Thursday, November 04, 2010

::SYUKUR yang tak terungkap::




Tanggal 27 Oktober 2010 menjadi saksi kebesaran dan keagungan ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Hari kedua yang merupakan hari terakhir Program Kem Literasi Al-Quran peringkat zon Keramat, aku dikhabarkan berita gembira oleh seorang fasilitator seusai solat Zohor. Katanya: Ada seorang murid kumpulan akak pada mulanya tidak tahu langsung baca quran. Dia mula dengan Iqra' 1 muka surat 3. Tapi sekarang ni dah boleh baca Quran dengan lancar dan bertajwid, macam budak yang dah lama baca Quran. Akak sendiri macam tak percaya". Terharunya rasa hati apabila mendengar khabar ini. Terasa ingin sekali aku bertemu dengan murid tersebut dan mendengar sendiri bacaannya.

Adik Nasrullah, seorang murid yang tercicir. Beliau baru didaftarkan ke sekolah setelah umurnya mencecah 10 tahun. Bukan sahaja tidak mendapat pendidikan formal, apatah lagi ilmu agama seperti mengaji Al-Quran. Kasihan sungguh adik Nasrullah. Aku dengan rasa riang segera memberitahu Ustaz yang mejadi pengerusi program serta ketua fasilitator mengenai berita gembira ini. Ustaz terus memanggil murid tersebut dan mendengar bacaan beliau. Oleh itu, pihak urusetia bersetuju untuk menjemput adik Nasrullah untuk mengalunkan ayat suci Al-Quran semasa majlis penutup program nanti. Ketika beliau membacakan ayat-ayat suci tersebut, aku dan rakan-rakan rasa sebak dan kami hampir menitiskan air mata. Merdu dan cantik sekali bacaan adik Nasrullah. Walaupun program ini hanya berlangsung selama dua hari, namun ada kejayaan tercatat. Adik Nasrullah merupakan insan terpilih. Semoga ALLAH memberkati usaha guru-guru yang tak jemu mengajar dan mendidik anak-anak kecil sehingga mereka berjaya mengenali kalamullah dan dapat membacanya dengan baik. Tak terungkap rasa SYUKUR dengan kata-kata. Hanya ALLAH sahaja yang mengetahui betapa gembira rasa hati ini. ALHAMDULILLAH, pujian selayaknya hanya untuk-Mu Ya ALLAH.

Saturday, October 23, 2010

::S.A.B.A.R itu indah::



Entah mengapa sejak kebelakangan ini sabarku kian hilang. Malah rasa marah, sedih, kecewa bersatu mengisi sanubari hati. Tenangku diragut tanpa kuduga..Astaghfirullahal azim...Betapa banyaknya dosaku pada-Mu Ya Rabbi. Kerdil dan hinanya diri ini, sehingga tidak mampu untuk melawan cabaran dan dugaan kecil yang KAU berikan. Bagaimana mungkin aku ingin menjadi pejuang yang menegakkan panji agama-Mu andainya aku kalah apabila berhadapan dengan onak duri yang tidak seberapa ini..Betapa lemahnya aku. Ya ALLAH, memang aku lemah tanpa bantuan-Mu, sungguh ku tak berdaya tanpa pimpinan-Mu. Aku dambakan kasih dan cinta-Mu, mengisi ruang kosong agar sinarnya menerangi kegelapan hati ini. Bantulah aku Ya Ilahi, hadirkan tenang yang mengubat luka hati ini. Aku mohon setulus hati Ya Sami' Ya Alim.

Saturday, October 16, 2010

::PENGORBANAN disebalik jeriji besi::

Seringkali kita mendengar tentang pengorbanan para pendidik yang perlu menempuh pelbagai rintangan dan cabaran hanya untuk sampai ke destinasi kerjaya. Terkadang nyawa mereka seakan "telur di hujung tanduk". Namun mereka tetap tabah dan sabar menghadapinya demi menabur bakti dan menyemai budi menyampaikan ilmu buat anak bangsa bakal pewaris negara pada masa hadapan.

Namun, jarang sekali kita mendengar cerita mengenai pengorbanan guru di sebalik jeriji besi. Malah, mungkin ramai yang tidak pernah mengetahui bahawa di dalam penjara itu terdapat sekolah yang menempatkan remaja berumur di antara 16-18 tahun yang terlibat dengan jenayah juvana. Sekolah Integriti Kajang, di situlah bermula episod pengorbanan para pendidik yang dipertanggungjawabkan mengajar, mendidik, menyampaikan maklumat dan memberi motivasi buat remaja yang tersasar jauh dari jalan kebenaran. Walaupun ianya sekolah, namun suasana dan pendekatannya berbeza dengan sekolah-sekolah biasa. Kelas dikawal ketat oleh anggota polis, pakaian pelajar seperti banduan biasa, biliknya kecil berpintukan besi dan segala gerak-geri amat terhad. Apabila tiba waktu rehat, pelajar akan makan makanan yang diberikan oleh anggota polis, iaitu roti kering dan sedikit makanan tambahan lain.

Betapa sedihnya hati ini, melihat ramai generasi muda yang jauh terpesong dari jalan yang "haq". Terima kasih di atas jasa baktimu guru, kerana sanggup menerima amanah dan tanggungjawab yang berat ini menyampaikan wadah ilmu buat mereka yang dahagakannya tidak kira walau apapun keadaannnya. Semoga usaha murnimu itu diberkati oleh ALLAH yang Maha Penyayang.

Wednesday, May 26, 2010

::senjata mukmin::


Doa merupakan senjata bagi orang mukmin. Doalah menjadi penghubung kita dengan ALLAH Yang Maha Mendengar tanpa memerlukan medium atau perantaraan. Mintalah kepada-Nya, mohonlah apa sahaja, dalam apa jua keadaan dan di mana kita berada, DIA pasti mendengar. ALLAH berfirman yang bermaksud: "Dan apabila hamba-Ku bertanya kepada-Ku mengenai-Ku, sesungguhnya Aku terlalu hampir. Aku perkenankan doa orang yang meminta apabila dia berdoa kepadaku." (Al-Baqarah:186)

ALLAH tempat pergantungan setiap makhluk. ALLAH menjadi pelindung dan tempat untuk mengadu serta menagih simpati. Kita memohon kepada-Nya bukan sahaja di kala susah, malah di waktu lapang dan senang. Adakalanya permohonan dan permintaan kita ditunaikan dalam waktu yang kita inginkan. Pada ketika yang lain pula DIA memberi sesuatu yang tidak kita pinta. Malah, adakalanya ALLAH menangguhkan permintaan kita sehingga tiba suatu masa yang ditentukan. Semuanya ada hikmah yang tersembunyi. Pastinya kita akur bahawa ALLAH Maha Tahu apa yang terbaik untuk kita. Maka di dalam kandungan doa yang kita pohon, mintalah apa yang terbaik untuk kita yang ALLAH tentukan terbaik untuk kita.

Oleh itu, jika ALLAH segera memperkenankan doamu, bersyukurlah kepada-Nya melalui sujud-Mu, agar engkau tidak lupa akan pemberian-Nya. Jika permohonan-Mu masih belum ditunaikan, maka bersabarlah dan jangan jemu untuk terus meminta kerana ALLAH masih ingin mendengar rintihan dan rayuanmu di dalam doa yang kau panjatkan. Jika ALLAH memberi sesuatu yang lain daripada yang dipinta, maka berterima kasihlah kepada-Nya yang memberikan sesuatu yang terbaik buatmu malah lebih baik daripada apa yang kau pinta.

Jika kita percaya bahawa setiap yang terjadi di dalam kehidupan ini adalah di bawah penguasaan dan peraturannya, kita akan dapat menghadapi segala cabaran dan mehnah yang mendatang dengan penuh ketenangan.

Bersyukurlah di atas setiap pemberian-Nya kerana DIA ALLAH Ya Rahim, Ya Wahhab, Ya Razzaq, Ya Muhaimin, Ya Latif, Ya Sami', Ya Khabir, Ya 'Alim..

Tuesday, May 25, 2010

::menelusuri hikmah kehidupan::


hidup ini indah
sekali
apabila dinaungi kasih dan rahmat
ALLAH Ya Rahim

lorong jalanan yang penuh liku
tegar ditempuhi
apabila diiringi bantuan
ALLAH Ya Azim

debu dosa yang merantai jiwa
meresahkan, membebankan
akan sirna
apabila disirami taubat
diterima ALLAH Ya Tawwab

kesempitan dan kesengsaraan hidup
akan lenyap
kelapangan dan kebahagiaan hadir
apabila meminta
pada ALLAH Ya Wahhab

ketakutan, kegelisahan akan hilang
apabila yakin dilindungi
ALLAH Ya Muhaimin

Friday, April 23, 2010

::fasa perjuangan::



Alhamdulillah sudah selesai satu fasa. Kini fasa perjuangan seterusnya perlu diteruskan. Semoga urusanku dipermudahkan-Nya. Semoga target untuk mencapai 3 'K' berjaya;-) ALLAHUMMA YASSIR WA LA TU'ASSIR...

Friday, February 26, 2010

::الشوق والحب::


قَلْبِي يَسْأَلُ عَنْكَ يَا حَبِيبِي
أَشْتَاقُّ إِلَيْكَ كُلَّ وَقْتٍ وَزَمَانٍ
أَنْتَ قُدْوَةٌ وَأُسْوَةٌ لِلنَّاسِ فِي زَمَانِي
أُحِبُّكَ بِكُلِّ قَطَرَاتِ دَمِي
اِشْفَعْ لِي أَحْسَنُ الشَّفَاعَاتِ يَوْمَ الدِّينِ
أَرْجُو اللِّقَاءَ مَعَكَ يَا رَسُولَ اللهِ
ذَاتَ يَوْمٍ
HATIKU BERTANYAKAN PERIHALMU DUHAI KEKASIH
KUMERINDUIMU TIAP WAKTU DAN KETIKA
DIKAULAH CONTOH BUAT UMAT PADA ZAMANKU
KUCINTAIMU DENGAN SEPENUH JIWA RAGAKU
KURNIAKAN DAKU SYAFAAT PADA HARI PEMBALASAN
KUDAMBAKAN PERTEMUAN DENGANMU YA RASULALLAH
SUATU MASA NANTI..
صَلُّوا عَلَى النَّبِي

Monday, February 15, 2010

:: DOA buat SAHABAT ::






Ya ALLAH,

Panjangkanlah umur sahabatku,

Kurniakanlah kesihatan yang baik padanya,

Terangilah hatinya dengan 'nur' pancaran iman,

Tetapkanlah hatinya,

Perluaskanlah rezekinya,

Dekatkanlah hatinya kepada kebaikan,

Jauhkanlah hatinya daripada kejahatan,

Tunaikanlah segala hajatnya baik hajat dalam agama, dunia dan akhirat.



Ya MUHAIMIN,

Jika dia jatuh hati,

Izinkanlah dia menyentuh hati seseorang

yang hatinya terpaut pada-Mu
agar dia tidak terjatuh ke dalam jurang cinta nafsu


Jagalah hatinya agar tidak berpaling

daripada melabuhkan hatinya pada hati-Mu

Jika dia rindu

rindukanlah dia pada seseorang yang merindui syahid di jalan-Mu



Ya ILAHI,

Jangan biarkan sahabatku tertatih dan terjatuh

dalam perjalanan panjang menyeru manusia ke jalan-Mu

Jika KAU izinkan aku merindui sahabatku

Janganlah aku melampaui batas

sehingga aku melupakan 'CINTA HAKIKI', 'RINDU ABADI' dan 'KASIH SEJATI' -MU
ya ALLAH
kurniakanlah sahabatku
kesenangan, ketenangan, kebahagiaan, keberkatan & kecemerlangan
di dunia dan akhirat.


::alhamdulillah::


Alhamdulillah, DIA beri jua kesempatan untuk aku mengotakan janjiku kepada adik-adik (hadif, nurul & zaim). Aku telah berjanji untuk membawa mereka ke Zoo Negara. Maka hari Sabtu yang lalu aku telah berjaya membawa mereka ke sana. Kami semua gembira berjalan-jalan melihat binatang-binatang makhluk ciptaan ALLAH yang ada di sana. Sempatlah kami memberi makan si rusa dan gajah yang setia menanti. Hehhee.. Setelah penat berjalan, kami naik pula keretapi mini yang disediakan di sana. Tetapi yang paling menggembirakan aku apabila kami berpeluang melihat pertunjukan burung helang dan anjing laut yang sangat bijak dan manja. Aku rasakan perjalananku harini seperti diatur oleh-Nya. Terima kasih Rabbi.

Friday, February 12, 2010

::noktah kembara::



Semalam...11 februari 2010..genaplah dua tahun abang meninggalkan kami. Betapa cepat masa berlari. Tanpa disedari, semalam juga (11 februari 2010) kami dikejutkan dengan berita kemalangan yang membabitkan ayah Di (bapa saudara) dek diserang penyakit strok. Innalillahi wa inna ilaihi raajiuun. Ayah Di hilang kawalan semasa memandu dan melanggar tembok bangunan. Namun, kuasa ILAHI..Ayah Di masih diberi peluang bernafas dibumi-Nya. Terdapat pendarahan kecil pada otak kanannya disebabkan salur darah yang pecah. Hebat benar kuasa-Nya. Selagi belum tiba ajal seseorang itu, dia akan diberi nafas walau dalam apa jua keadaan sekalipun. Jika saat kematian menjelang tiba, rohnya pasti ditarik meninggalkan jasad tanpa perlu kepada apa-apa sebab. Kita semua merupakan pengembara yang berkelana di bumi-Nya. Singgah di pentas dunia mencari bekalan hidup di akhirat. Entah di mana noktah kembara kita. Entah bila kita akan tiba ke penghujung kembara dan berehat panjang di alam baqa'. Semoga bekal yang kita bawa cukup untuk kita menggapai redha-Nya.

Friday, February 05, 2010

::segalanya rahmat dariMU::


hamdan lillah..syukur pada setiap nikmat kurniaan-NYA..DIA memberi tanpa henti..DIA menghulur walau tidak dipinta..benar kata ustaz hari itu, dalam keadaan apa jua rahmat-NYA sentiasa bersama. Walaupun kita dizalimi, ataupun ditimpa kesusahan, disebalik semuanya itu ada rahmat yang tersembunyi. Namun, siapa yang dapat merasakan rahmat dan kasih-NYA mengalir di segenap urat nadi. Hanya mereka yang merenung dan menyingkap hikmah disebalik apa yang berlaku sahaja yang dapat merasakannya. Pada-MU Tuhan kuserahkan segala. Bimbinglah aku ke jalan redha-MU. Permudahkan segala urusanku. Moga kutempuhi ranjau dengan penuh ketenangan.

Thursday, December 31, 2009

cabaran 2010

picture credit to:onepictureagain.blogspot.com
Tahun 2010 sudah pun menjengah. Hadirnya bersama 1001 cabaran yang menanti di sepanjang perjalanan kehidupan. Namun, langkah perlu diorak penuh gagah. Perisai iman mesti dipersiapkan. Benteng emosi perlu dikukuhkan. Cabaran bukanlah apa-apa bagi seorang pejuang. Pejuang punya semangat yang tak terkalahkan. Cabaran pasti diharungi dengan penuh ketenangan. Hanya kejayaan menjadi tonggak harapan. Tuhan, bantulah pejuang-Mu menempuh ranjau yang penuh duri ini. Kuharap cinta-Mu mekar berbunga menebarkan haruman rahmat dan maghfirah buatku. Semoga barakah dan redha-Mu mengiringi setiap gerak langkahku.
~~SALAM PERJUANGAN BUAT SEMUA~~

Thursday, December 24, 2009

~~selamat kembali~~


selamat kembali para tetamu ALLAH
moga dirimu telah suci ibarat kain putih
kualiti ibadahmu kian meningkat
tiap amalanmu diiringi tawadhuk
khusyukmu tidak mampu digugat
doamu setia didengari & diangkat
hatimu makin dekat pada-NYA
dirimu pasrah seadanya
selamat kembali mokni&ayah man..=)

buat teman..

Tahniah diucapkan buat sahabat-sahabat yang baru melangsungkan perkahwinan baru-baru ini...(k.ti ganu, deja, ct khadijah, nana comrade dan lain-lain)..maaf banyak-banyak saya xberkesempatan untuk menghadiri jemputan walimah kalian..namun, kuhadiahi doa dari jauh semoga sahabat sentiasa bahagia di bawah naungan kasih dan cinta Yang Maha Penyayang..
Tahniah juga buat teman-teman yang bakal dan sudah menjadi ibu dan ayah..(mok ana&a.zul, lyn, teha&hairul, dila pahang, thurayya, dan lain-lain)..semoga hidupmu makin ceria dengan kehadiran permata hati..minta maaf masih tidak berkesempatan melihat baby comel..cuma baru je bertemu dengan "muiz amjad" anak soleh mok ana & a.zul..hehehe...comel sangat!!=)

Friday, December 18, 2009

~~salam hijrah~~

salam hijrah buat semua
hijrah menyingkap suatu kisah
menyusuri jejak perjuangan&pengorbanan
Muhammad insan mulia
berhijrah dari kota Mekah
membina ukhwah melakar sejarah
memakmurkan Islam di bumi Madinah
menyusun langkah yang teratur
membebaskan Mekah
dari rantaian kafir quraish
hijrah..bermulalah perjuangan
berkembang pesat ajaran Islam
melata di seluruh pelusuk dunia
mari bersama menghayati erti hijrah
dalam kehidupan yang singkat ini
moga dinaungi kasih & cinta ILAHI
keberkatan mengiringi setiap amalan
SALAM HIJRAH 1431

Sunday, October 25, 2009

::mana milik kita::

Mana milik kita
Tidak ada milik kita
Semua yang ada ALLAH yang punya
Tidak ada kita punya
Kita hanya mengusahakan saja
Apa yang kita dapat
ALLAH sudah sediakannya

Kita ALLAH punya
Bumi langit ciptaan-Nya
Miliklah apa saja
Tidak terlepas dari ciptaan-Nya
Mana kita punya
Tidak ada kepunyaan kita
Kita hanya mengusahakan
Apa yang telah ada


Mana milik kita
Tidak ada milik kita
Semua yang ada ALLAH yang punya
Tidak ada kita punya
Kita hanya mengusahakan saja
Apa yang kita dapat
ALLAH sudah sediakannya


Mengapa kita sombong
Memiliki ALLAh punya
Mengapa tidak malu
Kepada ALLAH yang empunya
Patut bersyukur kepada ALLAH
Yang memberi segalanya
Malulah kepada ALLAH

Kerna milik IA punya

Janganlah berbangga
apa yang ada pada kita
Kalau ALLAH tidak beri
kita tidak punya apa-apa
Janganlah mengungkit
Mengungkit jasa kita
Jasa kita di sisi-Nya
Yang sebenarnya ALLAH punya

Marilah kita bersyukur
Bukan berbangga
Bersyukur kepada ALLAH
Bukan mengungkit jasa
Gunakanlah nikmat ALLAH itu
Untuk khidmat kepada-Nya
Selepas itu lupakan saja


Agar tidak mengungkit-ungkitnya
Mana milik kita
Tidak ada milik kita
Semua yang ada ALLAH yang punya
Tidak ada kita punya
Kita hanya mengusahakan saja
Apa yang kita dapat
ALLAH sudah sediakannya


~~rabbani~~


Mari bersama hayati dan fahami bait-bait yang tertera pada lirik ini...semoga terbit rasa keinsafan dalam diri. Betapa banyaknya nikmat anugerah kurniaan ALLAH yang diberikan kepada kita...selayaknya kita sujud menyembah-Nya, mengakui keagungan kuasa-Nya, menyedari sifat kasih sayang-Nya yang mewarnai kehidupan seharian kita. ALHAMDULILLAHI RABBIL 'ALAMIN..semoga hamba-MU menjadi insan yang sentiasa mensyukuri nikmat-Mu...

"Maka nikmat Tuhan yang manakah yang ingin kamu dustakan??" ar-rahman.

Saturday, August 15, 2009

::marhaban bik ya ramadhan::

Hanya beberapa hari lagi bulan Ramadhan yang dinanti-nanti akan menjengah. Tidak sabar rasanya ingin bertemu Ramadhan, bulan yang penuh keberkatan dan kemuliaan. Pada Khamis lalu (13/8/09), alam dikejutkan dengan pemergian Ust Asri Rabbani ke pangkuan penciptanya, lebih-lebih lagi penggiat industri nasyid tanah air. Allahyarham tidak sempat untuk menikmati dan menghayati Ramadhan tahun ini. Al-fatihah buat Ust Asri. Semoga rohnya ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman, beramal soleh, dan diredhai ALLAH Yang Maha Penyayang.


Rabbi..

Dalam kesepian malam

hati berbicara

bertemankan kerdipan bintang dan cahaya rembulan

halusnya suara bernada sendu

penuh harapan tersisip malu

memohon..merayu..meminta..

menagih kasih dan simpati

temukan aku dengan Ramadhan

agar kurasakan nikmatnya

mendidikku dengan kesabaran
kuingin selalu
dalam dakapan rahmat Ramadhan
kudamba keampunan
anugerah hadirnya Ramadhan
berikan aku sejenak kesempatan
untuk bermesra dengan Ramadhan
tahun ini
jua tahun yang mendatang
agar kehadirannya
dapat membuatkan aku
semakin dekat denganMU
Rabbi..
~~AHLAN WA SAHLAN YA RAMADHAN~~





Wednesday, August 05, 2009

::bicara hati::

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ لِسَانًا رَطِبًا بِذِكْرِكَ وَقَلْبًا مَفْعُمًا بِشُكْرِكَ وَبَدَنًا هَيِّنًا لَيِّنًا بِطَاعَتِكَ الَّلهُمَّ إِنِّي
أَسْأَلُكَ إِيمَانًا كَامِلا وَأَسْأَلُكَ قَْلبًا خَاشِعًا وَأَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا وَأَسْأَلُكَ يَقِيْنًا صَاِدقًا وَأَسْأَلُكَ دِيْنًا قَيِّمًا وَأَسْأَلُكَ الْعَافِيَةَ مِنْ كُلِّ بَلِيَّةٍ وَأَسْأَلُكَ تَمَامَ الْغِنَى عَنِ النَّاسِ وَهَبْ لَنَا حَقِيْقَةَ الإِيْمَانِ بِكَ حَتَّى لا أَخَافُ وَلا أَرْجُو غَيْرَكَ وَلا أَعْبُدُ شَيْئًا سِوَاكَ وَاجْعَلْ يَدَكَ مَبْسُوطَةً عَلَيَّ وَعَلَى أَهْلِي وَأَوْلادِيْ وَمَنْ مَعِي بِرَحْمَتِكَ وَلا تَكِّلْنِي إِلَى نَفْسِي طَرْفَةَ عَيْنٍ وَلا أَقَلَّ مِنْ ذَلِكَ يَا نِعْمَ الْمُجِيْبِ



Ya ALLAH..kurniakanlah daku lisan yang lembut basah mengingati dan menyebut nama-MU, hati yang penuh segar mensyukuri nikmat-MU, serta badan yang ringan menyempurnakan ketaatan kepada perintah-MU..


