Wednesday, December 22, 2004

Bayangan Seorang Sahabat...

Alam ini telah Allah jadikan bersama-makhluk2nya. Allah menjadikan manusia itu berpasang-pasangan untuk sama-sama ingat-mengingatkan antara satu sama lain. Agar sama-sama boleh bersyukur dengan nikmat Allah yang terbesar iaitu Islam. Alam yang Allah jadikan ini terasa sunyi tanpa seorang sahabat yang boleh dijadikan panduan, yang dapat membantu hidup sepanjang perjalanan. Sahabat yang kami cari adalah mereka yang tahu diri mereka adalah hambaNya, kami tahu dunia ini amat buas menerkam sesiapa sahaja yang tiada pendinding diri, kami sedar nafsu di dalam diri selalu meronta-ronta untuk membuat maksiat, syaitan pula berlumba-lumba ingin memesongkan kami dari Jalan agama. Tapi kami tiada kekuatan untuk melawannya tanpa panduan, benar panduan hidup adalah al Quran dan Sunnah, Allah itu sebaik-baik teman seperjalanan hingga ke alam sana. Tetapi setiap yang Allah jadikan ada tujuannya bukan? Kerana kami tahu zaman ini bukan seperti zaman gemilangnya Islam, zaman ini bukanlah zaman yang mudah memberi dan menerima nasihat, zaman ini banyak benar fitnahnya, sedikit hati yang marah atau terguris melihat maksiat bahkan merelakannya. Sedikit mata yang menitiskan airnya kerana takutkan azab Allah. Ramai pula yang gembira bangga dengan pencapaian dosanya.

Wahai sahabat, bantulah diri ini untuk memperbaiki diri. Sedari dulu lagi kami menyedari bahawa mencari seorang yang bernama sahabat bukan semudah yang disangka, banyak benar yang mengajak ke arah kerosakan dari kebaikan, ramai benar yang menarik ke arah lembah dosa dari taman pahala. Wahai sahabat, kami rindu benar dengan nasihat yang baik-baik, kami teringin mencontohi sifat mahmudah, akhlak Rasulullah dan mengingati alam akhirat. Sahabat, kami lihat maut itu tidak mengenal usia, bangsa, keturunan, sanggupkah engkau lihat kami mati di dalam kesesatan yang dimurkai Tuhan, sanggupkah engkau melihat kami bergelumang di dalam peluh, nanah dan api yang membaham diri ini. Kasihanilah diri kami sahabat, kami juga ingin berubah, kami juga ingin mendapat naungan dari Allah di alam akhirat kelak. Jangan biarkan kami bersendirian dan dibawa bersama oleh musuh Allah yang selalu menggoda diri kami. Sahabat tidakkah engkau tahu, Allah memandang tinggi orang yang selalu ingin membuat kebaikan? Tidakkah engkau pernah membaca hadith yang bermaksud tidak sempurna iman seseorang sehingga ia mencintai saudaranya seperti ia mencintai dirinya sendiri. Alangkah mulianya dirimu sahabat sekiranya engkau menyambut tangan-tangan orang yang memerlukan pertolongan seperti kami. Maka kerana itu, pandulah kami ke jalanNya, agar dapat kami didik hati ini dengan kemuliaan Islam dan iman.
Adakah sama sebenarnya antara sahabat dunia dan sahabat akhirat? Sahabat dunia tentunya mengambil dunia secara keseluruhan dan meninggalkan alam sana. Sahabat ini terlalu banyak tidak terkira, merekah inilah yang akan meninggalkan kami sekiranya kami kesusahan, dan tangisan keseorangan. Sahabat akhirat, mengambil dunia sekadar keperluan, sahabat ini susah dicari, hilangnya sukar dicari ganti, ketawanya, tangisannya melambangkan akhlak dan adab-adab agama, kehidupannya adalah persiapan untuk kembali menghadap Tuhan. Sahabat seperti ini masih ada tetapi sudah semakin mengecil kerana kebanyakannya sudah hilang ditelan dunia. Sahabat akhirat inilah yang kami cari selama ini….

Sahabat..moga kitakan bertemu di suatu masa..

hasil nukilan: anak_pejuang

No comments: