMA TAMMI BILKHEIR::

Saturday, December 22, 2007

salam eidul adha

Dengan menyebut namaMU Ya Rabbi Tuhan sekalian alam.

Salam eidul adha buat semua rakan, sahabat & teman. Moga menghayati erti pengorbanan. Pengorbanan Para Nabi dan Rasul dalam menegakkan kalimah ALLAH di muka bumi, jua pengorbanan sebagai hamba Ilahi yang mencari kehidupan abadi.

"korbankan duniamu..nescaya kau kan merasai manisnya kehidupan"

Saturday, December 15, 2007

kembara ilmu

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Alhamdulillahi 3ala kulli ma aula minal khairati wan ni3ami.
Kembara ilmu telah bermula lagi. Kuharap kembara kali ini memberi 1000 erti. Melangkah seiring tabah..tenang menyusuri lorong berliku. Kudamba rahmatMu, menemani kembara sufi. Agar kembara ini tidak goyah, rebah di persimpangan. Kupohon cahaya petunjukMU, menyuluh jalan kembara. Moga tetap langkah ini hingga ke noktahnya.
Kembara sem 2 07/08
1)Contrastive & Error analysis - Monday (2-5pm)
2) Principle of teaching second language - Tuesday (to be determined)
3)Methods of teaching arabic as a second language - Wednesday (10am-1pm)
4) Research Methodology - Thursday (9am-12pm)
5) Educational Technology for teaching arabic - Thursday (5-8pm)

Saturday, November 24, 2007

Ya Badra Tim




mari dengarkan alunan merdu ini..moga ada kebaikan pada kalimahnya..

Tuesday, November 20, 2007

kenangan semalam

dengan nama ALLAH yang MAha Pengasih lagi Maha Penyayang..


Petang sebelum pulang dari kerja, achik (panggilan mesra k.sham) memberiku satu bungkusan. Di dalamnya ada sebuah buku dan sekeping cd. Terpampang wajah manis seorang remaja bertudung ungu. Di bawah gambarnya tertera "Siti Fatimah (18A)- watak remaja zaman kini". Aku merenung kulit buku itu seketika, kemudian membeleknya..dari kulit depan hingga ke belakang. Tanpa sedar kubaca buku tersebut sehingga noktah terakhir. Ooo..tersentuh hatiku pabila selesai membacanya. Fatimah merupakan pelajar cemerlang SPM sekaligus dinobatkan sebagai pelajar terbaik seluruh Malaysia dengan pencapaian 17A 1 & 1A2. Perkara yang paling menarik perhatianku dan membanggakan ialah beliau merupakan pelajar Maahad Muhammadi Lilbanat. Itulah tempat kumenimba ilmu..Di situlah berputiknya kecintaanku terhadap bahasa al-quran hingga subur & mekar hingga ke saat ini.

Seusai makan malam, hatiku begitu teringin untuk melihat vcd yang memaparkan dokumentari kehidupan fatimah sehingga mencapai kejayaan cemerlang. Tiba-tiba sahaja malam ini, aku merasa begitu kerinduan. Ya, sungguh...terasa begitu rindu pabila melihat suasana nyaman di sekolah. Menatap wajah para pendidik yang gigih tanpa jemu mencurah ilmu, serta perbuatan yang perlu dilakukan sebelum, ketika dan selepas pelajaran bermula. Banyak juga perubahan yang berlaku setelah hampir 6 tahun aku meninggalkan sekolah. Sekolah yang dulunya pudar tanpa warna, kini tampak berseri dihiasi warna kehijauan. Musolla juga sedikit ceria dicat dengan warna jingga dan oren. Waktu dulu, doa dibaca sebelum masuk ke kelas dan sebelum pulang. Kini, iqrar akan dibaca sebelum doa. Kemudian, selepas masuk kelas semua pelajar perlu mengalunkan asmaul husna dan doa penerang hati akan dibaca setiap kali bertukar waktu mata pelajaran.

Mengimbau masa lalu sebenarnya menerbitkan rasa kesal di hati. Sedih kerana tidak menggunakan peluang yang ada dengan sebaiknya. Banyak ilmu yang terbiar tanpa dicedok dan dicerna selayaknya. Aku sering membiarkan waktu berlalu tanpa mengutip emas mutiara yang hadir bersamanya. Banyak sungguh kehilangan dan kerugian yang aku hadapi. Dan perkara ini berterusan sehingga usiaku hampir tamat di Taman Ilmu dan Budi. Saat-saat terakhir berjuang di Taman Ilmu dan Budi, baru kumengerti betapa berharganya waktu yang aku luangkan untuk menimba ilmu. Dan kutersedar, jiwa ini masih kosong dengan ilmu.

Dan kini, aku mendapat peluang kedua menyambung kembara ilmu di Taman Ilmu dan Budi. Ianya bagaikan satu hadiah yang paling bermakna buatku. Janjiku..takkan kupersiakan waktu yang hadir. Akan kugunakan peluang yang datang sebaiknya. Aku bersyukur pada Tuhan Yang Maha Memberi. Tak lupa pada insan yang sangat memahami diriku..terima kasih tak terhingga buat abah dan mama. Hanya ALLAH saja yang mampu membalas segala jasa&pengorbanan yang dikau curahkan. Kuharap doamu berpanjangan mengiringi perjuangan anakmu ini. Amiin..Ya Rabb..

Monday, November 05, 2007

KAU di sisi

sekian lama
kumencari erti hidup
mencerna makna hakikat
menghalusi makrifat kehidupan

saban waktu
hari terus berlari
menghadirkan malam dan siang
silih berganti

KAU tetap di sisi
sejak tangisku bergema
hingga saat ini
dan pasti di sisi
ketika rohku bakal meninggalkan jasad

saat senyum terpamer indah
tawa terhambur ceria
detik bahagiaku
KAU rasai bersama

tika suram menghias wajah
mutiara tangis mengalir lesu
KAU setia membujuk
menitip secubit tenang
membajai hati yang kusam

aku pasti akan janjiMU
KAU sentiasa di sisi..

nukilan buat MAMA

sempena hari lahir mama (2 November 1956)

Selamat hari lahir mama
kami ucapkan setulus hati
moga dirimu diberkati
hidupmu terhias kasih ILAHI


Selamat hari lahir mama
kami cuba mengimbau nostalgia
menyelusuri kembara hidupmu
menjejak jerih pedih jiwamu


Selamat hari lahir mama
kecekalanmu membesarkan kami
kesabaranmu mendidik kami
ketabahanmu mendewasakan kami


Selamat hari lahir mama
dikau penyeri hidup kami
dikau ratu hati kami
dikau permata buat kami


Selamat hari lahir mama
pada-Nya kami memohon
ampunkan segala dosamu
tempatkan dikau di syurga abadi


-nor syuhadaa mohd samsuddin-

Friday, October 26, 2007

BET TAUFIQ WAN NAJAH..

Assalamualaikum..

Antahizu hazihil fursah li ilqa'i kalimatan tasyji'iyyatan liman sa yuwajihu imtihanihii an nihaaii khossotan ukhtanii (hidayah- UUM sintok) wa (Asyikin- UM) wa akhii (Taufiq - SPM) wa kazalika likulli zumalaaii fi kulli makan. Bet Taufiq wan najah lakum wa as alullaaha an yusahhila umuurakum wa yamnaha lakum an najah al-bahir.


Salam perjuangan buat semua yang akan menghadapi peperiksaan akhir tahun yang akan menjelang beberapa hari lagi terutamanya adik-adikku yang tersayang (hidayah-UUM Sintok, Asyikin- UM, dan Taufik - SPM) serta sahabat-sahabat tercinta walau di mana jua berada. Moga DIA permudahkan segala urusan dan mengurniakan kejayaan yang cemerlang untukmu.


All the best to all in final exam especially my beloved sisters (Hidayah - UUM Sintok, Asyikin-UM) and my brother (Taufik - SPM) and also Not forget my precious friends wherever you are . I pray to ALLAH may He ease your way and grant you the result with flying colours.


- SALAM PERJUANGAN-

Thursday, October 18, 2007

nostalgia lebaran

Ramadhan sudah hampir ke penghujungnya. Lagu dendangan aidilfitri bergema di setiap sudut petanda akan perginya Ramadhan yang penuh barakah. Sayu pula rasa hati mengingatkan Ramadhan bakal berlalu. Bulan yang dicurahkan rahmat, dikurniakan maghfirah, dan dijanjikan kebebasan dari azab neraka. Yang paling istimewa, Ramadhan hadir bersama 1001 rahsia bernama "Lailatul Qadr". Sungguh bertuah siapa yang bertemunya, menghidupkan malamnya dan menghayati setiap saat yang berlalu pada waktu itu.

Seminggu sebelum Syawal tiba, aku begitu runsing dan gelisah. Masakan tidak, keputusan untuk pulang ke kampung belum dibuat. Abah dan mama tak pasti lagi hendak pulang ke desa atau tidak. Kata mereka kita lihat keadaan. Maklumlah adik-adikku akan menduduki peperiksaan akhir semester selepas hari raya. Tambahan pula adikku Fahmi masih perlu bekerja pada hari Jumaat. Huhuhu..aku tak dapat membayangkan suasana apabila terpaksa menyambut hari raya di kota. Tiada apa yang menarik di sana. Aku tak sanggup menyambut hari lebaran tanpa suara hilai tawa sanak saudara, bunyi gegak gempita anak-anak kecil berlarian di halaman dan iringan senyuman mesra mereka. Sungguh, sudah lama aku tak merasakan keindahan suasana itu. Tahun lepas aku sudah tidak pulang berhari raya lantaran hambatan waktu untuk peperiksaan akhir semester. Sedih sungguh waktu itu. Abah dan mama pulang ke desa selepas solat Aidilfitri, dan tinggallah aku bersama beberapa orang adik merenung lesu jalan yang lengang.

2 hari sebelum Syawal menjengah, akhirnya kata sepakat telah dibuat. Alhamdulillah, dapat juga aku pulang ziarah nenda. Kami bertolak pada petang Jumaat selepas adikku selesai bertugas. Jalan ketika itu agak sibuk tapi tidak terlalu sesak. Perjalanan yang jauh tidak terasa kerana terujanya aku ingin melihat wajah sanak-saudara dan menikmati suasana bahagia Aidilfitri. Jam 1.30 pagi, kami selamat tiba ke desa nan permai yang sering dirindu. Alhamdulillah...Syukur padaMu Rabbi Dikau permudahkan urusan kami.

Pagi Syawal, semua bersiap memakai pakaian indah berseri. Asyik aku melihat sepupu-sepupu cilikku bergaya dengan baju raya mereka. Gembira sungguh mereka dengan baju melayu siap bersamping dan bersongkok bagai pendekar melayu. Yang perempuan pula dengan baju kurungnya dan tudung mini menambahkan keayuan diri. Aku menjadi pemerhati yang setia pada pagi itu. Tok ayah, mok, dan yang lain, sibuk dengan hal masing-masing. Sempatlah pagi itu, aku bermain dengan adik amar hamka yang baru berusia 4bulan. Comelnya Hamka!! Dah besar rupanya dia. =)

Masih lagi di pagi Syawal, sanak-saudara berkumpul bersalam-salaman. Saat yang paling meriah, sesi pemberian duit raya.Huh, gegak gempita rumah tok ayah dengan suara si cilik yang semangat menunggu giliran mendapat sampul raya. Ceria sungguh suasana ketika itu. Ramai pula tetamu bertandang ke rumah. Memang tak menang tangan kami dibuatnya. Namun, kepenatan hilang begitu saja melihat kemeriahan yang membuah ceria. Aku dan keluarga tak menunggu lama. Seusai solat Asar kami ke Pasir Mas, kampung Abah. Nenda yang keseorangan sedang menanti kedatangan cucu-cucunya. Sebaik saja tiba di sana, ada tamu berkunjung. Rupanya saudara abah. Ramai lagi saudara-maraku yang belum aku kenali. Malam itu kami bermalam di Pasir Mas.

Pagi keesokannya, selepas menziarahi ayah long dan makcik, kami pulang kembali ke Kota Baru. Wah, baru saja sampai ada tamu bertandang, Pakda dan mak long. Kemeriahan hadir kembali. Kami berkumpul bersama dan konvoi ke rumah ayah din kerana ada kenduri aqiqah. Di sana, kami dijamu kambing. Seronoknya makan kambing!Hehehe..maklumlah sebelum ni tak pernah merasa. Selepas ke sana, kami singgah pula kampung Ayah man, pekena kambing lagi!! Mungkin hari tu hari kambing.'-)

Hari raya ke-3, tamu sudah tak ramai. Abah bercadang bawa aku dan adik-adik perempuan berjalan-jalan di Kota Baru. Hmm, semestinya aku seronok. Itulah perkara yang tidak pernah aku lepaskan setiap kali pulang ke desa. Jam 11 pagi, bandaraya Kota Baru masih lengang. Tak banyak kedai yang beroperasi. Mungkin mereka masih menyambut aidilfitri. Kawanku mengajakku beraya di rumah pegawai JHEOA, Che Wan Yusmi. Namun, aku sukar untuk ke sana kalau tidak dihantar. Aku sengaja meluahkan hasrat hati pada Abah. Dan, tanpa aku sangka, Abah bersetuju untuk ke rumah Che Wan. Huhuhuh..gembiranya aku tak terkira. Boleh jumpa Syahir dan Eisha anak Che Wan. Dah besar pun diorang. Kami ke pusat membeli-belah Pantai Timur yang baru dibuka. Asyik betul melihat, membelek dan menilik barang-barang di situ hingga tak sedar jam sudah hampir 4 petang. Huhuhu..patutla rasa pening, tak makan nasi lagi.

Hari raya ke-4, aku dan keluarga pulang ke kota. Perjalanan berjalan lancar kerana kereta masih tak banyak di jalan raya. Mungkin warga kota masih bercuti. Aku tidur sepanjang perjalanan. Tak berdaya membuka mata melihat panorama indah lukisan alam kerana kepala rasa berpusing. Sedih betul nak tinggalkan desa. Tapi aku puas kerana dapat juga pulang walau sekejap. Alhamdulillah. PadaMu segala puji dan syukur.

##ucapan istimewa buat paksu, untie lala & umair di nagoya, jepun##

SALAM LEBARAN UNTUK PAKSU & FAMILY YANG JAUH DI PERANTAUAN..MOGA HARI RAYA DISAMBUT DENGAN PENUH KEMERIAHAN & KESYUKURAN.

Terima kasih belanja satay untuk raya=)

18/10/07

Terima kasih buat sahabat secomrade (m.ana, tikah, pijan, raihan, fatin, saidah, nieza, hairul, max & herman ) kerana sudi berkunjung ke rumah. =) Insya ALLAH moga kita dapat bersama-sama ke Tuel. Doakan saya!!

Wednesday, September 19, 2007

salam ramadhan..

Salam ramadhan buat semua sahabat yang dikenali dan mengenali diri ini. Sudah lama diri membiarkan laman ini sepi tanpa seuntai bicara. Moga kehadiran Ramadhan membakar semangat, membina keazaman, dan menyucikan rohani yang lesu serta bersalut debu dosa. Mari bersama hidupkan Ramadhan, memburu jejak lailatul qadr dan mengecapi nikmat rahmat dan barakah Rabbul 'Aalamiin.

MARHABAN BIK YA RAMADHAN!!
KuLLu 'aamiin wa antum toyyibun..=)

Thursday, August 09, 2007

Saudara selamanya




saudaraku..
bersabarlah atas perpisahan
semoga Tuhan tidak membiarkanmu sendirian
ingatlah Yang Esa di mana kau berada
kuberdoa kitakan bertemu kembali
di suatu masa nanti
bertemu berpisah adat kehidupan
kerana kita semua hamba-Nya
tugas kita adalah menabur jasa
dan menunaikan tanggungjawab
saudaraku...
bersabarlah atas perpisahan
semoga Tuhan tidak membiarkanmu sendirian
ingatlah Yang Esa di mana kau berada
kuberdoa kitakan bertemu kembali
di suatu masa nanti
kitakan tetap bersaudara
walaupun jarang dapat bersama
asalkan hati kita bersatu
di atas jalan kebenaran
teguhkan imanmu itulah bentengmu
dari tipuan duniawi
berdoalah pada ALLAH Yang MAha Kuasa
agar selamat dari fitnah-Nya
saudaraku..
bersabarlah atas perpisahan
semoga Tuhan tidak membiarkanmu sendirian
ingatlah Yang Esa di mana kau berada
kuberdoa kitakan bertemu kembali
di suatu masa nanti
kitakan tetap bersaudara
walaupun jarang dapat bersama
asalkan hati kita bersatu
di atas jalan kebenaran
bertemu dan berpisah
adalah sunnatullah
pertemuan yang hakiki
tentunya di syurga yang abadi
kuberdoa kitakan bertemu kembali
kuberdoa kitakan bertemu
di suatu masa nanti

hakikat




dunia hanya tempat persinggahan..kembara berkelana menuju destinasi abadi..

Tuesday, July 24, 2007

mabruk alaikum!!

assalamualaikum wbt..

mabruk alaikum ayyuhal munazirun 'ala fauzikum fi musabaqatil munazoroh li mustawa asean. arju annan najah mithlu haza sa yamurru daiman fil mustaqbal insya ALLAH!

hayya hayya ya asdiqaaii..nuhyil 'arabiyyah fi hayatinal yaumiyyah..=)

Saturday, July 21, 2007

Pertembungan sains dengan Islam, mana nak dipilih?

Assalamualaikum wbh

Dalam artikel lalu saya telah menceritakan tentang pengaruh permakanan dalam pembinaan gigi yang cantik. Sila baca artikel saya bertajuk Agar gigi anak-anak tersusun rapi. Dalam artikel ini saya menceritakan pengalaman diberikan Allah anak sulung dengan memberikan anak manja ini makanan rapu. Sebenarnya, melalui anak yang sulung ini, begitu banyak Allah memberikan ilmu melalui pengalaman membesarkannya. Alhamdulillah bersyukur saya di atas segala nikmat yang diberikanNya.

Dari tahun 1980 hingga 1985, saya mengajar di tiga buah sekolah dari SMK Sultan Ahmad Shah Cameron Highland, Sekolah Mahmud Raub dan akhir sekali di Sekolah Menengah Sains Raub. Saya mengajar subjek utama biologi tingkatan 4 dan 5 di samping beberapa subjek lain. Dalam subjek biologi ini saya menggalakkan pelajar saya untuk memakan hati kerana menurut sains, hati kaya dengan pelbagai khasiat seperti sumber zat besi yang sangat diperlukan oleh tubuh badan. Saya tidak pernah membuktikan sama ada benar dakwaan sains ini tetapi itulah yang perlu saya ajarkan kerana ia terdapat di dalam sukatan pelajaran biologi dari dulu sampai sekarang. Para doktor juga telah diberikan ilmu yang sama iaitu hati sama ada hati ayam atau hati lembu mengandungi sumber zat besi yang tinggi yang sangat diperlukan tubuh. Namun Islam mengajarkan sesuatu yang bertentangan sama sekali dengan ilmu sains ini iaitu mafhumnya lebih kurang begini “Janganlah kamu makan organ dalaman”. Walau pun Nabi berkata jangan tetapi ulamak lebih menjatuhkan hukum makhruh dalam keadaan ini dan bukan mengharamkannya.

Organ dalaman adalah organ selain daging yang terkandung dalam tubuh haiwan seperti: 1. Hati 2. Jantung 3. Paru-paru 4. Perut 5. Hempedal 6. Buah pinggang 7. Jantung 8. Buah pinggang 9. Telur ayam yang belum keluar dari perut ayam 10. Telur ikan. Sains menggalakkan makan hati kerana khasiat zat besinya yang sangat diperlukan manusia sedangkan Islam melarang dari memakan hati ini. Mana yang anda pilih? Sains atau pesan Nabi Muhammad SAW ini?

Kembali kepada pengalaman membesarkan anak sulung 25 tahun lalu, setelah berbagai makanan rapu termasuk berbagai jenama minuman bergas diberikan, sewaktu anak saya berusia 2 tahun, ia sudah menghadapi satu masalah, beliau mudah letih dan tidak bermaya. Saya dan isteri membawa anak kesayangan ke klinik di Raub Pahang. Doktor Cina di klinik ini sangat rapat dengan saya dan isteri kerana isteri doktor ini mengajar matapelajaran Biologi di sekolah yang sama dengan Isteri saya. Setelah membuat semakan dan ujian termasuk melihat di dalam kelopak mata bahagian bawah, doktor mengatakan bahawa anak saya sudah mempunyai masalah anemia atau bahasa mudahnya kurang darah atau lebih tepatnya darah anak saya ini kekurangan sel darah merah menyebabkan warna darahnya kurang merah. Doktor menasihati kami berdua agar memberikan anak sulung kami ini makan banyak hati seperti hati ayam. Doktor juga ada memberikan supplement untuk anak kami tersebut Bermula dari saat ini setiap kali balik dari sekolah, sewaktu singgah di pasar Raub, saya akan membeli sekilo hati ayam untuk diberikan kepada anak disamping makanan ayah dan ibunya. Walaupun dengan supplement dan hati ayam yang diberikan, keadaan kesihatan anak saya semakin merosot. Ia semakin sangat mudah letih. Beliau hanya akan menjadi penonton apabila sepupunya bermain atau rakan-rakannya berlari berkejar-kejaran.

Perniagaan doktor ini semakin maju maklumlah saya kerap ke kliniknya boleh dikatakan setiap bulan selain dari sakit demam. Pada usia anak saya ini 4 tahun, doktor Cina ini dah surrender dan merujukkan kes anak saya ini ke Hospital Universiti Petaling Jaya. Saya dan isteri terpaksa mengambil cuti membawa anak menemui doktor pakar kanak-kanak. Anak saya diambil darahnya dan doktor minta anak saya dimasukkan ke dalam wad kanak-kanak. Bacaan hemoglobin dalam darah anak saya cuma 4.2 sedangkan orang biasa sepatutnya dalam lingkungan 12 dan ke atas. Allah saja yang mengetahuinya azab yang kami lalui. Hasil pemeriksaan doktor, mereka mengatakan anak saya kena anemia Talesemia (umur sel darah merah pendek berbanding normal 120 hari). Saya tidak ada ilmu ketika itu tentang apa itu (Talesemia). Saya menelefon kakak ipar saya di Tapah bertanyakan apa itu Talesemia.

Subhanallah, penjelasannya sangat mengerikan. Kanak-kanak penghidap talesemia selalunya meninggal dunia sebelum usia mencecah 7 tahun. Adakah saya akan kehilangan anak sulung yang dikasihi? Sudah tidak tahu apa yang perlu dibuat, saya berkunjung ke sebuah farmasi di Kajang mencari sesuatu yang boleh saya usahakan untuk mengubati masalah anak saya. Saya ternampak sebuah ubat supplement buatan Amerika dalam bentuk cecair bernama NUTROPLEX. Saya tawakkal membelinya dan memberikan ubat ini kepada anak saya. Alhamdulillah bacaan hemoglobin anak saya meningkat sehingga ada waktunya kepada bacaan 7. Satu perkara lain selain masalah masalah yang telah disebutkan di atas, anak saya ini kerap sekali menghadapi demam secara purata 2 kali sebulan dari usia 2 tahun sehingga berusia 13 tahun. Pendek kata, sekolah memang terpaksa selalu tidak hadir kerana demam. Begitulah masalah yang kami hadapi membesarkan anak sulung ini sehingga berusia 13 tahun. Kerap demam dan tidak bermaya serta mudah letih. Kemuncak masalah ini ialah bila satu ketika saya mendapat panggilan telefon dari isteri mengatakan anak saya terpaksa dimasukkan ke hospital kerana demam yang serius. Waktu ini saya sudah mula berguru dengan arwah guru saya. Segala masalah anak saya sudah sedia dalam makluman arwah guru cuma menanti saat yang sesuai sahaja untuk memberitahu kepada saya. Dalam saat kebingungan mengenangkan anak dimasukkan ke hospital kerana demam yang serius, saya menelefon arwah guru saya. Setelah saya menjelaskan cerita sebenarnya, arwah memberitahu saya agar mencari sebanyak mungkin buah delima masak di mana-mana kampung dan berikanlah makan kepada anak saya.

Alhamdulillah saya berjaya mencari agak banyak juga buah delima kampung dan saya menyuapkan kepada anak saya. Alhamdulillah selepas beberapa hari, anak saya dibenarkan keluar dari wad hospital. Bermula dari saat inilah saya terpaksa akur sahaja dengan apa yang disarankan oleh arwah guru saya. Sebelumnya, saya memang banyak membantah kata-kata arwah guru, maklumlah saya lulusan universiti (biologi & kimia) sedangkan arwah guru sekadar pengamal perubatan tradisional dan tok guru agama. Arwah guru saya menasihati agar : 1. Elakkan dari makan sebarang organ dalaman seperti hati dsbnya. 2. Elakkan makanan rapu seperti coklat, maggi mee, twisties, ding dang, double decker, burger, naget, sausage dan sebagainya 3. Elakkan minuman bergas 4. Elakkan jeruk-jeruk kering dan basah 5. Makan sayur-sayuran yang berzat seperti sayuran hijau dan pahit. 6. Makan buah delima 7. Makan epal hijau. Selepas tiada pilihan (doktor dan pakar sudah diusahakan) melainkan mencuba kaedah rawatan arwah guru semata-mata, akhirnya saya bersyukur kepada Allah SWT bahawa inilah kaedah yang tepat untuk merawat kes anak saya.

Sejak dari saat ini, anak saya ini kelihatan semakin sihat dan segar dan akhirnya kekerapan menghidap demam pun telah menjadi sejarah. Syukur Alhamdulillah terima kasih kepada Mu ya Allah di atas rahmatMu. Bermula dari saat ini saya sudah berpusing 180 darjah. Saya menyumpah kepada ilmu sains yang mengajarkan bahawa makan hati boleh membawa kebaikan kepada manusia. Saya menyumpah juga kepada diri saya yang selama ini mengajarkan kepada pelajar-pelajar saya satu ilmu yang sebenarnya membawa mudharat kepada manusia. Ampunilah dosa ku ya Allah kerana mengajarkan ilmu sesat di sekolah dahulu (ilmu makan hati untuk menambah darah). Saya yakin bahawa saranan ilmu sains bahawa memakan hati haiwan adalah baik untuk menambah darah adalah ilmu songsang yang diajarkan oleh orang Yahudi agar umat manusia menjadi tidak sihat. Orang Yahudi ini beranggapan jikalau dunia ini dipenuhi oleh orang Yahudi semata-mata, alangkah indahnya. Mereka ingin membunuh umat lain selain Yahudi secara senyap.

Tanggapan saya ini adalah berdasarkan bahawa orang Yahudi ini sangat mempelajari ilmu di dalam Al Quran dan hadis cuma mereka tidak beriman sahaja. Mereka ingin menggunakan ilmu ini untuk merosakkan dan membunuh umat Islam. Saya berkata demikian kerana ilmu sains dari barat mengajarkan untuk memakan hati sedangkan orang Yahudi , Amerika dan England tidak makan hati. Mereka juga tidak makan kepala ikan seperti disarankan Nabi sedangkan orang Melayu Islam di Malaysia makan hati dan kepala ikan. Memakan hati bukan sekadar tidak membantu meningkatkan paras hemoglobin darah malahan memakannya akan mengundang pelbagai mudharat lain yang Allah dan RasulNya saja yang mengetahui dengan tepat.

Pengalaman anak saya serta didiagnosed oleh doktor sebagai pesakit leukemia sudah cukup mengajar saya betapa mudharatnya memakan hati. Anak saya telah memakan hati ayam dengan begitu banyak sekali semenjak berusia 2 hingga 13 tahun. Subhanallah. Kepada mereka yang taksub dengan ilmu sains dan perubatan moden, waspadalah, berbagai agenda tersembunyi dimasukkan oleh Yahudi dan Nasrani di dalam ilmu sains dan perubatan moden. Mereka mengajarkan tidak ada ubat bagi menyembuhkan penyakit seperti diabetes, jantung dan bengkak hati sedangkan Allah dengan jelas menyatakan setiap penyakit diturunkan Allah bersama ubat melainkan mati. Kepada ibu bapa yang bakal mendapat kenaikan gaji baru pada Ogos akan datang ini, saya ingin berpesan bahawa kitalah sebenarnya yang banyak meracuni anak-anak dan diri kita sendiri dengan cara memberikan makanan yang sama sekali tidak sepatutnya untuk dimakan oleh anak-anak dan diri kita. Setengah manusia sangat redha dan seronok untuk diracuni dengan menghisap rokok, minum arak dan menghisap dadah.

Sekian wassalam wallahualam

sumber: http//:teratakburukzam.blogspot.com

redha..

-i-
(2002)

"Abah..ADA nak masuk Darul Quran. Kawan dah bagi borang". kubertanya saat abah menalipon terus dari tanah suci. "Darul Quran tu macam mana? ADA masuk UIA jela". Terus aku akur dengan kehendak abah&mama. Lagi pula masa tu SAR sedang ditutup oleh pihak kerajaan. Abah&mama takut nasib aku nanti entah ke mana lantaran tidak tahu di mana asal-usul Darul Quran itu. Alhamdulillah..pertengahan Jun itu aku mendapat berita diterima masuk UIA.


-ii-
(2007) April

Seusai selesai imtihan nihaa'ii untuk semester terakhir. Aku menyatakan hasratku untuk menyambung pengajian ke peringkat master. Borang master telah siap diisi tanpa pengetahuan abah&mama. Suatu malam, mengajak mereka berbicara, mencungkil isi hati ayah bonda yang terpendam di lubuk hati, jua memohon secebis restu mereka agar perjuangan ini diberkati-NYA. Kata abah: "Kerja dulula. Master boleh sambung lagi bila-bila". Aku akur. Walaupun gejolak hati meruntun minta dipenuhi. Berfikir dan berfikir.. Menghitung sedalamnya.. Ya, aku perlu tangguhkan dulu cita-cita itu. Aku perlu meringankan beban abah&mama. Sudah cukup jasa mereka menanggung pengajianku sehingga tamat ijazah pertama. Nun dibelakang, mereka masih punya beban yang berat untuk menanggung 5 orang adikku.


-iii-
(2007) 20 jun

"ADA, baliklah. Abe masuk wad. Kalau nak tunggu abah ambik tak tahu bila lagi." Tengahari itu abah menelefonku memberi perkhabaran. Bingung sebentar. Rasa apa yang aku dengar ini hanya gurauan semata. Dah 2 minggu aku di Muadzam Shah membantu Mak Ni (mak sedara) yang baru bersalin menjaga anak-anaknya. Dan aku sangka lama lagi aku berada di situ. Tapi rupanya tidak. Aku bersyukur yang aku akan pulang hari itu. Bukan tidak gembira tinggal di sana. Cuma aku rindu pada suasana yang biasa aku rasai. Malam itu juga aku bertolak pulang bersama Mak Teh yang kebetulan datang berkunjung ke Muadzam.

Keesokan hari dan hari-hari seterusnya aku bermastautin di hospital. Menemani abe yang sakit bersama abah & mama di Hospital Ampang Putri. Hari ke-3 di sana, abe menjalani pembedahan membuang ketumbuhan yang membesar di dalam perut. Selama abe menjalani rawatan, wajah abah benar-benar sugul. Hanya diam menjadi peneman dirinya. Sepanjang hidup aku tak pernah tengok abah risau begini. Rupa-rupanya abe kena kanser. Banyak juga duit yang habis untuk membayar wang perubatan abe. Dan kini abe perlu menjalani rawatan susulan pula..kimoterapi.

Ya ALLAH..baru aku mengerti kenapa abah suruh aku tangguh dulu pengajian dan cari kerja. Rupanya naluri abah&mama telah dapat meneka kejadian yang bakal berlaku.


-iv-
(2007) Jun

#Muadzam Shah#
Pagi itu semasa sibuk mengacau adik Amar Hamka yang sedang lena, panggilan dari Tourism Malaysia membuatkan hatiku berbunga riang. Aku begitu bersemangat untuk menerima tawaran kerja yang dikatakan. Ya, kerja di KLIA sebagai pegawai sambilan menyambut tetamu asing berbangsa Arab. Aku yakin dapat bekerja di situ. Bila abah menelefon seperti biasa aku menyatakan hasratku. "Kalau kerja kat KLIA camana nak pergi?". Abah menjawab dengan nada yang keruh. Ada keraguan pada suara itu. Aku hanya diam membisu. Dan mulai hari itu, aku tekad akan menerima jua kerja itu walaupun memang agak sukar untuk ke sana. "Ah..tak kisahla. Yang penting dapat kerja dulu. Camana nak pergi tu fikir kemudian." Hati kecilku berbicara. Hari ke-4 di hospital baru aku dapat menghantar borang Tourism. Hari ke-5, aku mendapat panggilan dari UIA untuk datang interview. Aku kebingungan. Kalau hendak diikutkan hati, aku memang ingin kerja dengan tourism kerana kerjaya itu sesuai dengan minat dan degreeku (bahasa arab). Tapi, aku hanya mampu memilih antara satu. Yang manakah yang terbaik? Lagi pula interview untuk kedua-dua kerja ini jatuh pada hari & waktu yang sama, iaitu Jumaat jam 3 petang. Akhirnya, abah telah memberikan jawapan padaku. Dia menyuruhku terima panggilan dari UIA. Katanya lebih senang dan selamat. Aku akur walau hati tetap meronta. Petang itu, jam 3.05 aku menjadi orang pertama yang diiterview. Masih ada 4-5 orang lagi sedang menunggu. Dan jam 4.20 petang, aku menerima panggilan untuk memulakan kerja pada Isnin minggu berikutnya. Syukur, mudahnya urusanMU Ya Tuhan. Mungkin berkat doa abah dan mama juga. Walau pendapatannya tidaklah sebanyak kerja di tourism, aku tetap bersyukur.


-vi-

Dan kini, permintaan abah juga supaya aku menghadiri temuduga J-qaf. Walaupun hakikatnya aku tidak berminat tetapi aku akur kerana aku tidak tahu di mana rezekiku. Mungkin Allah permudahkan segala hal yang direstui abah & mama. Jika itu ketentuan-NYA aku redha dengan segala. Asalkan hati abah & mama tenang dan bahagia, aku jua akan merasakan perasaan yang sama.



- Ya ALLAH, aku redha dan terima segala ketentuan-MU dengan hati yang tenang, damai dan lapang. KUmemohon agar DIKAU kurniakan yang terbaik untukku-