Ya ALLAH..kurniakan daku iman yang sempurna, hati yang khusyuk, ilmu yang berguna, keyakinan yang benar-benar mantap.


Ya ALLAH..kurniakan daku (din) cara hidup yang jitu dan unggul, selamat dari segala mara bahaya dan malapetaka.


Kumohon Ya ALLAH kecukupan yang tidak sampai aku terpaksa meminta jasa orang lain. Berikanlah aku iman yang sebenar-benarnya sehingga aku tidak lagi gentar atau mengharap orang lain selain daripada Engkau sendiri. Kembangkanlah lembayung rahmat-MU kepadaku, keluarga dan anak-anakku, serta sesiapa sahaja yang bersama-samaku.


Jangan Ya ALLAH Engkau biarkan nasibku ditentukan oleh diriku sendiri; walaupun sekadar sekelip mata atau kadar masa yang lebih pendek dari itu.


Wahai Tuhan yang mudah dan cepat memperkenankan pinta, PERKENANLAH...


-nisfu syaaban sudah tiba....terangkat sudah buku amalan masa lalu...kini, buku baru dibuka untuk mencatit amalan mendatang..semoga amalan diri ini lebih baik daripada sebelumnya...semoga diri yang kerdil ini masih diberi kesempatan untuk memperbaiki diri, bermuhasabah dan berusaha untuk menjadi hamba-NYA yang tidak lupa dan alpa daripada mengingati-NYA...mensyukuri segala nikmat dan anugerah kurniaan-NYA...Kumohon yang terbaik daripada-MU Rabbii..



Tuesday, July 07, 2009

::hamdan LILLAH::


SEGALA PUJIAN SELAYAKNYA HANYA UNTUK ALLAH..ALHAMDULILLAH..SYUKUR PADA-NYA YANG SENTIASA MEMIMPIN, MEMBIMBING, MENDORONGKU KE ARAH JALAN REDHA-NYA..DIA TELAH MEMPERMUDAHKAN SETIAP URUSANKU...TIADA KATA UNTUKKU GAMBARKAN PERASAAN GEMBIRA DAN BAHAGIA MELAINKAN MENGUCAP SYUKUR KEPADA-NYA...TERIMA KASIH RABBI..


حَسْبِي رَبِّي جَلَّ الله مَا فِي قَلْبِي غَيْرُ الله

Thursday, July 02, 2009

:menggamit rindu::

ALLAH itu Maha Pengasih, ALLAH jua Maha Penyayang..

Dititipkan rasa kasih dan sayang itu di dalam hati hamba-hamba-Nya sebagai suatu anugerah kehidupan yang tidak ternilai harganya. Sifat berkasih sayang sesama insan membawa kedamaian dan ketenangan. Jika hilang kasih sayang, musnahlah dunia..hambarlah kehidupan..kasih sayang mewarnai kehidupan..membuahkan keceriaan dan menghilangkan rasa duka..Terima kasih Rabbi kerana kurniakanku teman kala sendu dan sendawa..teman yang sentiasa di hati walau jasad jauh terpisah. Terima kasih teman kerana sudi menceriakan hidupku, berkongsi suka dan duka..Dikaulah teman terbaik dunia akhirat..
COMRADEAN ke Sungai Rual, Jeli!!!!
Aduh...hatiku menggamit rindu ingin bersama teman seperjuangan. Sudah lama aku mengimpikan saat-saat untuk mengikuti program masuk kampung. Sudah beberapa kali aku gagal menyertai mereka..hati ini kadang-kadang berasa cemburu melihat teman-teman sedang sibuk mengendalikan program di sana. Huhuhu..bila boleh join korang ni??? Rindu nak naik trak JHEOA...rindu nak main masak sama-sama...rindu nak main dengan adik-adik kecik kat sana..rindu nak gurau senda dengan kawan-kawan...rindu nak jalan kaki, berpanas berhujan sama-sama...rindunya.....
Ya Rabbi...berikan aku kesempatan lagi untuk bersama-sama mereka..membantu..menyumbang tenaga...bersatu memikul beban dakwah-Mu...