Saturday, December 13, 2008

::Menyelami yang tersirat::

Dengan namaMU Ya ALLAH Tuhan Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang.

Jika kita perhati dan amati setiap detik kehidupan yang kita lalui sehari-hari, sebenarnya setiap perlakuan, keinginan, perasaan, semuanya mempunyai sebab dan makna yang tersirat. Pernahkah kita terfikir tatkala melihat mentari yang menyinar terang tiba-tiba berselindung disebalik awan kelabu, lantas deraian hujan turun laju membasahi bumi. Adakah terbit persoalan dihati mengapa hujan perlu turun ketika kita inginkan terang mentari menceriakan alam?

Terkadang kita memandang apa yang berlaku di hadapan mata dengan bersahaja, tanpa memikirkan kenapa ia mesti berlaku begitu. Kita ambil contoh yang paling dekat dengan diri kita untuk difikirkan dan diambil pedoman. Saya mempunyai seorang abang yang berusia 26 tahun. Abang yang ceria, cergas dan rapat dengan saya. Namun takdir ALLAH, dia pergi dahulu ketika usianya masih muda, tiada siapa pernah menyangka. Jika saya memandang takdir ini dengan mata kepala, sudah tentu saya akan merasakan bahawa Tuhan itu tidak adil. Tuhan tidak memberi peluang kepada abang untuk menikmati kehidupan yang masih jauh, dan peluang untuk saya dan keluarga menyemai kasih-sayang kekeluargaan bersama abang. Namun, apabila saya memandang ketentuan ini dengan mata hati, tiada gundah menyinggah. Malah tenang setia membujuk nurani menghadirkan redha dalam diri. Alhamdulillahi 'ala kulli haaliin -segala pujian bagi ALLAH atas setiap sesuatu-. Inilah kalimat yang paling telus diungkapkan tatkala menerima ketentuanNYA, nikmat atau musibah. Diri ini insan kerdil ciptaanNYA, hanya mampu berserah padaNYA. DIAlah yang Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk sekalian hambaNYA.

Jika saya melihat pada sekujur tubuh usang tok ayah, pasti hati tersentuh. Benarlah Tuhan itu Maha Kuasa, Maha Menentukan dan Maha Tahu. Tok Ayah yang berusia lebih 80 tahun pada kiraan saya, terbaring lesu di kamar. Gaya tidurnya bagaikan anak kecil yang baru dilahirkan. Ingatannya sudah pudar. Gagahnya makin lesu. Perangainya keanak-anakan. Benarlah pusingan masa menjadikan manusia kembali kepada fitrahnya. Ada insan yang dipanjangkan usianya. Ada pula yang singkat masa kehidupannya. Semuanya ada hikmah. Ada makna yang tersirat disebalik yang tersurat. Persoalan mengapa ia terjadi perlu diungkap. Bukan untuk membantah atau menafikan kuasa Yang Maha Esa, namun untuk dihayati dan direnungi agar iman terdidik dengan iktibar dan pengajaran.

Mengapa pula terjadinya kejadian tanah runtuh di Bukit Antarabangsa beberapa hari sebelum hadirnya Eidul Adha? Pasti ada hikmah yang tersembunyi. Masing-masing memperkata sebab-sebab berlakunya tanah runtuh. Ada yang menyimpulkan kejadian tersebut disebabkan oleh faktor tanah, ada pula yang menyalahkan pihak pemaju, ada juga yang menyatakan ini adalah hukuman Tuhan, dan tak kurang yang mengatakan insiden ini merupakan amaran atau peringatan daripada Tuhan. Walau apa pun alasannya, sesungguhnya DIA Yang Maha Mengetahui. Namun, kita sebagai insan perlu melihat bahawa kejadian seumpama ini merupakan ujian daripada ALLAH. Banyak maksud yang tersirat disebalik tragedi tanah runtuh ini. Bagi yang kufur nikmatNYa selama ini, DIA ingin menyedarkan. Buat yang sentiasa ingat padaNYA, DIA ingin menguji keutuhan iman. Bagi mereka yang sering mencemari bumi dengan dosa dan noda, DIA berikan pengajaran. Sebagaimana firman ALLAH dalam surah Al-Mulk ayat kedua yang bermaksud: "Dialah yang menciptakan kematian dan kehidupan sebagai ujian buat kamu, siapakah di antara kamu yang lebih baik amalannya".

Pandanglah sesuatu dengan mata hati. Insan diangkat darjat menjadi makhluk yang paling mulia di sisi ALLAH, diciptakan dengan sebaik-baik kejadian melalui anugerah akal fikiran. Maka gunakanlah pemberian Tuhan dengan sebaiknya. Berfikirlah, renungilah..Moga sentiasa tetap di atas jalan kebenaran. ALLAH mengajak kita berfikir pada setiap kejadian ciptaanNYA sebagaimana dalam surah Al-Ghasyiyah ayat 17-20 yang berbunyi:
(17) -Mengapa mereka yang kafir masih mengingkari akhirat- tidakkah mereka memerhatikan keadaan unta, bagaimana ia diciptakan?
(18) Dan keadaan langit, bagaimana ia ditinggikan binaannya?
(19) Dan keadaan gunung-ganang, bagaimana ia ditegakkan?
(20) Dan keadaan bumi, bagaimana ia dihamparkan?

Jika setiap insan itu memikirkan tentang ayat-ayat ini, melihat kejadian ALLAH ini dengan mata hati, serta mentafsir dan merenungi sedalam-dalamnya, pasti mereka akan menemui satu hakikat, bahawa ALLAH yang menciptakan segalanya, ALLAH Yang Maha Kuasa, dan ALLAH jua Yang Maha Kaya yang menjadikan setiap kejadian itu berguna dan bermanfaat. Sama-sama kita renungi, moga ada barakah daripadaNYA.

No comments: