Tuesday, June 05, 2007

ku telah jatuh cinta


















::cintaku:: nurul hidayah syafiqah -fiqa-

















bersama fiqa dan adik-adik di Asrama Baitul Ummah (ABU)


Seperti Tikah, aku jua telah jatuh cinta pada adik-adik ABU lebih-lebih lagi pada si kecil yang comel (fiqa). Fiqa berumur 4 tahun merupakan anak yatim setelah kematian ibu bapanya yang terlibat dalam kemalangan jalan raya.

Tak terlintas di fikiran aku akan kerap ke sana lantaran sudah lama tidak menjenguk adik-adik sepanjang sem lepas kerana sibuk dengan komitmen dan tugas sebagai pelajar, apatah lagi aku di semester akhir. Namun, ketentuan ILAHI menemukan aku dengan mereka dengan lebih akrab kerana aku mengajar tusyen di ABU untuk adik-adik UPSR. Jadi, setiap 3 kali seminggu (Isnin, Rabu & Jumaat) aku akan ke sana.

Masih ingat lagi kali pertama aku ke sana untuk mengajar, fiqa yang comel itu sesekali menjenguk dari dalam memerhatikanku. Aku langsung tak teringatkan dia kerana aku belum pernah berjumpa dengannya walaupun sudah tahu tentang kehadirannya di asrama itu daripada kawan-kawan. Aku memanggilnya, tetapi dia melarikan diri. Mungkin kerana malu dan belum biasa denganku.

Kali kedua ke sana, dia masih begitu..Hanya memerhati dari jauh. Sesekali aku memandangnya, dia tersenyum lalu lari ke dalam. Belum berjaya memikat hatinya.

Kali ketiga, dia sudah bersuara. Nampak sahaja kelibatku, terus dia memanggil kak Fatimah pengurus di asrama yang mesra dengan panggilan cikgu oleh adik-adik di situ. "Cikgu, Kawan cikgu dah datang!". Dan kali ini, aku sudah boleh bermain dengannya. Wah, seronoknya!



28/5/07


Aku tidur di asrama bersama adik (syikin) tolong kak fatimah menjaga&menguruskan adik-adik kerana penaungnya Ustaz Rahman ke India atas urusan penting. Malam itu, si kecil fiqa berpesan bahawa dia ingin tidur denganku. Aku menerima dengan senyuman. Selepas solat maghrib, aku dan syikin membantu adik-adik ABU membaca Al-Quran. Fiqa setia di sebelahku dengan celotehnya yang mencuit hati. Sedang sibuk melayan adik-adik lelaki membaca Iqra', si kecil itu juga sibuk ingin turut serta dengan bertanyakan itu dan ini. Akhirnya, belum sempat ajaran Iqra' berakhir si comel fiqa telah terlena di ribaku. Namun malam itu aku membiarkannya tidur bersama "mak" tukang masak di asrama.



29/5/07

Petang itu si kecil Fiqa amat berlainan perangainya. Kemanjaannya yang lebih pada petang hari itu menghairankan aku. Terlambat sedikit melayan merajuklah jawapannya. Pantang diusik merengeklah jadinya. Naik pening juga aku dibuatnya. Seperti biasa selepas maghrib, aku mengajar adik-adik lelaki membaca iqra' dan seperti biasa si kecil itu juga tidak ketinggalan minta dilayan. Awal-awal lagi dia berpesan ingin tidur denganku. Dan seperti biasa juga, si comel itu sudah hampir terlena menunggu pengajian Iqra' berakhir. Lalu aku menyuruhnya tidur dahulu sementara aku menghabiskan bacaan abang-abangnya. Dia menolak dan bertegas ingin menungguku. Seusai Iqra' berakhir, aku membawanya ke bilik di bahagian bawah untuk tidur kerana banyak lagi perkara yang perlu dilakukan. Semasa menidurkannya, aku membelai dan mengusap badannya dengan penuh kasih sayang. Si kecil itu memegang kejap tanganku, mungkin takut aku akan meninggalkannya. Tiba-tiba dia bersuara: "kakak jangan buat macam tu tau, mak fiqa selalu buat macam tu...mak fiqa dah mati". Ishh..betapa sayu dan pilu hatiku tatkala mendengar bicaranya. Aku akur dengan kehendaknya dan membelainya dengan cara yang lain sehingga dia terlena. Hampir jam 10 malam, dia terjaga dan menangis. Badannya sedikit panas. Dia minta aku tidur dengannya ditingkat atas sedangkan kak fatimah berpesan supaya aku tidur di sebuah bilik yang dijadikan pejabat ditingkat bawah. Terpaksalah aku mengikut kehendaknya. Baru sahaja beberapa minit aku meletakkannya, dia muntah secara tiba-tiba. Aku menjadi sedikit kaget. Kak Fatimah tiada dan aku yang bertanggungjawab menjaga adik-adik itu bersendirian. Dia terus menangis dan merengek. Tidak sanggup aku melihatkan keadaannya yang begitu. Malam itu, si comel Fiqa demam. Dan malam itu, rengekannya mengganggu tidurku. Sungguh aku tak dapat melelapkan mata melihatkan keadaannya. Setiap jam aku terjaga...merenung jam..memandang penuh sayu wajah mulus di sebelahku. Sungguh..aku rasa seperti menjadi seorang ibu. Malam itu, bertambah dalam cintaku padanya.


1 comment:

dhiyauqalbii said...

syud.. rindu kat fika.. kirim salam kat dia , kak fatimah n adik2 abu yang lain ek..